You are on page 1of 5

Cara-cara

mencapai

gaya

hidup

sebegini.

Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.

Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu diet pemakanan yang seimbang dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, ramai yang suka mengambil satu jenis makanan sahaja seperti hanya memakan daging tanpa mengambil sayur dalam diet mereka. Ketiadaan diet yang seimbanglah atau hanya menumpukan pemakanan mereka terhadap satu aspek sahaja yang menyukarkan seseorang untuk mencapai matlamat gaya hidup yang baik ini. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan kita semua mencapai satu kehidupan yang ceria kerana semua zat yang diperlukan oleh badan diperoleh menerusi pemakanan yang baik itu di samping menjauhi obesiti dan penyakit kronik.

Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti berjalan atau berlari bersendirian atau melakukan aktiviti bersukan bersama-sama keluarga atau ketika hujung minggu untuk mendapatkan senaman sebegini. Aktiviti senaman sudah lama diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih stabil dan baik. Ekorannya, senaman turut menjadikan sistem imunisasi mereka lebih tinggi. Sebagai impaknya, semakin kerap senaman dilakukan,

semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas.

Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain Dalam konteks ini, sikap ini didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka bagaikan kera sumbang. Sikap suka berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama dengan mereka menjadikan keperluan psikologi manusia yang dapat dipenuhi dengan efektif. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi untuk memperoleh gaya hidup yang sihat ini.

Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting dimiliki oleh seseorang itu untuk menangani tekanan kehidupan moden. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu sentiasa berfikiran terbuka dan membina. Sehubungan dengan itu individu itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh dengan cabaran terutama tekanan di pejabat atau di sekolah memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Maka, semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak.

Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang dipaparkan tadi. Cuma sikap masyarakat masih memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah. Kita semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya. Janganlah terhantuk baru tengadah, iaitu setelah berpenyakit kronik baru kita menyesal.

GAYA hidup yang sibuk membuat anda tidak duduk diam sepanjang hari. Anda mendapat kepuasan daripada pembahagian masa antara kerja dan komitmen peribadi. Anda suka berkejar (dan memandu) ke sana sini untuk menguruskan hal kerja dan keluarga. Untuk memastikan anda mempunyai tenaga untuk melakukan kesemuanya, anda mengisi perut dengan apa sahaja yang ada. Namun, ada kalanya anda merasa terlalu letih hingga tidak berdaya untuk membuka mata, apatah lagi untuk bangun dari katil. Keadaan ini membuat anda tertekan (stres), lesu dan murung. Selalunya, anda juga merasakan seperti ingin merangkak semula naik ke atas katil. Mengapa anda dibelenggu keadaan ini? Anda makan hingga kenyang, tetapi mengapa masih kurang bertenaga? Makanan yang anda makan setiap hari seharusnya memberi cukup tenaga untuk membolehkan anda bergerak cergas sepanjang hari tetapi di mana silapnya? l Makan secara sihat Anda mungkin makan dengan secukupnya tetapi untuk mengekalkan gaya hidup yang begitu sibuk, anda bukan sekadar perlu makan mengikut masa, malahan juga perlu mengamalkan tabiat makan yang sihat. Ini kerana pemakanan yang betul memberi anda segala nutrien penting dan komponen makanan lain yang diperlukan untuk kekal sihat dan cergas sepanjang masa. Makan secara sihat bermakna mengambil pelbagai jenis makanan kerana makanan yang berlainan membekalkan tenaga dan kombinasi nutrien yang berbeza.

Untuk memastikan anda mendapat bekalan tenaga dan nutrien yang secukupnya untuk keperluan harian, anda perlu makan pelbagai jenis makanan yang menggabungkan bijirin, kekacang, buah-buahan dan sayuran, daging, ikan, ayam serta produk susu (dengan penekanan kepada empat kumpulan makanan yang pertama). Anda juga perlu mengurangkan pengambilan lemak, gula dan garam. Dan minum banyak air! Setelah memahami peranan diet yang pelbagai dan seimbang untuk memastikan anda cergas dan bertenaga, adakah anda tahu apa lagi yang diperlukan untuk memberikan prestasi yang terbaik setiap hari? l Gerakkan Badan! Ya, anda perlu aktif dan bersenam! Kekal aktif adalah sama penting dengan makan secara sihat untuk mengekalkan kesejahteraan secara keseluruhan. Malah, pemakanan yang betul dan aktiviti fizikal perlu seiring kerana diet memberi anda tenaga yang diperlukan untuk kekal aktif. Aktiviti fizikal memberi banyak kelebihan. Antara lain, ia membolehkan anda mengekalkan imbangan tenaga kerana aktiviti fizikal membakar kalori untuk membolehkan anda kekal sihat, langsing, dan tidak gemuk. Ia juga membantu anda mengekalkan berat badan yang sihat dan memastikan kesihatan kardiovaskular serta kekuatan dan fleksibiliti badan. Senaman juga berkesan menghindari pelbagai penyakit, termasuk penyakit kardiovaskular (senaman boleh membantu menguatkan otot jantung), hipertensi (mengurangkan tekanan darah tinggi), diabetes (mengawal paras glukosa darah), obesiti dan osteoporosis. Sebagai bonus tambahan, senaman juga mengurangkan tahap stres, memberi anda semangat, tenaga dan menaikkan harga diri.

Lebih penting lagi, senaman membuat anda kelihatan segak, merasa yakin diri dan berfikir dengan lebih baik! Sekarang anda sudah tahu segala kebaikan yang diperolehi dari aktiviti fizikal dan senaman, jadi mengapa anda tidak berusaha untuk menerap amalan sihat ini ke dalam gaya hidup anda? Jika boleh, anda patut cuba bersenam sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari dalam kebanyakan hari setiap minggu. Jika anda berbadan gempal, jangan terus mula berjoging selama 20 minit. Cuba dahulu senaman regangan badan yang ringan atau mula berjalan selama lima hingga 10 minit. Tingkatkan intensiti dan tempoh masa aktiviti fizikal atau senaman apabila anda semakin biasa dengan senaman tersebut. Anda juga boleh mulakan program senaman yang lebih berat setelah biasa dengan senaman yang anda mula-mula lakukan. l Terlalu Sibuk? Dengan kekalutan yang menyebabkan anda sibuk sepanjang masa, anda mungkin mendapati sukar untuk meluangkan sedikit masa untuk aktiviti fizikal. Tetapi jika anda benar-benar serius untuk menjaga kesihatan, anda pasti boleh mencuri masa untuk bersenam. Jadi, jika anda makan secara sihat dan melakukan aktiviti fizikal secara tetap, anda bukan sahaja akan merasa sihat dan nampak berseri-seri, tetapi juga mempunyai cukup tenaga untuk bekerja, berfikir, bergiat aktif dan meneruskan gaya hidup biasa anda setiap hari!

You might also like