You are on page 1of 5

Amalan-amalan berpantang selepas bersalin

Written for BabyCenter Malaysia

 Berbengkung amalan utama


 Urut-mengurut

 Bertungku

 Jamu

 Mandi-mandian herba dan akar kayu

 Lain amalan pantang

Betapa pahit dan manisnya pengalaman berpantang bagi wanita Melayu yang baru bersalin. Walaupun tempoh

pantang selama 44 hari adalah suatu masa yang amat menguji kesabaran, boleh dikatakan sebilangan besar wanita

Melayu masih tekun dan rela mengikut tradisi ini. Dikatakan wanita yang rajin berpantang dijamin akan mendapatkan

kembali potongan badan yang asal, menjadi sihat dan cergas seperti sedia kala, kelihatan jelita dan mampu

mengekal minat suami.

Disamping itu, ada kajian moden yang menyokong peranan yang dimainkan oleh bidan kampung yang mendamping

ibu selepas bersalin. Kajian juga mendapati yang beberapa amalan pantang-larang ada kebaikannya. Antaranya,

perlanjutan tempoh penyusuan ibu, larangan atas pergerakan ibu yang berlebihan dan urut-mengurut.

Pakar-pakar antropologi menerangkan bahawa asas amalan pantang-larang kaum Melayu berlandaskan teori empat

elemen berkurun dahulu. Elemen-elemen itu ialah tanah, yang bersifat kering; api, bersifat panas; udara, sejuk; dan,

air, bersifat basah. Elemen-eleman ini mestilah berada dalam keadaan seimbang pada badan seseorang.

Proses bersalin membuatkan tubuh ibu tidak seimbang. Kehilangan darah semasa bersalin membuat badan menjadi

sejuk. Dikatakan pantang-larang Melayu, sekiranya diamal secara lengkap, iaitu mengurut, berbengkung, mematuhi

larangan makanan, serta mengambil jamu dan herba, mujarab untuk mengembalikan tubuh badan wanita kepada

keadaan sihat dan juga dapat mengimbangkan kembali elemen dalam badan.

Ilmu perbidanan juga dikatakan satu anugerah Tuhan bagi individu dan keluarga yang terpilih sahaja, dengan tujuan
supaya mereka membantu wanita dari semua lapisan masyarakat. Bidan kampung dianugerahkannya bagi

membantu wanita desa.

Kini, wanita Melayu di bandar tidak dapat melakukan kesemua pantang-larang sebab tiada keluarga dan masyarakat

keliling untuk menyokong seperti kehidupan masyarakat di kampung dahulu. Apabila ditanya empat orang wanita,

hanya seorang daripada mereka, Nuri, 46 tahun, yang dapat melakukan semua amalan dengan lengkap dan

sempurna. Hajar, 34 tahun, mengamalkan sebahagian besar daripadanya, manakala, Linda, 30 tahun, tidak

melakukannya untuk sepanjang tempoh pantang. Suria, 42 tahun, yang melalui pembedahan caesarean tidak

mengamalkannya langsung.

Lazimnya, hanya wanita yang mampu menempah bidan, atau pengasuh khusus atau mendapatkan emak sendiri

menemani untuk 44 hari, yang dapat mengamalkan pantang dengan lengkap dan sempurna. Namun begitu,

beberapa amalan utama masih banyak dipraktikkan oleh wanita Melayu.

Berbengkung amalan utama


Berbengkung merupakan amalan utama dan anda boleh membeli bengkung dan tak perlu menjahitnya sendiri

seperti dahulu. Belilah dari Internet atau kedai-kedai tertentu. Anda boleh pilih antara tiga jenis bengkung: bengkung

barut yang sama seperti barut kanak-kanak, bengkung Mia yang lebar dan diikat bersilang-seli dari bawah ke atas

dan bengkung Jawa atau bengkung lilit yang merupakan kain lebar sepanjang 15 meter dililit kemas dari pinggul

sampai ke payudara

Baca lebih lanjut mengenai amalan bengkung.

Urut-mengurut
Berurutlah sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut; kalau boleh lebih, lagi baik. Mengikut Datin Sharifah Anisah,

pengasas Nona Roguy (sekarang NR) dan penulis buku Ensiklopedia Perbidanan Melayu, ini akan:

• melancarkan perjalanan darah;

• mengeluarkan darah yang terperangkap dan tertakung;

• menaikkan rahim;

• membetulkan urat tegang, terputus atau yang terkeluar dari tempatnya

• memecahkan lemak;

• mengetat dan membentuk tubuh.


Urutan di bahagian payudara juga melancarkan susu ibu dan ini disokong oleh pakar perubatan juga.

Bertungku
Sebelum berbengkung, wanita bertungku supaya rahim kecut dan darah beku keluar. Darah dan lendir mestilah

mengalir keluar sepanjang tempoh pantang 44 hari mengikut kepercayaan Melayu. Rahim tidak akan bersih

sepenuhnya jika darah berhenti awal dan ini mengugatkan kesihatan. Biasanya, dikatakan bertungku juga:

• memecahkan lemak;

• mengecutkan rahim dan organ yang bengkak akibat bersalin;

• mengembalikan semuanya kepada keadaan asal.

Rahim juga disengkak ke atas untuk mengelakkan daripada rahim jatuh dan penyakit tombong di usia tua.

Bakarlah tungku dan balutlah dengan daun serai, lengkuas, pandan, dan lain-lain, kemudian lapitlah dengan kain.

Bertungkulah selama sejam, tapi jika masa tidak mengizinkan, sekurang-kurangnya setengah jam. Tungkukan paha

juga.

Jamu
Ibu baru disarankan memakan jamu serta herba panas seperti halia dan berpantang dari mengambil buah-buahan

dan sayur-sayuran yang "sejuk". Anda tidak digalakkan memakan hidangan berminyak, dan ini akan membantu anda

kembali kepada berat badan asal (baca lebih lanjut mengenai cara pemakanan yang boleh membantu anda kembali

ke berat badan yang asal). Ibu baru juga dilarang meminum air ais atau minum secara berlebihan sebab perut yang

kembang akan sukar untuk mengecut. Bidan biasanya menggalakkan makan kunyit banyak-banyak sebagai ulam

atau jus sebab ia berkhasiat untuk mengecutkan rahim.

Jamu juga dikatakan berkhasiat untuk:

• mengembalikan tenaga;

• memanaskan badan;

• mengeluarkan lemak dan toksin;

• dan, melawaskan ke bilik air.


Segala organ, otot dan urat, juga, akan mengecut dengan jamu dan kandungan air berlebihan dalam badan akan

keluar. Jamu membuang angin dan menghempiskan perut. Mengikut Datin Sharifah Anisah, apabila semua toksin

keluar, badan akan berbau harum dan berat badan pun akan turun. Makan jamu selama 44 hari memastikan yang

segala kotoran dan toksin keluar dari dalam badan.

Anda boleh membeli set jamu cukup untuk tempoh pantang 44 hari. Anda juga boleh menempahkannya khas dari

bidan kampung. Jamu NR popular di Malaysia di samping Bidan Ratu, jamu Mak Dara dan jamu Afiat. Nyonya

Maneer dan Mustika Ratu dari Indonesia juga digemari.

Hajar juga amat tekun mengamalkan jamu sepanjang pantang. Katanya, “Apabila saya kembali bekerja setelah cuti

bersalin, semua kawan-kawan mengatakan tubuh saya langsing dan muka saya kelihatan berseri-seri." Linda dan

Nuri juga melaporkan bahawa ramai rakan sejawat, lelaki dan perempuan, mengatakan yang mereka kelihatan

cantik, jelita dan langsing! Semuanya akibat jamu.

Mandi-mandian herba dan akar kayu


Ramai ibu baru juga bermandi air rebusan herba, akar kayu dan rempah semasa dalam pantang. Ia akan

mengembalikan kecergasan, membuangkan angin, menghilangkan bau hanyir dan merawat urat yang terputus.

Lain amalan pantang


Cucian untuk bahagian sulit wanita juga banyak digunakan dan bertujuan untuk membersih, membunuh kuman dan

juga menyembuh dan merapatkan vagina untuk kembali kepada keadaan asal. Ada juga amalan rendaman faraj

yang dikatakan efektif untuk menyembuhkan jahitan.

Selain itu, minyak sapu digunakan di perut, di kaki dan lain-lain tempat yang terasa lenguh atau sakit. Ini

menghilangkan angin, melegakan kesakitan dan melicinkan kulit.

Lulur digunakan untuk melicin, melembut, menyerah dan memutihkan kulit.

Lain-lain amalan seperti berdiang, bertangas dan pilis amat jarang dilakukan oleh wanita Melayu moden sebab

kekangan tertentu.

Sesungguhnya, amalan-amalan pantang adalah satu proses menyeluruh bertujuan untuk memeliharakan kesihatan

dan kewanitaan perempuan Melayu. Mengikut Datin Sharifah Anisah Barakbah, pengasas Nona Roguy (sekarang
NR), kepercayaan berpantang berpaksikan kepada penyembuhan rahim yang dikatakan merupakan "penyawa"

wanita yang menentukan kesihatan diri keseluruhan. Rahim yang sihat menghasilkan ibu yang kelihatan berseri dan

menarik pada pandangan. Tidak hairanlah jika wanita Melayu masih berpegang kepada amalan berpantang.

You might also like