You are on page 1of 2

Internet & Pelajar Abad Ke-21

Assalammualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada guru-guru dan


rakan-rakan sekalian. Pada pagi yang mulia ini saya akan menyampaikan sebuah
syarahan yang bertajuk Internet Dan Pelajar Abad Ke-21.
Hadirin sekalian,
Internet merupakan rangkaian perhubungan yang banyak digunakan
dalam era globalisasi ini. Dunia tanpa sempadan dimungkinkan dengan adanya
jaringan internet ini. Internet mendatangkan manfaat kepada masyarakat tanpa
mengira umur. Keadaan ini menyebabkan kita seolah-olah bergantung kepada
internet untuk menguruskan hal ehwal seharian. Lantas, marilah kita mengkaji
kebaikan internet kepada pelajar abad ke-21 untuk melestarikan manfaat
tersebut sepenuhnya.
Pelajar abad ke-21 merupakan aspirasi negara. Pelajar ini merupakan tunjang
kepada ternyatanya Wawasan 2020. Pelbagai langkah-langkah proaktif yang
diambil oleh kementerian pelajaran bagi meningkatkan kualiti pelajar agar dapat
melahirkan tenaga kerja yang jitu pada masa akan datang. Internet merupakan
platform yang terbaik bagi memudahkan proses pembentukan pelajar abad ke21, hal ini kerana internet mengandungi sejumlah maklumat yang tiada batas.
Melalui internet, pelajar dapat menelaah pelbagai isu semasa di dunia. Pelajar
tidak lagi menjadi katak di bawah tempurung. Maka, dengan menekan papan
kekunci, pelajar dapat menambahkan pengetahuan am dan menjadi insan yang
berilmu. Misalnya dengan adanya Isu semasa Dunia BBC dan Berita Harian di
laman sesawang internet, pelajar dapat mengkaji isu semasa di dunia
bersesuaian dengan sifat ingin tahu pelajar abad ke-21.
Selain itu, sebagai seorang pelajar, mereka dapat memperoleh apa-apa
maklumat yang diingini dengan menggunakan enjin carian "google", "yahoo" dan
sebagainya tanpa perlu bersusah untuk pergi ke perpustakaan. Pelajar juga
boleh memuat turun buku elektronik secara percuma. Maka, melalui Dana 1
Malaysia, kerajaan telah berjaya mengedarkan kira-kira 500000 unit 'netbook'
kepada pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia, dengan harapan inisiatif
ini dapat memanfaatkan teknologi di dunia dalam proses pembelajaran di
samping meningkatkan kadar celik IT di kalangan pelajar.
Seterusnya, kemudahan internet membuka ruang untuk pelajar mengeratkan
hubungan dengan insan tersayang walaupun berada di luar negara. Dengan
menggunakan aplikasi berbual secara talian seperti "skype", "yahoo messenger"
dan sebagainya, pelajar mampu berhubung dengan keluarga dan tidak
menjadikan jarak beribu batu sebagai alasan untuk merenggangkan hubungan
bagai isi dengan kuku. Perkembangan teknologi perhubungan yang
menggunakan internet sebagai medium penggerak utama bagai cendawan
tumbuh selepas hujan dan dapat membawa kesan yang positif. Mereka juga
dapat bertukar-tukar pendapat dengan pengguna internet yang lain semasa
membuat kajian ke atas sesuatu.

Hadirin yang saya hormati,


Keseronokan melayari internet akan membuatkan kita lupa untuk
memperhatikan masa. Apatah lagi sekiranya kemudahan internet ini
disalahgunakan untuk kepentingan sendiri. Selain itu, kelekaan para pelajar
dalam melayari laman sosial juga bakal memberi kesan buruk terhadap mereka
sendiri. Keseronokan mendapat rakan baru di alam maya dan keseronokan
berchatting boleh menjadikan mereka leka dan lupa untuk mengulangkaji
pelajaran dan membuat kerja-kerja sekolah yang diberikan oleh guru.
Selain itu, pelajar-pelajar boleh terpengaruh dengan budaya yang ditonjolkan di
internet. Orang yang tidak bersalah menjadi mangsa mereka. Tidak hairanlah
kita menyaksikan kes melawan guru, berzina, bertumbuk, bergaduh sehingga
membunuh di kalangan remaja sekolah dipaparkan melalui media massa.
Seterusnya, akibat daripada penyalahgunaan internet, ini akan membantutkan
misi negara untuk mencapai wawasan 2020 sekaligus menyekat pembangunan
negara untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama yang unggul.
Kesannya negara kita akan kehilangan tonggak peneraju negara. Dengan mudah
musuh luar dapat menakluk negara kita jika tiada pemimpin yang berkaliber dan
bijaksana.
Nama negara yang gah di mata dunia tercalar akibat daripada rakyatnya yang
terperangkap oleh alam maya dan kerajaan gagal untuk melahirkan modal insan
cemerlang seperti yang digariskan dalam wawasan 2020. Negara kita akan
dipandang rendah oleh negara membangun lain jika hal sedemikian terus
berleluasa. Selain itu, internet boleh dijadikan sebagai medium penyebaran ilmu
negatif yang boleh menyesatkan fahaman pelajar mengenai sesuatu. Guru
memainkan peranan dalam memperbetulkan salah fahaman pelajar terhadap
sesuatu agar pelajar tersebut tidak mempelajari sesuatu yang boleh
membuatkan mereka tergolong dalam golongan orang yang fasiq.
Kesimpulannya, internet mampu membawa kebaikan yang banyak kepada
pelajar jika digunakan dengan sebaik-baiknya. Imam Al-Bukhari pernah
mengungkapkan "Ilmu itu ibarat benih yang tumbuh mekar jika dibajai dengan
baik." Ibu bapa haruslah memantau anak mereka semasa melayari internet
supaya tidak terjerumus ke dalam lembah kejahatan. Semua pihak harus
menggembleng tenaga untuk memperbanyak Pusat Jalur Lebar terutamanya di
kawasan pedalaman supaya masyarakat di sana dapat menikmati kebaikan
internet juga. Maka, slogan "Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan" dapat
diimplimentasikan dan dilestarikan untuk mewujudkan negara yang celik
teknologi seiring dengan Wawasan 2020.
Sekian terima kasih.

You might also like