You are on page 1of 3

Awang dengan Tempayan Buruk

Dalam sebuah kampung, ada seorang pemuda bernama Awang. Awang seorang
yang rajin dan suka membantu. Setiap pagi, Awang akan menebang kayu di hutan untuk
dijualnya di pekan.

Pada suatu hari, semasa Awang sedang berehat di bawah sebatang pokok, seorang
tua lalu di hadapannya sambil mendukung sebuah tempayan buruk yang besar. Orang tua
itu tersungkur kepenatan dan tempayan itu tergolek di sisinya.

Awang : Tok, kenapa, Tok? Tok tidak apa-apa? Biar saya bantu.

Orang tua : Terima kasih, nak. Anak sungguh baik hati.

Awang : Tok hendak ke mana? Tempayan apa ini, Tok?

Orang tua : Tok hendak ke pekan Tanjung. Ini tempayan Datuk Menteri.
Tok hendak menghantar tempayan ini kepada Datuk Menteri.
Ada barang berharga di dalamnya.

Awang : Apa di dalamnya, Tok?

Orang tua : Tok tidak tahu. Tok cuma membawa amanah orang sahaja.
Sekarang Tok tidak berdaya lagi untuk mengangkat tempayan ini.
Bolehkah kamu tolong hantarkannya kepada Datuk Menteri di
pekan Tanjung sana? Tempayan ini mesti sampai hari ini juga.

Awang : Baiklah, Tok.

Orang tua : Terima kasih. Bertuah Tok dapat bertemu dengan anak mudah
yang gagah. Ingat pesan Tok. Tempayan ini jangan sesekali
dibuka.

1
Dalam perjalanannya ke pekan Tanjung, ada beberapa orang bertanya apa yang ada
di dalam tempayan itu. Awang hanya menjawab......

Awang : Saya tidak tahu.

Perempuan : Awak tidak tahu apa yang dibawa? Pekasamkah?

Lelaki : Belacankah?

Awang : Saya tidak tahu. Saya hanya membawa amanah orang.


(berfikir) Apa yang ada di dalam tempayan ini aku tidak perlu tahu.

...... fikir Awang.


Akhirnya, sampai juga Awang di pintu rumah Datuk Menteri. Awang ingin berjumpa
dengan Datuk Menteri. Tiba-tiba, muncul orang tua yang ditemuinya pagi tadi tetapi dia
kelihatan lebih segak dan gagah.

Awang : Tok ada di sini? Boleh saya jumpa Datuk Menteri sekarang?

Orang tua : Sayalah Datuk Menteri dalam negeri ini.

Awang : Kenapa Datuk Menteri menyamar jadi orang tua?

Orang tua : Ada sebabnya. Nanti kamu akan tahu. Sila ikut saya.

Awang dibawa ke istana. Awang dan tempayan itu dipersembahkan kepada raja
dan orang ramai.

Orang tua : Ampun tuanku, tempayan berharga ini telah selamat sampai dibawa
oleh anak muda ini. Boleh hamba pecahkan tempayan ini, tuanku?

2
Semua mata tertumpu ke arah tempayan yang dipecahkan oleh Datuk Menteri.
Sebaik sahaja tempayan itu terbelah, semua orang berpandangan sesama sendiri.

Perempuan : ... kosong?

Lelaki : Eh, kosong?

Awang turut terkejut. Tidak ada benda yang berharga dalam tempayan itu.

Orang tua : Ya, tempayan ini memang kosong. Tetapi, tempayan ini telah
menemukan kita dengan seorang pemuda yang bersifat amanah.
Banyak harta kerajaan tidak sampai ke istana kerana dibawa oleh
orang yang tidak amanah. Ganjaran untuk orang yang amanah
adalah bekerja dengan raja di istana. Syabas, anak muda!

Kini, fahamlah Awang bahawa tempayan kosong itu cuma suatu helah raja untuk
mencari orang yang amanah. Sejak hari itu, tinggallah Awang di istana dan menjadi orang
yang dipercayai raja.

Dipetik dan disesuaikan daripada buku Siri Cerita Rakyat Si Awang oleh Khadijah Hashim, terbitan 'K' Publishing
Sdn Bhd.

You might also like