Professional Documents
Culture Documents
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi
sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-
benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala
larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di
akhirat. Mimbar hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk: “AMALAN
KEBERSIHAN BUDAYA KITA".
Pendedahan dalam media massa dan aduan awam mengenai isu pencemaran
persekitaran, perumahan, tempat ibadat, perparitan, sungai, laut, air dan udara amat
membimbangkan kita. Isu-isu pencemaran ini telah menjejaskan kualiti hidup
manusia kerana pencemaran itu amat kotor dan menjijikan. Baru-baru ini negara
kita dikejutkan pula dengan peningkatan penyakit demam denggi, chikungunya,
1
dan pelbagai jenis penyakit lain. Peningkatan kes demam ini adalah petunjuk
bahawa amalan kebersihan tidak diambil peduli oleh sesetengah masyarakat.
Sama ada disedari atau tidak, perbuatan yang tidak berakhlak ini
menyebabkan perbelanjaan mengurus meningkat. Justeru, bagi mengurangkan
masalah ini masyarakat perlu mematuhi amalan menjaga kebersihan menurut
lunas-lunas agama, mempunyai kesedaran sivik yang tinggi dan mematuhi undang-
undang serta peraturan yang ditetapkan. Jangan nanti 'Sudah Terhantuk Baru
Tengadah'.
Maksudnya: " Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan
mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri".
2
Prinsip kebersihan di dalam Islam seperti yang ditekankan dalam berwudhuk
dan bersuci dalam ibadat, sepatutnya dihayati dan dijadikan budaya dalam aktiviti
hidup yang lain. Mimbar suka mengingatkan jemaah bahawa membudayakan atau
mentabiatkan amalan hidup bersih ini adalah bermula dari rumah.
Oleh itu, mimbar menyeru ibu bapa supaya membimbing dan mengajar ahli
keluarga tentang aspek kebersihan. Berdasarkan pemerhatian didapati terdapat
perkaitan yang kuat bahawa mereka yang mementingkan kebersihan adalah
mereka yang bertamadun. Atau dengan kata lain, keluarga yang bertamadun adalah
keluarga yang mementingkan kebersihan.
Kita juga perlu menyoal diri kita sendiri, apakah kita telah menjadi ibu bapa yang
bertamadun?. Istilah “tamadun” di sini boleh ditakrifkan sebagai sejumlah
pencapaian dan pemerolehan dalam segala perlakuan, pemikiran dan penciptaan
yang baik, halus, sopan santun bagi pembentukan peribadi, akhlak, tingkah laku
serta budi bahasa yang mulia bagi individu dan juga sesuatu kelompok manusia
yang membentuk sesebuah masyarakat atau negara. Ringkasnya, tamadun boleh
dilihat sebagai pencapaian satu bentuk budaya tinggi.
Oleh itu, sewajarnya umat Islam dituntut untuk menjaga kebersihan. Imam
Muslim meriwayatkan sebuah hadith Rasulullah SAW daripada Ibn Mas'ud:
Mafhumnya: "Sesungguhnya Allah itu cantik (indah) dan bersih. Dia amat
mencintai kepada perkara yang cantik (indah) dan bersih."
3
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah, mimbar yang mulia ini menyeru semua pihak, marilah sama-
sama kita menghayati erti kebersihan dalam kehidupan ini. Kebersihan menjadi
lambang kepada ketamadunan umat Islam di negara ini sampai bila-bila. Mimbar
mencadangkan agar kita mematuhi beberapa perkara berikut:
Pertama: mendidik ahli keluarga dan masyarakat menjadi orang yang suka
kebersihan dan benci pencemaran,
Kedua: menghayati amalan kebersihan sebagai budaya hidup muslim sejati,
Ketiga: mengenakan hukuman yang lebih tegas ke atas individu atau
kumpulan yang melakukan pencemaran atau kekotoran, dan
Keempat: meningkatkan kerjasama setempat dan pihak berkuasa tempatan
dalam aktiviti menjaga kebersihan.
Maksudnya: " Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di
laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah
hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka,
supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."