You are on page 1of 12

NOTA 2

KESAHAN, KEBOLEHPERCAYAAN DAN OBJEKTIVITI


OLEH PROF MADYA DR AHMAD HASHIM

Instrumen atau ujian yang digunakan bertujuan bagi mengukur dan menilai maklumat mestilah mempunyai ciri kebolehpercayaan, objektiviti dan kesahan. Hanya ujian yang mempunyai ciri-ciri tersebut sahaja yang berjaya menghasilkan keputusan yang tepat dalam pengukuran kognitif, kecergasan fizikal, kemahiran sukan, kecergasan fizikal dan sikap terhadap aktiviti fizikal dalam Pendidikan Jasmani dan Sains Sukan.

Hubungan antara kesahan dan kebolehpercayaan adalah dalam bentuk sehala. Sesuatu ujian itu mungkin boleh dipercayai tetapi tidak semestinya sah. Begitu juga dengan ujian yang boleh menghasilkan keputusan yang tekal tetapi tidak mengukur apa yang sepatutnya diukur. Walau bagaimanapun sesuatu ujian itu dikatakan tidak sah jika ia tidak mempunyai kebolehpercayaan ujian. Jika sesuatu ujian itu tidak dapat memberikan keputusan yang tekal setelah diulang uji, maka ia tidak mungkin sah untuk digunakan. Kebolehpercayaan sesuatu ujian sepatutnya diperoleh terlebih dahulu sebelum memeriksa kesahan ujian.

Objektiviti sesuatu ujian juga adalah berkait rapat dengan kebolehpercayaan. Tanpa objektiviti ujian, nilai kebolehpercayaan sesuatu ujian akan menjadi kurang. Oleh itu hubungan antara objektiviti dengan kesahan adalah sama dengan

hubungan antara kebolehpercayaan dan kesahan. Objektiviti dan kebolehpercayaan adalah suatu pra syarat kepada kesahan ujian.

KESAHAN

Instrumen sesuatu pengukuran dikatakan sah apabila ia benar-benar mengukur apa yang sepatutnya diukur. Contoh, gayut siku bengkok adalah ujian yang sah untuk mengukur kekuatan dan daya tahan otot bahagian atas badan tetapi ianya tidak sah digunakan untuk mengukur kepantasan tangan kerana bilangan yang dapat dilakukan untuk satu percubaan gayut siku bengkok tidak dipengaruhi oleh kepantasan tangan. Sesuatu ujian yang sah mestilah boleh dipercayai, sebaliknya ujian yang mempunyai kebolehpercayaan mungkin belum tentu sah digunakan. Jika data yang diperoleh datangnya daripada sesuatu ujian atau instrumen pengukuran yang tidak sah, maka data tersebut tidak boleh digunapakai dalam pengukuran dan penilaian. Sebarang keputusan yang dibuat mengenai subjek berdasarkan data yang tidak sah berkemungkinan akan berlaku kesalahan atau tidak tepat.

Terdapat empat jenis pengukuran kesahan yang biasanya digunakan dalam Pendidikan Jasmani dan Sains Sukan iaitu kesahan logikal, kesahan kandungan, kesahan kriteria dan kesahan konstruk. Kebanyakan pengukuran fizikal dalam Pendidikan Jasmani dan Sains Sukan menerima pakai nilai pekali korelasi kesahan ujian antara .80 dan ke atas.

Kesahan Logikal

Kesah logikal adakalanya digunakan sebagai kesahan muka dalam pengujian dan pengukuran Pendidikan Jasmani dan Sains Sukan. Sesuatu ujian dikatakan mempunyai kesahan logikal apabila ujian itu jelas mengukur prestasi lakuan yang terlibat. Contoh, ujian lari pecut 6 saat dan ujian lari pecut 30 meter adalah ujian yang sah bagi mengukur kepantasan berlari kerana ujian tersebut mengukur kepantasan seseorang berlari. Kesahan logikal sepatutnya digunakan berserta dengan salah satu bukti sama ada daripada kesahan kandungan atau kesahan kriteria ataupun kesahan konstruk. Kesahan logikal kebanyakkannya hanya digunakan dalam ujian kecergasan fizikal. Contoh, ujian bangkit tubi lutut bengkok adalah ujian yang mempunyai kesahan logikal untuk mengukur kekuatan dan daya tahan otot abdominal. Walau bagaimanapun kesahan logikal kurang berjaya jika digunakan dalam ujian yang melibatkan kemahiran motor dan sukan.

Kesahan Kandungan

Istilah kesahan muka dan kesahan logikal selalu digunakan dalam kesahan kandungan. Ujian bertulis biasanya mempunyai kesahan kandungan apabila soalansoalan yang dibina mempunyai kebolehpercayaan berdasarkan bahan pengajaran pembelajaran dan unit-unit dalam objektif pengajaran. Contoh, ujian kemahiran bola jaring mempunyai kesahan kandungan jika ujian tersebut mengambil kira item-item kemahiran yang diperlukan dalam permainan bola jaring seperti kemahiran menjaring, membaling dan menyambut, melompat dan lain-lain.

Kesahan Kriteria

Kesahan kriteria ditentukan berdasarkan hubungan yang sistematik di antara pengukuran kriteria dengan pengukuran lain yang digunakan untuk menganggarkan sesuatu kriteria. Kesahan kriteria adalah berdasarkan pekali korelasi di antara ujian tertentu dengan sesuatu kriteria. Kesahan kriteria digunakan dalam bentuk kesahan sejajar dan kesahan jangkaan.

Kesahan Sejajar

Pengukuran kesahan sejajar diperoleh dengan menentukan kriteria terlebih dahulu dan digunakan ke atas ujian yang sama sebagai pengganti apabila ujian yang dicadangkan sebagai kriteria telah diperakui kesahannya oleh pakar bidang Pendidikan Jasmani dan Sains Sukan. Biasanya ujian yang dipilih sebagai kriteria telah di terima pakai secara meluas. Biasanya instrumen pengukuran kriteria sukar diperoleh dan digunakan serta memerlukan perbelanjaan yang banyak. Bagi memudahkan pentadbiran ujian kepada jumlah pelajar yang sangat besar dan menjimatkan masa dan perbelanjaan, maka instrumen pengukuran yang baru haruslah diperkenalkan sebagai pengganti kepada instrumen kriteria. Kesahan sejajar melibatkan pengiraan pekali korelasi di antara pencapaian skor ujian berdasarkan instrumen baru dengan pencapaian berdasarkan instrumen ukuran kriteria. Keputusan pekali korelasi menggambarkan anggaran pekali kesahan sesuatu ujian. Apabila pekali kesahan menghampiri 1, ini menunjukkan ujian yang digunakan untuk mengukur sesuatu pembolehubah adalah menyamai ukuran kriteria dan mempunyai kesahan. Contohnya, pengambilan oksigen maksimum adalah pengukuran yang terbaik dan sah untuk mengukur kecergasan kardiovaskular. Walau bagaimanapun peralatan ini sangat mahal, memerlukan makmal, mengambil

masa yang lama untuk sesuatu ujian dan hanya seorang sahaja boleh diuji dalam suatu masa. Oleh itu, sebagai alternatif ujian lari/berjalan 1.0 batu, 1.5 batu, 9 minit dan 12 minit boleh digunakan sebagai anggaran penggunaan oksigen maksimum. Bagi menentukan kesahan pengukuran pengambilan oksijen maksimum, kedua-dua ujian tersebut hendaklah ditadbirkan ke atas sekumpulan subjek yang sama pada masa yang hampir sama.

Kesahan Jangkaan

Kesahan jangkaan samalah seperti kesahan sejajar, ia ditentukan oleh ukuran kriteria. Contoh, menjangkakan kejayaan akademik pelajar di dalam sesebuah bilik darjah. Purata mata gred pelajar lepasan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dipilih masuk ke Sekolah Sukan Bukit Jalil, Selangor dan Sekolah Sukan Bandar Penawar, Kota Tinggi sebagai pembolehubah jangkaan dengan purata mata gred yang diperoleh semasa di sekolah sukan sebagai ukuran kriteria kejayaan. Korelasi di antara kedua-dua purata mata gred menunjukkan kesahan jangkaan. Green, East, dan Hensley (1987) telah memberi contoh yang terbaik mengenai prosedur yang digunakan untuk menentukan kesahan ujian kemahiran sukan golf. Ukuran kriteria mesti ditentukan terlebih dahulu sebelum menguji beberapa ujian kemahiran sukan ke atas subjek.

Kaedah korelasi pelbagai digunakan ke atas ukuran kriteria dengan beberapa jenis ujian yang digunakan bagi menentukan kesahan jangkaan. Skor purata daripada beberapa pusingan permainan golf dijadikan sebagai ukuran kriteria. Ujian dalam beberapa kemahiran permainan golf digunakan sebagai ujian kemahiran golf.

Kedua-dua skor ujian tersebut dikorelasikan bagi menentukan adakah gabungan ujian tersebut merupakan penganggar terbaik bagi ukuran kriteria.

Kesahan Konstruk

Kesahan konstruk biasanya dikaitkan dengan keputusan ujian ke atas beberapa ciri tingkahlaku. Contohnya, sikap terhadap aktiviti kecergasan fizikal adalah ciri kemanusiaan yang abstrak dan sukar difahami oleh mereka yang tidak mahir dalam bidang tersebut. Ini berbanding dengan ujian bangkit tubi lutut bengkok, di mana keputusan adalah berdasarkan jumlah bilangan percubaan yang dapat dilakukan dalam masa 30 saat. Kesahan konstruk diperoleh berdasarkan kaedah yang saintifik dengan penggunaan pelbagai prosedur statistik. Contoh, ujian kepantasan berlari ditadbirkan ke atas pelari yang mewakili pasukan sekolah dengan yang tidak mewakili pasukan sekolah. Oleh kerana pelari yang mewakili pasukan sekolah lebih pantas, maka kesahan konstruk dapat ditunjukkan bilamana min skor kepantasan pelari pasukan sekolah lebih tinggi dan berbeza secara signifikan berbanding dengan pelari yang tidak mewakili pasukan sekolah. Biasanya perbezaan signifikan antara dua min ditentukan pada aras alpha .01 bagi mempastikan kedua-dua kumpulan tersebut benar-benar berbeza.

Contoh kedua, perbandingan prestasi antara dua kumpulan pelajar sebelum dan selepas menjalani latihan. Ujian awal dilakukan ke atas kumpulan pelajar tersebut sebelum diberi latihan. Pelajar dalam kumpulan tersebut di beri beberapa teknik latihan untuk beberapa minggu, biasanya antara 4 hingga 6 minggu sebelum

diulang uji. Kesahan konstruk dapat ditentukan jika min skor ujian akhir lebih baik dan signifikan berbanding ujian awal.

Contoh ketiga, kesahan konstruk ujian kuasa anaerobik boleh diperoleh dengan membandingkan skor ujian pelari pecut dan lompatan dengan skor ujian larian jarak jauh. Larian pecut dan acara lompatan memerlukan kuasa anaerobik yang tinggi berbanding larian jarak jauh. Guru Pendidikan Jasmani dan Sains Sukan boleh menentukan sama ada terdapat perbezaan di antara skor ujian lari pecut dan lompatan dengan larian jarak jauh. Jika min skor ujian lari pecut dan lompatan lebih baik dan berbeza secara signifikan berbanding min skor ujian larian jarak jauh, maka ujian lari pecut dan lompatan adalah bukti ujian yang menunjukkan bahawa keduadua ujian tersebut boleh digunakan untuk mengukur kuasa anaerobik.

Satu lagi kaedah yang digunakan bagi mengukur kesahan konstruk ialah melalui prosedur statistik analisis faktor. Kaedah ini biasanya digunakan bagi menentukan atau mengenal pasti komponen-komponen asas kecergasan atau kemahiran sukan.

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KESAHAN

Bagi menentukan sesuatu ujian atau instrumen pengukuran mempunyai kesahan yang tinggi, guru Pendidikan Jasmani dan Sains Sukan perlu memberi perhatian kepada beberapa perkara.

i.

Pemilihan ujian yang tepat untuk dijadikan sebagai ukuran kriteria.

ii.

Ciri-ciri pelajar yang diuji. Contohnya, sesuatu ujian yang sah untuk digunakan oleh pelajar berumur 13 tahun adalah tidak sah jika diguna ke atas pelajar yang berumur 17 tahun. Ujian yang sah untuk lelaki mungkin tidak sah untuk perempuan. Sesuatu ujian itu hanya sah digunakan ke atas pelajar yang sama umur, jantina dan pengalaman.

iii.

Sesuatu ujian yang sah mestilah mempunyai kebolehpercayaan. Oleh itu, pekali kesahan mempunyai kaitan secara terus dengan kebolehpercayaan ujian dan ukuran kriteria. Pekali kesahan yang mungkin antara kedua-dua ujian tersebut boleh dianggarkan sebagai r x,y =(rx,x)(ry,y). Jika kebolehpercayaan kedua-dua ujian x dan y ialah .80, maka pekali kesahan yang mungkin ialah .80.

iv.

Objektiviti ialah persetujuan dua atau lebih pakar juri atau skor mengenai nilai sesuatu ukuran. Jika dua atau lebih juri yang tidak bersetuju terhadap skor ujian bagi pelajar yang sama, maka ujian tersebut dikatakan kurang objektiviti. Skor yang diberi oleh pakar juri mungkin dapat menjejaskan kesahan ujian.

v.

Kesahan ujian umumnya dipengaruhi oleh kebolehpercayaan, lebih banyak bilangan ukuran yang dilakukan ke atas setiap pelajar lebih tinggi nilai kebolehpercayaan. Contoh, ujian mengelecek, menanduk, menjaring gol, mengawal dan menendang bola adalah lebih baik digunakan bagi mengukur kemahiran dalam permainan bola sepak berbanding hanya satu atau dua ujian sahaja. Oleh kerana kebolehpercayaan mempunyai perkaitan yang kuat

dengan kesahan maka pertambahan bilangan ujian tidak hanya meningkatkan kebolehpercayaan tetapi juga kesahan ujian.

vi.

Saiz pekali kesahan mestilah bersesuaian. Menurut Safrit (1986), jika ujian baru hendak digunakan sebagai pengganti kepada ujian ukuran kriteria yang lebih canggih, maka pekali kesahan .90 dan ke atas adalah sangat bersesuaian, walau bagaimanapun nilai pekali kesahan .80 dan ke atas juga diterima. Nilai ini dicadangkan bagi mendapatkan kesahan sejajar dengan menggunakan pekali korelasi. Manakala bagi kesahan jangkaan, beliau mencadangkan sekurang kurangnya nilai pekali kesahan antara .50 atau .60 adalah boleh diterima.

vii.

Skor kriteria ialah ukuran yang digunakan sebagai penunjuk terbaik keupayaan sebenar seseorang pelajar. Ujian dilakukan setelah pelajar benar-benar memahami bagaimana menjalankan ujian. Biasanya dalam ukuran kecergasan fizikal dan keupayaan lakuan motor seperti ukuran lipatan kulit, kelembutan, masa reaksi dan melompat memerlukan pelajar melakukan banyak bilangan percubaan. Oleh kerana skor min dan skor terbaik mempunyai persamaan kebolehpercayaan maka skor terbaik atau tertinggi dipilih sebagai skor kriteria kerana lebih pantas dan mudah membuat pengiraan.

KEBOLEHPERCAYAAN

Sesuatu ujian yang dapat memberi keputusan yang konsistan setelah diuji berulang kali adalah mempunyai kebolehpercayaan. Ujian yang mempunyai

kebolehpercayaan akan menghasilkan data yang stabil dan tepat. Contoh, jika sekumpulan pelajar mengambil ujian tekan tubi berdasarkan prosedur yang sama pada dua hari yang berbeza, maka skor yang diperoleh sepatutnya sama. Bagi menjamin kebolehpercayaan ujian, prosedur ujian, teknik pengukuran dan suasana pengujian sepatutnya berada dalam keadaan yang sama. Fikirkan apa yang akan berlaku kepada skor ujian bangkit tubi lutut bengkok jika pertama kali ditadbirkan di atas tilam gimnastik dan di masa lain ditadbirkan di atas gelanggang bersimen.

Terdapat

beberapa

faktor

yang

mungkin

memberi

kesan

terhadap

kebolehpercayaan ujian dan nilai skor yang diperoleh dalam proses pengujian pengukuran dan penilaian dalam Pendidikan Jasmani dan Sains Sukan. Di antaranya ialah memberi arahan yang tidak tepat, prosedur pemberian skor ujian yang tidak konsistan, perbezaan peralatan yang digunakan semasa pengujian dan suasana persekitaran ujian yang berbeza. Bagi menentukan kebolehpercayaan ujian, sekurang-kurangnya dua set data perlu diperoleh melalui skor ujian. Di antara prosedur yang selalu digunakan untuk mendapatkan kebolehpercayaan ujian ialah kaedah uji dan ulang uji, kaedah bentuk selari, kaedah pembahagi dua, kaedah Kuder Richardson dan kaedah pekali Cronbach alpha.

PENGIRAAN PEKALI KEBOLEHPERCAYAAN

Pekali

kebolehpercayaan

diklasifikasikan

dalam

dua

bentuk

iaitu

pekali

kebolehpercayaan `interclass dan pekali kebolehpercayaan `intraclass . Biasanya pengiraan pekali kebolehpercayaan `interclass adalah berdasarkan kepada pekali korelasi Pearson product moment. Manakala analisis varian ANOVA dan Cronbach

alpha selalu digunakan bagi mengira pekali kebolehpercayaan `intraclass. Safrit dan Wood (1995) dan Miller (1998), mencadangkan nilai pekali korelasi atau pekali kebolehpercayaan antara .80 hingga 1.00 adalah tinggi, .60 hingga .79 sederhana tinggi, .40 hingga .59 sederhana, .20 hingga .39 rendah dan .00 hingga .19 menunjukkan tidak ada perkaitan.

KEBOLEHPERCAYAAN `INTERCLASS

Di

antara

kaedah

yang

sering

digunakan

bagi

mendapatkan

pekali

kebolehpercayaan `interclass ialah kaedah uji dan ulang uji, kaedah bentuk selari dan kaedah pembahagi dua.

Kaedah Uji dan Ulang Uji

Kaedah uji dan ulang uji memerlukan pentadbiran ujian yang sama ke atas pelajar yang sama dalam dua masa yang berbeza. Kaedah ini kerapkali digunakan dalam pengukuran kecergasan fizikal dan kemahiran lakuan motor tetapi kurang digunakan dalam ujian bertulis. Ujian ditadbirkan ke atas pelajar bagi mendapatkan set data yang pertama, kemudian diulang uji untuk dapatkan set data yang kedua. Dengan menggunakan kaedah korelasi, kedua-dua data tersebut dikorelasikan untuk mendapatkan nilai pekali kebolehpercayaan. Jangka masa antara ujian pertama dengan ujian kedua perlu dipertimbangkan kerana faktor seperti kematangan, perubahan pembelajaran dan fizikal mempunyai kaitan dengan pembolehubah yang sedang diukur. Selang masa dua hingga empat hari adalah bersesuaian bagi ujian yang melibatkan kelesuan otot.

You might also like