You are on page 1of 8

AMALAN MEMBACA BERMULA DARI RUMAH

Dalam era ledakan informasi ini, masyarakat Malaysia


seharusnya memperlengkapkan diri dengan ilmu
pengetahuan sebagai modal bagi mengharungi cabaran
sarwajagat. Dalam dunia kompetitif ini, generasi muda
harus berusaha untuk meningkatkan diri mereka dari
segi ilmu pengetahuan bagi meraih
kejayaan. Sebagaimana yang kita ketahui, terdapat
hadis Rasulullah S.A.W yang berbunyi, tuntutlah ilmu
hingga ke negeri China. Hadis ini menerangkan betapa
pentingnya menuntut ilmu pengetahuan. Sesungguhnya,
ilmu itu pelita hidup. Tanpa ilmu di dada, kehidupan
seseorang itu akan terumbang-ambing bagai layang-
layang terputus talinya. Oleh itu, salah satu cara untuk
memperoleh ilmu pengetahuan adalah melalui amalan
membaca. Hal ini demikian kerana, membaca
merupakan jambatan ilmu. Menyedari hakikat ini,
setiap individu perlu sedar bahawa membaca
merupakan kunci kejayaan. Umum mengetahui bahawa,
amalan membaca seharusnya dijadikan sebagai satu
kebiasaan atau rutin untuk dilakukan. Namun
hakikatnya, amalan membaca dalam kalangan rakyat
Malaysia semakin luntur dan seakan-akan tenggelam
dalam arus pembangunan. Mampukah seseorang itu
berjaya tanpa mempunyai tabiat membaca? Siapakah
sebenarnya yang bertanggungjawab menyemai budaya
membaca dalam diri anak-anak muda? Oleh hal yang
demikian, langkah-langkah yang efektif bagi memupuk
amalan membaca yang mewarnai fokus perbincangan
bakal dikupas dengan lebih terperinci demi kepentingan
bersama.



Suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah
sebuah keluarga merupakan asas kepada sesebuah
masyarakat. Jadi, ibu bapa merupakan aset signifikan
dalam memupuk amalan membaca dalam diri anak-
anak. Hal ini adalah kerana, sebahagian besar peratusan
pembentukan diri anak-anak bermula dari rumah.
Dalam hal ini, ibu bapa merupakan insan yang paling
akrab dan dekat dengan anak-anak. Semasa mereka
kecil, ibu bapa perlu menerapkan budaya membaca
dalam jiwa mereka kerana pada masa ini mereka lebih
mudah dibentuk dan dibimbing. Pepatah Melayu yang
mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungnya
amat sesuai sekali ditujukan kepada ibu bapa.
Sebenarnya, pelbagai inisiatif boleh digunakan oleh ibu
bapa untuk menyemai amalan membaca dalam diri
anak-anak. Seharusnya, para ibu bapa menjadi suri
teladan kepada anak-anak mereka. Ibu bapa ibarat
cermin kepada anak-anak jadi, setiap tingkah laku dan
perbuatan ibu bapa akan diikuti oleh anak-anak.
Sesuatu kebaikan tidak hanya perlu disuruh dengan
kata-kata sebaliknya, perlu dibuktikan dengan
perbuatan. Lantaran itu, ibu bapa wajar mempamerkan
sikap yang positif agar dapat dicontohi oleh anak-anak.
Biar kita ambil contoh, sekiranya ibu bapa membaca,
anak-anak juga akan terdorong untuk membaca. Situasi
ini bertepatan sekali dengan peribahasa bagaimana
acuan begitulah kuihnya. Sehubungan dengan itu, anak-
anak akan lebih berinspirasi jikalau hadirnya ibu bapa
mereka di samping mereka untuk membaca buku
bersama-sama. Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa
menjadi idola terbaik dalam menerapkan nilai positif
dalam diri anak-anak terutama amalan membaca.


Bukan itu sahaja, budaya membaca juga wajar
diterapkan oleh ibu bapa dengan menyediakan sudut
bacaan di rumah. Misalnya, usaha mewujudkan
perpustakaan mini di rumah merupakan satu contoh
yang terbaik untuk menyemai tabiat membaca pada
peringkat awal. Sekiranya ibu bapa tidak mampu untuk
menyediakan satu bilik khas, satu sudut bacaan di
dalam bilik anak-anak juga sudah memadai sebagai
tempat untuk mereka menbaca. Namun, suasana bilik
bacaan atau sudut bacaan ini mestilah kreatif, menarik
dan selesa bagi mengukir minat mereka membaca.
Suasana bilik mahupun sudut bacaan yang kondusif
mampu merangsang minat anak-anak untuk membaca
ketika berada di rumah. Selain itu, sudut ini juga perlu
dilengkapi dengan berbagai-bagai jenis buku sama ada
ilmiah, cerita mahupun ensiklopedia yang menarik.
Apabila terdapat bahan bacaan yang banyak di rumah,
secara tidak langsung boleh membantu memperkaya
kosa kata anak-anak di samping membantu
meningkatkan proses kemantangan mereka. Bertitik
tolak daripada itu, amalan membaca akan menjadi hobi
anak-anak pada waktu senggang. Lantas, masa yang
terluang dapat diisi dan dimanfaatkan dengan aktiviti
yang berfaedah serta tidak membazir masa persis
peribahasa masa itu emas. Lama-kelamaan, minat
membaca dalam diri mereka akan meningkat kerana
mereka berasa seronok dan bersemangat untuk
membaca buku. Memang benarlah bahawa ibu bapa
bertanggungjawab dalam memainkan peranan supaya
anak-anak membesar dalam suasana dan budaya
membaca sejak kecil.



Selain menyediakan sudut bacaan, ibu bapa perlu juga
menggunakan pendekatan yang bijak iaitu memikirkan
cara untuk menarik minat anak-anak mereka terhadap
amalan membaca. Antara inisiatif yang dapat dilakukan
ialah ibu bapa boleh menghadiahkan buku kepada anak-
anak untuk menyemarakkan budaya ilmu dalam diri
mereka. Sebagai analoginya, ibu bapa boleh membeli
buku sebagai hadiah untuk anak-anak sempena
kejayaan mereka dalam akedemik mahupun sempena
hari lahir mereka. Bagi anak-anak yang memperoleh
keputusan yang cemerlang, kejayaan mereka merupakan
buah tangan yang amat bermakna bagi ibu bapa. Oleh
hal yang demikian, ibu bapa wajar memberikan
ganjaran sebagai simbol penghargaan terhadap usaha
mereka selama ini. Perkara ini tentu sekali membuatkan
anak-anak gembira dan rasa disayangi oleh ibu bapa
mereka. Apabila anak-anak rasa dihargai, mereka tetap
akan cuba membaca buku tersebut meskipun buku itu
tidak menarik. Tanpa disedari, dengan berbuat
sedemikian, ibu bapa dapat memancing minat anak-
anak untuk membaca sedikit demi sedikit. Namun
begitu, bagi menarik minat anak-anak membaca, buku
yang dihadiahkan mestilah menarik dan bersesuaian
mengikut usia mereka. Sebagai contoh, ibu bapa boleh
menghadiahkan buku cerita, buku ilmiah ataupun buku
rujukan yang berkualiti untuk membantu anak-anak
dalam pelajaran. Hal ini pasti akan membakar semangat
mereka untuk membaca buku hasil daripada pemberian
ibu bapa mereka. Natijahnya, hasil suntikan semangat
melalui pemberian buku tersebut, minat untuk
membaca dapat dipasakkan dalam jiwa anak-anak.

Di samping menghadiahkan
buku, minat membaca dalam diri anak-anak dapat
disuburkan dengan membawa mereka ke perpustakaan
awam. Sebagaimana yang kita ketahui, perpustakaan
merupakan gerbang ilmu pengetahuan. Dengan ini,
anak-anak dapat didedahkan dengan pelbagai jenis
bahan bacaaan di perpustakaan berbanding di rumah.
Oleh sebab di perpustakaan terdapat banyak buku,
anak-anak mempunyai pelbagai pilihan untuk membaca
buku yang digemari. Sekiranya mereka berkunjung ke
perpustakaan, mereka dapat menghilangkan rasa bosan
apabila hanya membaca buku di rumah. Sekali sekala
tidak salah ibu bapa bertukar angin dan
membawa anak-anak melayari bahtera ilmu di
perpustakaan. Oleh itu, ibu bapa boleh membawa anak-
anak ke perpustakaan awam semasa cuti sekolah atau
pada cuti hujung minggu. Jika waktu peperiksaan
hampir tiba, anak-anak boleh meluangkan masa di
perpustakaan bagi mendapatkan pelbagai buku rujukan
di samping dapat menelaah pelajaran dengan tenang
tanpa gangguan. Selain dapat meningkatkan
pengetahuan anak-anak, ibu bapa turut dapat
meluangkan masa bersama dengan mereka.
Sesungguhnya, selangkah ke perpustakaan, sejuta ilmu
pengetahuan bakal diperoleh. Tegasnya, memang tidak
dapat dinafikan lagi bahawa dengan membawa anak-
anak ke perpustakaan awam, amalan membaca dapat
dipupuk dan disemai dalam hati sanubari mereka.



Umum mengetahui bahawa pada setiap tahun, pihak
kerajaan pasti akan mengadakan pameran mahupun
pesta buku secara besar-besaran. Pameran yang julung-
julung kali diadakan seumpama ini dapat
mempromosikan tabiat membaca kepada anak-anak.
Hal ini disebabkan anak-anak lebih gemar menghadiri
pesta buku kerana disitu terdapat pelbagai jenis buku
daripada pelbagai genre. Misalnya, Putra World Trade
Centre atau dikenali sebagai PWTC yang berpusat di
Kuala Lumpur sering dipilih sebagai lokasi untuk
mengadakan festival buku pada setiap
tahun. Sehubungan dengan itu, para ibu bapa
seharusnya, tidak melepaskan peluang keemasan
yang terbentang di hadapan mata untuk membawa
anak-anak mengunjungi pameran buku tersebut. Hal ini
demikian kerana, di sini, pelbagai buku boleh didapati
dengan potongan harga yang istimewa. Jadi,
pengunjung-pengunjung yang datang bakal memperoleh
diskaun bagi setiap buku yang dibeli di situ. Situasi ini
pastinya membuat anak-anak rambang mata kerana
terdapat pelbagai pilihan buku-buku dan boleh didapati
dengan harga yang jauh lebih murah berbanding di
toko-toko buku yang lain. Memang benarlah bahawa ibu
bapa mampu menyemarakkan budaya membaca dalam
diri anak-anak dengan membawa mereka ke pesta
mahupun pameran buku.

Sebagai menggulung segala yang diperkatakan di atas,
ibu bapa menggalas tanggungjawab yang besar bagi
menanam tabiat membaca dalam jiwa anak-anak. Oleh
itu, pendedahan tentang faedah dan peri pentingnya
amalan membaca kepada anak-anak merupakan antara
ramuan untuk membentuk budaya mencintai
ilmu. Seharusnya, setiap individu perlu sedar bahawa
ilmu pengetahuan merupakan kayu ukur kemajuan
dalam sesebuah negara. Membaca perlu dijadikan
prioriti negara demi menjana masyarakat yang kaya
ilmu dan berdaya fikir. Pada masa yang sama, peranan
segenap lapisan masyarakat tidak boleh disisihkan
dalam usaha membentuk acuan generasi baru yang
memiliki modal intelek dan daya saing yang tinggi.
Sekiranya masyarakat Malaysia rajin membaca, tidak
hairanlah pada suatu hari nanti, impian Malaysia untuk
melahirkan rakyat yang arif lagi budiman akan menjadi
realiti. Secara tidak langsung, amalan membaca dapat
mencelikkan minda masyarakat Malaysia supaya tidak
ketinggalan dalam pelbagai aspek kehidupan. Intihanya,
amalan membaca perlu disematkan di dalam hati
sanubari setiap individu untuk menjana kemajuan
meningkatkan kualiti hidup. Mudah-mudahan, agenda
kerajaan bagi melahirkan rakyat yang maju dan saintifik
dapat direalisasikan dan bukan sekadar omong-omong
kosong.
[1351 patah perkataan]

NUR HIDAYAH BINTI MAIL
5BERLIAN SMKIE (2013)

You might also like