You are on page 1of 5

MUHARRAM BULAN PERUBAHAN KE ARAH KEBAIKAN MUHARRAM adalah bulan pertama dalam Sistem Kalendar Islam (Hijriah).

Pada asasnya, Muharram membawa maksud diharamkan atau dipantang, iaitu ALLAH SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah . Firman ALLAH SWT bermaksud :
Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi ALLAH ialah dua belas bulan, dalam ketetapan ALLAH di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, diantaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus,maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu .(Surah At Taubah :36)

Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan. Rasulullah SAW menamakan bulan Muharram sebagai bulan ALLAH (shahrullah) . Daripada Al-Hassan Al-Basri rahimahumullah sesungguhnya ALLAH SWT telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram. Bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi ALLAH SWT selepas bulan Ramadhan adalah bulan Muharram. Ianya dinamakan bulan ALLAH yang khas disebabkan besarnya kehormatannya. Sejak zaman pemerintahan Saidina Umar bin Al Khattab, umat Islam secara rasminya menggunakan kelendar Hijriyyah Qamariyyah. telah

Istilah 'HIJRIYYAH' dirujuk kepada peristiwa 'penghijrahan' Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari kota Makkah ke kota Yathrib yang kemudiannya ditukar namanya kepada Al Madinah Al Munawwarah. Kelendar Hijriyyah Qamariyyah menjadikan tahun penghijrahan Nabi SAW ini sebagai tahun pertama (1 Hijrah).

Manakala istilah 'QAMARIYYAH' pula dirujuk kepada kaedah pengiraannya yang berdasarkan kepada peredaran 'bulan' mengelilingi bumi.

Tahun Hijriyyah Qamariyyah mengandungi 12 bulan, dimulai dengan Muharram dan diakhiri dengan Zulhijjah. Bulan Muharram adalah antara bulan-bulan utama yang mempunyai kelebihannya yang tersendiri.

Antara keistimewaan bulan ini ialah:

1. Nabi Muhammad SAW menisbahkan bulan ini kepada ALLAH dengan menggelarkannya sebagai Syahrullah (bulan ALLAH).

2. Bulan ini adalah satu di antara 4 bulan yang diharamkan berperang padanya. Selain Muharram, bulan-bulan yang diharamkan berperang ialah Rejab, Zulqaedah dan Zulhijjah. Di zaman jahiliyyah, orang-orang Arab membuat peraturan gencatan senjata pada bulan-bulan ini. Setelah Nabi Muhammad SAW dilantik sebagai rasul, budaya ini diakui dan diteruskan oleh Islam kerana Islam mementingkan keamanan. Namun begitu peperangan di dalam bulan ini dibenarkan sekiranya musuh mula menyerang.

Terdapat beberapa peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada bulan ini, iaitu;

1. ALLAH menyelamatkan Nabi Musa AS dan kaumnya daripada Firaun pada bulan Muharram

2. ALLAH menerima taubat Nabi Adam AS juga pada bulan Muharram.

3. Di dalam bulan ini juga ALLAH menerima taubat kaum Nabi Yunus AS yang sebelum itu derhaka kepada Baginda SAW.

4. Bulan ini juga menyaksikan peperangan Khaibar, iaitu peperangan yang berlaku di antara umat Islam dengan orang-orang Yahudi yang berakhir dengan kemenangan memihak kepada umat Islam. Peristiwa ini berlaku pada penghujung Muharram tahun ke enam hijriyyah.

5. Dalam bulan Muharram juga Nabi Muhammad SAW cuba diracun oleh orangorang Yahudi. Peristiwa ini berlaku setelah orang-orang Yahudi kalah di dalam peperangan Khaibar, mereka menghadiahkan daging kambing beracun kepada baginda. Namun dengan mukjizat yang ALLAH berikan kepada Baginda SAW, daging berkenaan bersuara sebaik sahaja Nabi SAW ingin menjamahnya. Daging itu memberitahu bahawa ia telah diracun.

Di dalam bulan Muharram ini juga kita digalakkan untuk melaksanakan amal soleh. Antaranya ialah;

1. Berpuasa secara umum: Dari Abu Hurairah RA katanya, "Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud): "Sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan ialah bulan ALLAH yang kami panggilnya sebagai Muharram." (Hadis riwayat Muslim )

2. Puasa pada hari ke-10 (hari 'Asyura') Di dalam kitab Sahih Muslim, Saidina Umar meriwayatkan bahawa baginda SAW pernah menerangkan bahawa puasa pada hari ke 10 (Asyura') diharapkan dapat menghapuskan dosa selama setahun sebelumnya. Daripada Abu Qatadah r.a. : bahawa Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari asyura. Baginda menjawab, (Puasa tersebut) Menghapuskan dosa satu tahun yang lalu. (Riwayat Muslim) 3. Puasa pada hari ke-9 dan 10 Puasa pada hari ke-9 dan ke-10 adalah untuk membezakan amalan Islam dan amalan Ahli Kitab (orang-orang Yahudi dan Nasrani). Saidina Ibnu Abbas pernah berkata, "Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura' (hari ke-10) dan memerintahkan sahabatnya berpuasa pada

hari berkenaan, para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, hari Asyura' itu ialah hari yang dimuliakan oleh Yahudi dan Nasrani!" Baginda lantas menjawab, "Jika kita ada usia di tahun hadapan, kita akan turut berpuasa pada hari yang ke-9, insya ALLAH." ( Riwayat Muslim )

Ibnu Abbas menyambung, "Pada tahun berikutnya Rasulullah SAW wafat (dan tidak sempat untuk berpuasa pada hari ke-9)." (Hadis riwayat Muslim)

Inilah antara amalan yang datangnya daripada Nabi SAW dan digalakkan supaya kita melakukannya.

Seharusnya kita selaku umat Islam akhir zaman, umat yang terpilih sebagai umat Muhammad SAW memanfaatkan kelebihan bulan Muharram tanpa mensiasiakannya. Sebaiknya kita mengambil manfaat sebaik mungkin kerana bulan ini mempunyai banyak kelebihannya. Sebab itu terdapat golongan yang ghairah beramal dalam bulan ini.

Peredaran zaman dan masa yang begitu pantas, tanpa disedari bulan Muharram kunjung tiba lagi untuk kesekian kalinya. Tanpa kita sedari juga sebenarnya usia kita semakin bertambah, rezeki kita juga semakin berkurangan, ajal semakin hampir dan kehidupan yang sebenar iaitu kehidupan akhirat juga semakin menghampiri kita.

Oleh itu, kita hendaklah melakukan sesuatu perubahan, di mana perubahan tersebut adalah perubahan ke arah kebaikan yang menjadikan kita sebaik-baik umat. Dengan kata lain kita juga hendaklah melakukan hijrah. Hijrah di sini dengan maksud berubah daripada melakukan kejahatan kepada kebaikan, daripada berakhlak buruk kepada berakhlak mulia dan daripada tidak bertakwa kepada bertakwa kepada ALLAH. Hijrah sebegini akan terus berkekalan sehingga hari kiamat.

Sabda Nabi SAW : Orang yang melakukan hijrah yang sebenar ialah yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh ALLAH. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Sesungguhnya ajaran yang dibawa Rasulullah telah jelas dan sempurna tidak layak bagi kita untuk menambah atau menguranginya. Karena sebaik-baik pedoman dan petunjuk adalah Al Quran dan hadis Nabi SAW.

Kita sebagai ummat Nabi SAW seharusnya menjunjung tinggi dan merasa bangga dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda Nabi SAW. Malah kita hendaklah berusaha beramal dan meneruskan perjuangan dan pengorbanan Baginda dalam menyampaikan risalah Islam. Kenikmatan dan kesenangan yang kita perolehi pada hari ini adalah hasil daripada jerih perit Nabi dan para sahabat yang telah berkorban segala-galanya demi menjaga agama ALLAH agar sampai pada kita hari ini, namun kita masih lagi tidak sedar serta tidak pandai menilai hingga akhirnya kita masih lagi tidak berubah dan berhijrah sepertimana yang telah diajarkan oleh Baginda SAW. Sama-sama kita muhasabah dan sedar betapa pentingnya penghijrahan kepada kita untuk direalisasikan.

Semoga kita sentiasa bersyukur di atas nikmat-nimatNya dan diberi taufiq oleh ALLAH SWT agar sentiasa berada keredhaan dan keampupunanNya. pada jalanNya yang lurus, mendapatkan

WALLAHUALAM

You might also like