You are on page 1of 2

AMALAN MENABUNG PERLU DIPUPUK SEJAK KECIL LAGI.

BINCANGKAN FAEDAH-
FAEDAH YANG DIPEROLEH MELALUI AMALAN MENABUNG INI.

Amalan menabung dapat didefinisikan sebagai suatu budaya menyimpan wang yang
dilaksanakan secara berterusan. Terdapat pelbagai jenis bekas tabung yang diperbuat daripada
variasi bahan sama ada semula jadi atau tiruan seperti buluh daripada bahan semula jadi dan
plastik daripada bahan tiruan. Namun, kebelakangan ini, amalan menabung kurang dipraktikkan
oleh majoriti masyarakat di Malaysia dan ini jelas mengundang kerisauan kepada beberapa
pihak yang telah bertungkus lumus mengadakan pelbagai kempen berkenaan amalan
menabung ini. Mahu ataupun tidak, pihak yang terlibat haruslah memerah otak mencari
alternatif lain bagi menjadikan amalan menabung ini merupakan suatu perkara yang sinonim
dalam kalangan masyarakat Malaysia dan sekiranya penerangan tentang faedah-faedah yang
diperoleh melalui amalan menabung mampu memberikan reaksi positif, mengapa tidak kita
melakukannya?

Antara faedah yang diperoleh melalui amalan menabung ialah individu itu akan dapat memupuk
diri menjadi seorang yang berjimat cermat. Hal ini berlaku demikian kerana individu tersebut
akan sentiasa mengawal perbelanjaan harian agar dapat menyimpan wang di dalam tabung.
Justeru, individu tersebut akan berjaya mengawal perasaan dan keinginan mereka untuk
memperoleh sesuatu barangan walaupun pada hakikatnya mereka tidak menjadikan barangan
tersebut sebagai suatu keperluan. Tamsilnya, seorang anak yang telah diajar untuk
mengamalkan sikap berjimat cermat oleh ibu bapa mereka akan bijak menggunakan wang yang
diberi dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, pendedahan amalan menabung kepada anak-anak
sejak kecil lagi akan memberikan kesan positif kepada mereka sekaligus menyemat sikap suka
berjimat dalam diri mereka.

Selain itu, faedah lain yang diperoleh melalui amalan menabung yang dipupuk sejak kecil lagi
ialah dapat menjamin masa hadapan yang cerah bagi anak-anak. Hal ini berlaku demikian
kerana hasil tabungan yang dikumpul mereka daripada kecil sehingga dewasa akan dapat
digunakan untuk tujuan tertentu apabila mereka dewasa kelak. Lantaran itu, jika anak-anak
berkehendakkan sesuatu, mereka mampu untuk mendapatkannya tanpa perlu membebankan
atau bergantung harap kepada kedua-dua orang tua mereka. Tamsilnya, jika anak-anak
mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading sama ada dalam atau luar
negara ibu bapa mereka tidak begitu risau dan akan menerima tawaran tersebut dengan hati
yang terbuka tanpa perlu memikirkan soal pembiayaan pengajian anak-anak mereka. Oleh itu,
amalan menabung yang dipupuk sejak kecil lagi jelas memberikan masa hadapan yang cerah
buat cahaya mata mereka.

Bukan itu sahaja, amalan menabung yang disemat dalam diri individu sejak kecil lagi juga akan
dapat menjadi penyelamat pada waktu runcing. Hal ini berlaku demikian kerana hasil tabungan
yang di kumpul dari usia setahun jagung sehingga dewasa akan dapat digunakan ketika
berhadapan sesuatu kejadian yang tidak diduga. Bak kata pepatah Melayu, malang tidak
berbau. Impaknya, individu tersebut tidak berada dalam keadaan terdesak apabila terjadi
sesuatu perkara yang tidak diingini sekiranya mereka menjadikan aktiviti menabung sebagai
suatu amalan. Tamsilnya, hasil tabungan yang dikumpul daripada usia muda dapat digunakan
untuk membiayai kos rawatan yang dikenakan pihak hospital sekiranya salah seorang ahli
keluarga penabung berdepan masalah seperti kemalangan, menghidapi penyakit dan
sebagainya sekaligus dapat memupuk sikap saling membantu dalam ahli keluarga. Oleh itu,
amalan menabung yang dididik sejak anak-anak kecil lagi jelas membantu meringankan
masalah keluarga ketika berdepan situasi rumit.

Intihanya, jelaslah bahawa amalan menabung perludipupuk dalam diri anak-anak sejak mereka
kecil lagi. Dengan demikian, ibu bapa, pihak sekolah serta masyarakat sekeliling haruslah
sentiasa memberi sokongan kepada anak-anak muda masa ini dalam usaha membudayakan
amalan menabung dalam diri mereka. Sekiranya semua pihak menjalankan kewajipan mereka
dengan sebaik-baiknya, tidak mustahil suatu hari nanti anak-anak yang diasuh supaya
membudayakan amalan menabung ini akan menjadi seorang individu yang pemurah,berjimat
cermat serta seorang pekerja yang amanah terutamanya apabila melibatkan urusan kewangan.
Jelaslah, amalan menabung ini merupakan suatu amalan yang mendatangkan banyak kebaikan
kepada individu itu sendiri, keluarga, masyarakat juga negara.

You might also like