You are on page 1of 4

Memanfaatkan Sastera Dalam Abad Ke-21

Memanfaatkan Sastera Dalam Pengajaran dan Pembelajaran


Bahasa Melayu Dalam Abad Ke-21
Pengenalan
Kemunculan abad baru sudah pasti membawa bersamanya cabaran terhadap perkembangan
dunia pendidikan dan bahasa Melayu. Yang penting adalah bagaimana pendidikan bahasa
Melayu harus berhadapan dengan keperluan abad baru ini. Pada hari ini kita ingin melihat
pula kemampuan sastera untuk mengisi ruang dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa
Melayu dalam arus abad ke-21. Jika sastera mampu untuk mengisi ruang tersebut, bagaimana
pula coraknya dapat mewarnai dan menangani proses pengajaran dan pembelajaran bahasa
Melayu.
1. Definisi bahasa dan Sastera
Menurut Kamus Dewan bahasa didefinisikan sebagai sistem lambang bunyi suara yang
dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara individu
dengan individu yang lain). Bahasa juga merupakan percakapan yang baik dan penuh sopan
santun. Bahasa juga meliputi adab, tatatertib, sopan santun, dan tingkah laku yang baik.
Bahasa dirumuskan sebagai satu sistem simbol bunyi ucapan yang arbitrari, dan menjadi
medium manusia berkomunikasi. Bahasa diwujudkan oleh dua komponen utama, iaitu: bunyi
ucapan, dan satuan pengalaman yang mencakup cita, rasa, dan makna. Melalui bahasa, kita
dapat: berkomunikasi, meluahkan perasaan, menyampaikan ilmu dan mengakumulasikannya,
mengungkapkan keindahan dalam pelbagai wahana, dan mewariskan ilmu, budaya,
peradaban, dan agama
Hashim Awang (1985) memperincikan sastera sebagai hasil ciptaan seni yang disampaikan
melalui bahasa. Hasil sastera disebarkan melalui bahasa manakala bahasa mampu
memancarkan keindahan yang terkandung dalam karya sastera. Wahana bahasa menjadikan
karya sastera dapat difahami segala isi dan tujuan yang mahu dilakarkan oleh pengarang.
Karya sastera membicarakan apa yang berlaku dan terlibat pada sesuatu masyarakat sambil
mengemukakan sikap, nilai dan pandangan tertentu. Bagi Ali Ahmad (1994) karya sastera
terkandung di dalamnya nilai-nilai estetika atau keindahan manakala bahasa sastera lahir
bersama-sama pembinaan rasa, cita-cita, imaginasi kehidupan, dan fikiran. Selain itu karya
sastera tidak dapat lari dari membawa bersamanya unsur nilai yang ada perkaitan dengan
keagamaan, kebudayaan, dan kemasyarakatan.
2. Hubungan antara bahasa dan sastera
Titik pertemuan antara bahasa dan sastera adalah sifat sastera itu sendiri yang memerlukan
bahasa sebagai wahana komunikasi. Melalui bahasa isi dan tujuan karya itu dapat difahami
pembaca. Bahasa memungkinkan pembaca menghayati pengalaman dan emosi yang
terkandung dalam karya sastera. Bahasa sastera dilahirkan melalui imaginasi, fikiran, dan

emosi. Bahasa bukan sastera bermaksud untuk memberikan keterangan manakala bahasa
sastera di dalamnya merangkumkan adunan emosi, imaginasi dan pemikiran. Bahasa sastera
membawa unsur ketaksaan dalam maknanya berbanding bahasa bukan sastera yang lebih
objektif sifat maknanya.
Bahasa sastera mempunyai sistem bahasa yang tersendiri. Bahasa sastera tidak terikat pada
sistem bahasa yang amat ketat seperti mana yang perlu ada pada bahasa sains atau bahasa
ilmu. Bahasa sastera juga bukanlah suatu yang sewenang-wenangnya diungkapkan.
Keterikatan dan sekatan makna pada bahasa sastera tidak akan menghidupkan sastera kerana
ia gagal berfungsi meperagamkan emosi dan bayangan. Susun kata dalam sastera juga tidak
boleh sewenang-wenangnya kerana ia akan gagal melahirkan kesan keindahan yang
diharapkan dalam sastera.
Keupayaan bahasa sastera untuk lahir sebagai bahasa yang penuh estetika terletak pada
kebijaksanaan pengarang mengolah bahasa yang melahirkan kesan mendalam terhadap
pembaca. Pengarang berkemampuan untuk menjadikan bahasa beranekaragam kesan
penggunaannya serta melahirkan kesan rasa dalaman terhadap pembaca. Pengarang
menggunakan kata untuk melahirkan makna konotatif atau mempelbagaikan makna kata atau
frasa yang digunakan. Hidupnya karya sastera bergantung kepada hidupnya bahasa yang
digunakan oleh seseorang pengarang.
Selain estetika bahasa, sastera juga mengandungi unsur keindahan yang terkandung dalam
susunan cerita seperti perwatakan, plot, sudut pandangan, latar, dan bentuk. Sastera
mempunyai bentuk berdasarkan genrenya sama ada pantun, syair, sajak, drama, cerpen, atau
novel. Meskipun bahasa menjadi wahana karya sastera namun ia terbina atas organisasi atau
strkutur yang tersendiri. Dalam puisi ada imej dan bunyi sebagai unsur yang menyumbang
kepada pembentukan makna puisi itu sendiri. Dalam cerpen pula ia dibina oleh urutan plot,
latar, watak dan perwatakan serta nilai yang dibawa oleh karya berkenaan.
3. Pengajaran bahasa menggunakan bahan sastera
3.1. Hubungan pembaca dengan teks
Penggunaan bahan sastera dalam pengajaran bahasa bertujuan untuk memupuk minat
membaca dan melahirkan kenikmatan membaca serta penghayatan terhadap bahan sastera.
Bahan sastera dapat memberi kefahaman terhadap pelajar dari aspek penikmatan hasil karya
yang indah, pelahiran emosi, serta pelajar dapat membuat apresiasi dan penghayatan terhadap
karya sastera.
Aspek estetika yang diutamakan dalam penggunaan bahan sastera adalah kebolehan pelajar
untuk memahami dan memberi respons peribadi terhadap karya sastera. Ia dapat dilakukan
melalui penceritaan semula sesebuah karya sastera, mengenalpasti perkara yang menarik
dalam karya sastera, menyatakan bentuk dan nada puisi, menyatakan jenis, ciri, tema dan
persoalan, pemikiran serta nilai dan pengajaran. Di samping itu pelajar berkebolehan untuk
menghuraikan maksud, gaya bahasa, dan unsur bunyi dalam puisi, dan mengulas karya
sastera dari aspek watak dan perwatakan, latar, plot, gaya bahasa, dan sudut pandangan.
Penggunaan bahan sastera dapat membantu merangsang pelajar supaya memberikan pelbagai
tindak balas dalam kegiatan pengajaran-pemelajaran di dalam bilik darjah (Marohaini
Yusoff : 2001). Pelajar boleh menggunakan bahasa secara aktif sewaktu pengajaran

kemahiran bahasa seperti membaca, mendengar, bertutur, dan menulis. Kegiatan membaca,
membuat perbincangan, dan menulis tentang kesusasteraan dapat membantu pelajar
memahami teks yang dibaca dengan lebih baik. Pembacaan bahan sastera dapat memberikan
pelajar latihan dari segi kemahiran pemahaman dan memperkukuhkan perbendaharaan kata
dan kebolehan mereka untuk berfikir secara kritis.

3.2. Kemahiran abad ke-21


Sandra Burchsted merumuskan kemahiran abad ke-21 sebagai berikut :
Literasi Informasi - Kompetensi mencari, menilai dan menggunakan informasi yang
bersesuaian
Literasi Budaya - Menerima dan menghayati kepelbagaian budaya dan manusia;
Kesedaran Global - Memahami dan menerima hubungan antara negara, perbadanan
multinasional, serta manusia di serata dunia;
Adaptabiliti / Kebolehan Menghadapi Kompleksiti;
Kreativiti dan Kesanggupan Menghadapi Risiko Kesediaan untuk meningkatkan
pengetahuan ke arah pendidikan sepanjang hayat
Kreativiti Menggunakan imaginasi untuk membina perkara baru
Pemikiran Tinggi - Proses penyelesaian masalah secara kreatif menggunakan informasi,
pendapat, dan penilaian.
Kerja Berpasukan - Kebolehan bekerjasama dalam satu pasukan ke arah pencapaian
matlamat
Kolaborasi dan Kemahiran Interpersonal Boleh berkomunikasi dan bekerjasama dengan
orang lain dengan berkesan ke arah pencapaian matlamat
Rasional Boleh berfikir secara logik untuk mencapai hasil dan membuat keputusan
Kemahiran Visual Kebolehan membuat interpretasi, dan mengemukakan pendapat melalui
imej, grafik, lakaran, ikon, fotografi, dan video
Kebolehan Merancang dan Mengurus Untuk Mencaoai Hasil
Keberkesanan Mengunakan Kemudahan dan Mencapai Produk Berkualiti (Prospectiva)
Jika dilihat dari aspek kemahiran tersebut bermakna bahasa Melayu mempunyai potensi besar
untuk muncul sebagai bahasa ilmu pada abad ke-21. Nik Safiah Karim (2004) menyatakan
bahawa bahasa Melayu harus muncul sebagai bahasa ilmu dan bahasa perhubungan umum
pada abad ini. Sebagai bahasa ilmu ia memerlukan penyediaan bahan bacaan dan bahan
rujukan yang mencukupi. Di samping itu perlu lahir lebih ramai intelektual yang dapat

menjadi contoh penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pada tempat dan waktu yang
sesuai. Bahasa Melayu perlu muncul sebagai bahasa perhubungan dalam kalangan rakyat
jelata melibatkan pelbagai konteks. Selain menumpukan kepada interaksi bahasa dalam
situasi yang melibatkan pelbagai laras bahasa seperti laras politik, laras sastera dan
sebagainya, penekanan perlu diberikan terhadap estetika bahasa.
Pengisian terhadap estetika bahasa akan menentukan keupayaan bahasa Melayu bertahan
sebagai bahasa komunikasi dan bahasa ilmu abad ke-21. Masyarakat perlu didedahkan
dengan penggunaan bahasa Melayu yang indah dan menarik. Bahasa perlu sebati dengan
masyarakat agar bahasa Melayu dapat diterima sebagai bahasa yang indah dan menarik. Kris
Gutirrez (2000) menerangkan bahawa keperluan pengajaran bahasa pada abad ke-21 adalah
menggunakan bahan yang realistik dan mempunyai perkaitan dengan komuniti. Di samping
itu kemahiran yang diajar hendaklah dapat memenuhi keperluan kerjaya pelajar. Aspek-aspek
yang perlu diberi penekanan termasuklah sosio budaya, linguistik, jati diri bangsa, serta nilai.
Oleh itu peranan bahan sastera dalam pengajaran bahasa amat relevan dalam menentukan
keupayaan bahasa Melayu memenuhi keperluan alaf baru ini.

You might also like