You are on page 1of 3

Amalan Kebersihan Budaya Kita

Posted 27 March 2009 By pendita

Pendedahan dalam media massa dan aduan awam mengenai isu pencemaran
persekitaran, perumahan, tempat ibadat, perparitan, sungai, laut, air dan udara
amat membimbangkan kita. Isu-isu pencemaran ini telah menjejaskan kualiti
hidup manusia kerana pencemaran itu amat kotor dan menjijikan. Baru-baru ini
negara kita dikejutkan pula dengan peningkatan penyakit demam denggi,
chikungunya, dan pelbagai jenis penyakit lain. Peningkatan kes demam ini adalah
petunjuk bahawa amalan kebersihan tidak diambil peduli oleh sesetengah
masyarakat.

Sama ada disedari atau tidak, perbuatan yang tidak berakhlak ini menyebabkan
perbelanjaan mengurus meningkat. Justeru, bagi mengurangkan masalah ini
masyarakat perlu mematuhi amalan menjaga kebersihan menurut lunas-lunas
agama, mempunyai kesedaran sivik yang tinggi dan mematuhi undang-undang
serta peraturan yang ditetapkan. Jangan nanti ‘Sudah Terhantuk Baru Tengadah’.

Sikap membudayakan amalan kebersihan adalah bukti kekuatan akidah seseorang


dan disukai oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 222:

Maksudnya: ” Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan


mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri”.

Kajian sebuah syarikat penyelidik antarabangsa telah menyenaraikan hanya 25


buah negara paling bersih di dunia telah dikenalpasti. Antaranya Switzerland,
Sweden, Norway, Finland, Jerman, Jepun, Denmark dan Perancis; malangnya tidak
satu pun negara Islam menduduki tangga tersebut. Persoalan besar timbul di sini
ialah, mengapakah umat Islam tidak boleh mengamalkan kebersihan yang
dituntut oleh Islam sendiri sebagai lambang ketamadunan?

Berdasarkan pemerhatian, negara-negara maju mempunyai budaya menjaga


kebersihan yang tinggi. Walaupun tidak beragama Islam tetapi mereka lebih
mengambil berat aspek kebersihan sepertimana dianjur oleh Islam. Jadi, amalan
kebersihan ini adalah amalan mulia berbentuk menyeluruh kerana Islam amat
mementingkan kebersihan sama ada zahir atau batin.
Prinsip kebersihan di dalam Islam seperti yang ditekankan dalam berwudhuk dan
bersuci dalam ibadat, sepatutnya dihayati dan dijadikan budaya dalam aktiviti
hidup yang lain. Mimbar suka mengingatkan jemaah bahawa membudayakan
atau mentabiatkan amalan hidup bersih ini adalah bermula dari rumah.

Oleh itu, ibu bapa diseru supaya membimbing dan mengajar ahli keluarga tentang
aspek kebersihan. Berdasarkan pemerhatian didapati terdapat perkaitan yang
kuat bahawa mereka yang mementingkan kebersihan adalah mereka yang
bertamadun. Atau dengan kata lain, keluarga yang bertamadun adalah keluarga
yang mementingkan kebersihan.

Kita juga perlu menyoal diri kita sendiri, apakah kita telah menjadi ibu bapa yang
bertamadun? Istilah “tamadun” di sini boleh ditakrifkan sebagai sejumlah
pencapaian dan pemerolehan dalam segala perlakuan, pemikiran dan penciptaan
yang baik, halus, sopan santun bagi pembentukan peribadi, akhlak, tingkah laku
serta budi bahasa yang mulia bagi individu dan juga sesuatu kelompok manusia
yang membentuk sesebuah masyarakat atau negara. Ringkasnya, tamadun boleh
dilihat sebagai pencapaian satu bentuk budaya tinggi.

Oleh itu, sewajarnya umat Islam dituntut untuk menjaga kebersihan. Imam
Muslim meriwayatkan sebuah hadith Rasulullah SAW daripada Ibn Mas’ud:

Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah itu cantik (indah) dan bersih. Dia amat
mencintai kepada perkara yang cantik (indah) dan bersih.”

Hadith ini membuktikan bahawa kebersihan boleh menjadi faktor penentu untuk
mendapat perhatian dan kasih sayang Allah SWT. Allah SWT tidak menyukai
kekotoran. Justeru, kita tidak boleh bersifat pengotor. Pengabaian sikap ini
sebenarnya akan membawa banyak musibah atau masalah kepada manusia
keseluruhannya.

Marilah sama-sama kita menghayati erti kebersihan dalam kehidupan ini.


Kebersihan menjadi lambang kepada ketamadunan umat Islam di negara ini
sampai bila-bila. Mimbar mencadangkan agar kita mematuhi beberapa perkara
berikut:

1. Mendidik ahli keluarga dan masyarakat menjadi orang yang suka


kebersihan dan benci pencemaran,
2. Menghayati amalan kebersihan sebagai budaya hidup muslim sejati,
3. Mengenakan hukuman yang lebih tegas ke atas individu atau kumpulan
yang melakukan pencemaran atau kekotoran, dan
4. Meningkatkan kerjasama setempat dan pihak berkuasa tempatan dalam
aktiviti menjaga kebersihan.

Firman Allah SWT dalam surah ar-Rum ayat 41:

Maksudnya: ” Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di
laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah
hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka,
supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

You might also like