You are on page 1of 11

Amalan Gaya Hidup Sihat

Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak
positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat
ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh
menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan era
moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai
segera. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.

Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu bentuk pemakanan yang
seimbang dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, orang ramai lebih suka
mengambil makanan yang bersifat mudah seperti mengamalkan pengambilan makanan ringan
ataupun makanan segera. Tidak kurang juga masyarakan kita hari ini yang lupa kesan pengambilan
makanan berlemak ataupun makanan yang mempunyai kandungan garam, gula atau sodium
glutamit yang tinggi. Hal ini boleh mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung,
darah tinggi ataupun kencing manis yang juga menjadi punca kematian tertinggi di negara kita.
Orang ramai juga mesti menjauhi amalan buruk seperti merokok atau meminum arak kerana
kesannya amat membahayakan. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan kita semua mencapai
kehidupan yang ceria kerana semua nutrien yang diperlukan oleh badan diperoleh menerusi
pemakanan yang seimbang.

Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh
seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti seperti bersukan,
berekreasi, berjalan atau berlari bersendirian atau bersama-sama keluarga ketika hujung minggu.
Aktiviti senaman seperti ini diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran darah
manusia lebih baik serta menjadikan sistem imunisasi mereka tinggi. Mereka yang gemar bersukan
biasanya memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas berbanding dengan orang yang jarang
bersukan. Jelasnya, semakin kerap senaman dilakukan maka semakin tinggilah tahap kesihatan
seseorang itu kerana minda yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas.

Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan
mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi,
berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian.
Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya
mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum
makan, menutup makanan dengan baik agar tidak diharung lalat mahupun memilih gerai atau
tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa masyarakat dalam aspek
berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus diutamakan agar dapat
membentuk gaya hidup yang sihat dalam kalangan masyarakat.

Pada masa yang sama selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, masyarakat juga
perlu menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan
gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, orang ramai digalakkan
mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan taman perumahan dengan
membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih.
Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk,
lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti
pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar.
Dengan cara demikian, orang ramai akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit
serta membentuk kehidupan yang sihat.

Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka
yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih
bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan
masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan
keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Masyarakat digalakkan menjalin hubungan
komunikasi yang mesra bersama-sama rakan atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan
biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya,
aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini.

Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu
bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan
seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik
tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat
memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Kepada mereka yang menghadapi
tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun
rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan
seseorang pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara
di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat
yang mampu dicapainya kelak.

Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang
dipaparkan tadi. Gaya hidup sihat hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat mengamalkan semua
aspek kehidupan berlandaskan ciri-ciri manusia sihat. Cuma sikap masyarakat yang masih
memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah
kesihatan timbul kelak. Kita semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada
mengubatinya.
Masalah Sosial Dalam Kalangan Pelajar.

Setelah umat mengorak langkah memasuki alaf baru yang penuh dengan pancaroba hidup,
ibu pertiwi kita kini mengalami revolusi gelombang ketiga iatu gelombang teknologi maklumat.
Kerajaan telah merangka dan merencana pelbagai formula dan strategi yang pragmatik lagi
komprehensif dalam usaha untuk membolehkan negara Malaysia “ Duduk sama rendah, berdiri
sama tinggi” dengan negara-negara gergasi lain dalam era siber ini. Negara kita gagah dan bangga
dengan kejayaan yang kita tempa dalam bidang teknologi maklumat. Namun di sebalik tabirnya,
kejayaan dalam bidang teknologi maklumat ini turut meninggalkan pelbagai impak negatif yang
menyebabkan masalah sosial dalam kalangan pelajar meningkat saban hari. Persoalannya, apakah
langkah-langkah proaktif yang dapat dilakukan untuk menangani kemelut ini daripada bertambah
parah?

Bertitik tolak daripada manifestasi itu, ibu bapa sebagai saudara yang terdekat kepada anak-
anak sememangnya memainkan peranan yang signifikan sebagai nakhoda kapal dalam membentuk
peribadi anak-anak mereka. Dalam mengharungi arus pemodenan yang kian deras ini, ibu bapa era
ini hendaklah menunjukkan model dan postur yang baik kepada anak-anak mereka supaya tidak
digelar bagai “ Ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul”. Ibu bapa sendiri seharusnya
menunjukkan teladan yang baik dan tidak melakukan perkara yang negatif di hadapan anak-anak
mereka kerana “ Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.” Anak-anak kecil ini juga diibaratkan sebagai
kain putih yang tidak mengenal apa-apa dan terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorakkan
mereka. Oleh itu, ibu bapa hendaklah memberikan ajaran dan didikan agama yang mantap kepada
anak-anak mereka sejak kecil lagi bak kata pepatah Melayu, “Melentur buluh biarlah dari
rebungnya”. Bagi membendung masalah ini, jalinan kemesraan antara suami isteri juga mesti kukuh,
agar segenap perhatian dan kasih sayang dapat diberikan kepada anak-anak yang menempuh alam
remaja. Dalam konteks yang sama, ibu bapa sewajarnya menyediakan tempat tinggal yang selesa
kepada anak-anak mereka. Biarlah berkereta sederhana, tetapi tempat tinggal seharusnya diberi
keutamaan, agar anak-anak dapat membesar dalam suasana yang selesa dan harmoni. Ibu bapa juga
hendaklah sering meninjau dan memantau kelakuan dan kegiatan yang dilakukan oleh anak-anak
mereka ketika berada di luar rumah. Memang menjadi lumrah bahawa ibu bapa bertanggungjawab
untuk memasang telinga dan tajam hati untuk mengawasi gerak-geri si anak. Permehatian ini
bukanlah sekadar bermusim, sebaik-baiknya berterusan. Sehubungan dengan itu, ibu bapa juga
mestilah menyemaikan benih-benih nilai murni ke dalam sanubari anak-anak supaya mereka dapat
bertindak dengan rasional dengan berpandukan norma-norma masyarakat. Secara tuntasnya, ibu
bapa sememangnya memainkan peranan yang dominan dalam mengatasi fenomena yang kian
meruncing ini.

Sementelahan itu, sekolah sebagai rumah kedua kepada para pelajar hendaklah memainkan
peranan sebagai mata dan telinga dalam membendung masalah ini. Pihak sekolah perlu menyelami
dan memahami apa masalah yang dihadapi oleh para pelajar pada masa kini. Menurut kata Dr.Sun
Yat San, “ Antara pekerjaan yang paling susah ialah memahami dan mengerti. Apabila telah faham
dan mengerti, segala pekerjaan mudah sahaja untuk dilaksanakan”. Jadi tidak hairanlah dengan
memahami masalah yang menempa para pelajar, guru-guru dapat menerangkan kepada para pelajar
faktor-faktor berlakunya masalah tersebut dan seterusnya langkah-langkah untuk mengatasinya.
Penerangan walaupun tidak mendalam tetapi akan memberi kesan yang mendalam kepada para
pendengar. Guru-guru mata pelajaran Pendidikan Moral, Agama Islam, dan Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan pula hendaklah memberikan didikan moral serta agama kepada para pelajar.
Nescaya seseorang yang mempunyai pegangan agama yang kukuh tidak akan goyah untuk
melakukan perbuatan yang negatif meskipun diajak dan dipujuk oleh rakan-rakan sebaya mereka.
Pihak sekolah juga haruslah mengadakan ceramah untuk mendedahkan kepada para pelajar tentang
implikasi-implikasi buruk apabila terlibat dalam gejala negatif. Pendedahan ini diyakini dapat
menyedarkan para pelajar supaya menjauhkan diri daripada anasir-anasir yang negatif. Unit
bimbingan dan kaunseling sekolah pula perlu kerap mengadakan sesi kaunseling dengan para pelajar
yang mempunyai masalah disiplin untuk membentuk jati diri yang ampuh dalam jiwa mereka. Jika
usaha ini tidak berjaya, pihak sekolah perlulah memanggil kedua-dua ibu bapa pelajar terbabit
untuk mengatasi masalah ini agar tidak terus menjadi duri dalam daging. Pendek kata, pihak sekolah
hendaklah menyumbangkan tenaga dalam usaha untuk mengatasi permasalahan global ini.

Seterusnya, usaha untuk menangani masalah disiplin dalam kalangan pelajar haruslah
bermula daripada individu berkenaan. Para pelajar haruslah mempunyai kesedaran diri supaya dapat
mengikiskan sikap-sikap negatif yang terdapat dalam diri mereka. Pelajar sendiri juga hendaklah
menginsafi kesilapan diri dan beriltizam untuk menjadi insan yang salih dan kamil agar dapat
menjadi mentor kepada masyarakat yang lain. Seiringan itu, para pelajar boleh membuat refleksi
diri untuk mengetahui kelemahan diri dan berusaha untuk membaikinya. Seseorang pelajar itu juga
haruslah berhati-hati dalam pergaulan seharian. Hamka, seorang ahli falsafah pernah berkata,
“Pergaulan mempengaruhi didikan otak, pergaulan membentuk kepercayaan dan keyakinan. Oleh
itu, untuk kebersihan jiwa hendaklah bergaul dengan orang yang berbudi, orang yang kita dapat
manfaat daripadanya”. Berdasarkan kata hikmat ini, jelaslah bahawa pergaulan penting untuk
mempengaruhi akhlak dan peribadi seseorang individu. Sekiranya seseorang pelajar itu tersalah
memilih rakan yang rosak akhlak, maka buruklah impaknya. Akibatnya, pelajar itu akan terpengaruh
dengan perbuatan rakannya yang tidak baik. Justeru, para pelajar haruslah bijak memilih rakan dan
menjauhi kumpulan yang berakhlak buruk, yang dapat mempengaruhi mereka dengan gejala
negaitif. Para pelajar juga perlulah mngisikan masa senggang mereka dengan perkara yang
berfaedah. Menurut pepatah Arab, “Masa itu umpama pedang, jika kamu tidak memancungnya,
pasti masa akan memancung kamu”. Daripada kata-kata tersebut, jelaslah kepada kita bahawa masa
amat berharga dan haruslah kita menggunakan masa yang terluang dengan berfaedah. Hal ini secara
tidak langsung dapat menghindari pelajar daripada terjerat dengan kegiatan yang negatif. Tegasnya,
kesedaran diri dalam pelajar adalah amat penting, sebagai langkah alternatif untuk membendung
gejala sosial daripada menular.

Jika kita menyelak akhbar tahun 1980-an dan sebelum itu, kita tidak akan menemui berita
tentang salah laku pelajar yang sanggup merompak, menagih dadah, meragut, berlumba haram,
merogol, malah jauh sekali berbunuhan. Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, kejadian seperti
ini sudah menjadi perkara yang semakin hangat diperdebatkan di seantero ibu pertiwi kita malah
telah menjadi tajuk perbualan yang kian hebat dibincangkan, bermulalah dari meja besar syarikat
sehinggalah ke meja kedai kopi. Ironinya, di manakah pelajar ini memperoleh idea untuk bertindak?
Salah satu sebab yang tidak dapat dinafikan ialah faktor media. Media massa sepatutnya menyiarkan
rancangan yang bertemakan kebudayaan dan bukannya rancangan dari barat yang berunsurkan
keganasan dan negatif. Dalam hal ini, Lembaga Penapis Filem perlu lebih peka untuk mengelakkan
babak yang berunsur negatif disiarkan ke udara. Lantaran itu, media massa elektronik haruslah
sentiasa menyiarkan iklan tentang kesan-kesan buruk gejala sosial di televisyan, melalui radio
ataupun internet. Media massa bercetak juga boleh memaparkan kemudaratan yang dibawa apabila
pelajar terlibat dalam gejala sosial di halaman surat khabar, majalah dan ensiklopedia. Natijahnya,
media massa haruslah memainkan peranan sebagai penggerak utama untuk memastikan pelajar
berada di landasan yang betul.

Di samping itu, kerajaan juga memainkan watak yang penting dalam menangani fenomena
ini. Kerajaan seharusnya bertindak tegas, bukan hangat-hangat tahi ayam dalam usaha untuk
menutup pusat-pusat perjudian dan pub-pub haram yang menyumbang gejala sosial kepada pelajar.
Pusat-pusat hiburan lain yang masih “halal” perlulah dibatal lesen perniagaan jika mereka
membenarkan pengunjung di bawah umur memasuki premis perniagaan mereka. Jika alam di
sekolah indah, disambut dengan alam yang menyenangkan di luar, sekurang-kurangnya masalah
sosial tidak seruncing sekarang. Selain itu, kerajaan hendaklah menguatkuasakan undang-undang
dan mengenakan hukuman yang setimpal ke atas individu yang didapati terlibat dalam gejala sosial
yang melanggari Akta Undang-Undang Negara. Pihak polis pula haruslah meningkatkan rondaan dan
pemantauan di sekitar bandar dan taman perumahan yang sering dilanda kes gejala sosial.
Semuanya bertujuan untuk menggerunkan masyarakat yang melibatkan diri dalam gejala sosial,
sama ada pelajar mahupun belia yang melebihi umur 18 tahun. Kerajaan juga hendaklah
melancarkan kempen-kempen kesedaran dan ceramah bergerak sehingga ke seluruh pelosok
negara. Kempen-kempen dan ceramah ini haruslah dipertingkat dan diperluas ke kawasan-kawasan
pedalaman. Usaha-usaha ini bertujuan untuk membuka mata para pelajar tentang impak-impak
negatif apabila melibatkan diri dalam gejala sosial. Jabatan Rukun Tetangga juga perlu diwujudkan di
setiap taman perumahan supaya kes-kes sosial dapat dikawal dan keamanan penduduk dapat dijaga.
Hal ini secara langsung dapat membanteras gejala-gejala sosial yang berlaku di sekitar taman
perumahan. Walau bagaimanapun, masyarakat setempat hendaklah berganding bahu dengan pihak
kerajaan seperti kata pepatah, “Bagai aur dengan tebing” untuk menangani masalah ini sepenuhnya.
Masyarakat perlulah mengamalkan sikap “Menjaga tepi kain orang” dengan melaporkan gejala-
gejala sosial yang berlaku kepada pihak berkuasa supaya tindakan yang lebih lanjut dapat diambil.
Kerjasama antara masyarakat dan kerajaan diyakini dapat membuahkan hasil yang lebih bermakna
dan bererti.

Kesimpulannya, masalah sosial dalam kalangan pelajar perlu dipandang serius oleh ibu bapa,
masyarakat dan pucuk pimpinan. Dalam usaha untuk menrealisasikan konsep Wawasan 2020, kita
tidak mahu generasi pelapis ini, yang bakal mewarisi kepimpinan nagara dipenuhi oleh mereka yang
tidak berdisiplin. Oleh itu, semua pihak haruslah menggembleng tenaga untuk menangani kemelut
ini sebelum bertambah parah, demi melahirkan pelajar yang berakhlak dan bersahsiah baik. Hal ini
adalah kerana, pelajar-pelajar inilah yang bakal menjadi peneraju negara pada masa hadapan bak
kata pujangga, “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”.
Langkah-langkah bagi mengekalkan bangunan bersejarah

Dalam era permodenan yang dihambat dengan pelbagai kemajuan, Malaysia masih mampu
mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah sebagai warisan budaya yang unggul. Di kota raya
Kuala Lumpur sahaja, tersergam indah bangunan Sultan Abdul Samad yang menjadi mercu tanda
kebanggaan penduduknya. Kerajaan turut mengorak langkah untuk mengekalkan bangunan-
bangunan bersejarah ini bagi memastikan bangunan tersebut terus utuh sebagai bangunan yang
bakal menjadi kebanggaan generasi akan datang. Pada masa yang sama, bangunan bersejarah yang
memiliki seni bina yang unik ini dapat dijadikan satu tarikan kepada para pelancong untuk
berkunjung ke negara kita. Justeru, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memelihara dan
memulihara keunikan bangunan tersebut agar tidak pupus ditelan zaman.

Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan ialah mengorak langkah bagi
mewartakan bangunan bersejarah ini sebagai satu warisan kebangsaan yang perlu dipelihara.
Dengan pewartaan ini, bangunan-bangunan yang kebanyakannya dibina pada era penjajah dan
berusia ratusan tahun, dapat dijamin kewujudannya dan terhindar daripada sebarang usaha
pemusnahan. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur umpamanya, telah meletakkan Bangunan Sultan
Abdul Samad sebagai bangunan bersejarah yang perlu dipertahankan dalam Pelan Induk
Pembangunan Kuala Lumpur. Bagi memastikan bangunan tersebut terus kekal, usaha mengindahkan
semula bangunan ini telah dilaksanakan sejak tahun 2002 lagi. Kesannya, bangunan kebanggaan
negara tersebut kini tersergam indah menanti kunjungan pelancong sama ada dari dalam atau dari
luar negara.

Bagi memenuhi impian seluruh masyarakat yang ingin melihat bangunan bersejarah di
negara kita terus kekal, kerajaan juga telah mengambil inisiatif bagi menjalankan usaha
pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah di seluruh negara. Kerajaan memperuntukkan
sejumlah wang yang bukan kecil jumlahnya demi menjalankan usaha membaik pulih bangunan-
bangunan lama tetapi mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Sebagai contohnya, usaha membaik pulih
Bangunan Sultan Abdul Samad pada sekitar tahun 2007 yang diselia oleh Jabatan Kerja Raya telah
menelan belanja sebanyak RM20 juta. Hal ini meliputi kerja-kerja menambah kemudahan asas di
bangunan tersebut serta menambah baik struktur bangunan yang telah rosak. Perlu diingat bahawa
segala kerja baik pulih tersebut hanya melibatkan bahagian dalam bangunan sahaja, manakala
struktur dan bentuk bahagian luar bangunan tersebut masih dikekalkan dengan ciri-ciri lamanya.
Maka, dengan usaha yang bersungguh-sungguh ini, hasrat masyarakat untuk melihat bangunan
bersejarah di negara kita terus kekal akan dapat dicapai.

Pada masa yang sama, malaksanakan usaha bagi mengindahkan kawasan persekitaran
bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita dengan lanskap yang menarik. Antaranya adalah
dengan mengindahkan taman-taman bunga daripada pelbagai jenis flora yang terdapat di negara
kita. Hal ini bertujuan untuk memastikan bangunan tersebut sentiasa mendapat kunjungan daripada
orang ramai. Kemudahan-kemudahan awam yang terdapat di bahagian dalam mahupun di bahagian
persekitaran turut diperbaiki atau ditambah nilai. Sebagai contohnya, Bangunan Sultan Abdul Samad
turut dilengkapi dengan kemudahan ‘lift’, alat keselamatan serta tempat meletak kenderaan kepada
para pengunjung. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh ini, bangunan-bangunan bersejarah
tersebut mampu menggamit kehadiran pengunjung sekali gus memperkenalkan budaya kita kepada
masyarakat luar negara.

Selain itu, salah satu elemen penting yang mendasari usaha pemuliharaan bangunan
bersejarah di negara kita adalah keterlibatan semua agensi yang berkaitan dengan kerja-kerja
penyelidikan dan pembangunan. Jabatan Arkitek Malaysia dan Jabatan Kerja Raya sebagai
contohnya sentiasa memantau perkembangan usaha-usaha pengekalan bangunan-bangunan
bersejarah di seluruh negara. Hal ini adalah bagi tujuan memastikan agar semua bangunan yang
telah diwartakan sebagai warisan kebangsaan sentiasa terpelihara dan selamat dikunjungi. Tida
cukup dengan usaha tersebut, beberapa buah universiti di tanah air kita sering kali menjalankan
penyelidikan bagi mengenal pasti struktur dan reka bentuk bangunan ini menepati ciri-ciri yang
diharapkan oleh masyarakat Malaysia. Usaha ini turut ditanamkan dalam jiwa kalangan pelajar yang
mengambil mata pelajaran sejarah di mana mereka turut menjalankan kajian tentang bangunan-
bangunan bersejarah di negara kita. Penyelidikan yang berterusan ini mampu menanamkan sikap
cinta akan warisan budaya kita sesuai dengan matlamat kerajaan membangunkan nilai patriotism
dalam jiwa remaja kita hari ini.

Bagi menyempurnakan cita-cita luhur untuk mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah di


negara kita, kerajaan turut bertindak memperkenalkan bangunan warisan tersebut kepada
pelancong dari seluruh dunia. Usaha ini didepani oleh Kementerian Pelancongan dan juga Lembaga
Penggalak Pelancongan Malaysia yang sentiasa merintis jalan bagi memperkenalkan tempat-tempat
menarik di Malaysia. Melalui usaha ini, bangunan-bangunan bersejarah dijadikan sebagai tempat
lawatan wajib bagi pelancong yang mengikuti pakej anjuran Kementerian Pelancongan. Langkah
memperkenalkan bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Kota A famosa, Istana
Jugra dan sebagainya mampu merealisasikan hasrat kita bagi mengekalkan bangunan bersejarah
tersebut agar terus kekal di persada dunia. Pada masa yang sama, pemeliharaan bangunan
bersejarah ini dapat mengekalkan fakta-fakta yang lebih jelas tentang budaya masyarakat kita yang
hidup dan berkembang dalam lingkungannya yang begitu unik.

Intihanya, kewujudan bangunan bersejarah di negara kita yang wujud sejak abad ke dua
puluh lagi, mengambarkan kepelbagaian corak hidup masyarakat dahulu kala. Justeru, usaha untuk
mengekalkan bangunan tersebut bagi tatapan generasi akan datang adalah amat perlu dilaksanakan
demi kesinambungan budaya masyarakat kita. Budaya silam adalah cerminan masyarakat kita hari
ini kerana budaya menunjukkan bangsa. Lantas, tanggungjawab kita adalah perlunya memberi
kerjasama kepada pihak yang terbabit agar usaha memelihara dan memulihara bangunan bersejarah
tersebut akan terus kekal padu dan berpanjangan.
Keburukan penglibatan pelajar dalam industri hiburan tanah air

Dewasa ini, industri hiburan tanah air semakin berkembang maju. Kemajuan industri ini
dapat dilihat melalui monopoli media massa tempatan baik media cetak mahupun media elektronik
yang lebih cenderung pada berita-berita bercorak keseronokan berbanding dengan berita bercorak
pengetahuan. Namun apa yang amat dikesali, ada juga golongan yang cuba meraih keuntungan
mudah dengan mengeksploitasi para remaja khususnya golongan pelajar agar melibatkan diri dalam
dunia hiburan biarpun sepatutnya mereka perlu menggalas wadah memajukan diri dalam bidang
pendidikan. Lantaran budaya berhibur melebihi keutamaan menuntut ilmu, situasi kini sudah pasti
memberi impak yang negatif kepada generasi akan datang. Justeru, apakah kewajaran yang
membolehkan golongan pelajar melibatkan diri dalam dunia hiburan dan apakah pula kesannya?

Antara kesan negatif yang bakal timbul ialah kesukaran pelajar untuk membahagikan waktu
di antara melibatkan diri dalam dunia hiburan dengan tugas utama mereka iaitu menuntut ilmu.
Dalam usia yang masih terlalu muda, dunia pelajar seharus ditumpukan sepenuhnya untuk
memperoleh ilmu sebagai menggalas aspirasi menjadi insan yang berilmu dan berpengetahuan.
Namun jika mereka terlibat dengan dunia hiburan, masa yang ada terpaksa dibahagikan pula dengan
tanggungjawab mereka untuk memajukan diri dalam bidang hiburan. Hal ini sudah tentu akan
menjejaskan keupayaan mereka meluangkan waktu pada pelajaran dan kesannya bakal memberi
impak yang tidak baik kepada pelajar itu sendiri. Sekiranya seseorang pelajar terlibat secara langsung
dalam bidang nyanyian atau lakonan, mereka memerlukan masa yang panjang bukan sahaja untuk
mengikuti penggambaran atau pertunjukan yang diadakan malah masa untuk berlatih juga perlu
diambil kira. Justeru, kesannya akan menyebabkan kesukaran kepada mereka untuk
memperuntukan waktu yang secukupnya pada pelajaran.

Pada masa yang sama, penglibatan pelajar dalam Program Realiti Hiburan seperti yang kerap
kita lihat di kaca televisyen akan menjejaskan peluang pelajar bergiat dalam aktiviti yang dijalankan
di sekolah. Penglibatan mereka juga menyebabkan pelajar terpaksa mengambil cuti untuk
melaksanakan kehendak penganjur hiburan mengadakan pertunjukan di mana-mana juga. Akibat
terikat dengan kontrak bersama dengan syarikat hiburan, para pelajar terpaksa melupakan tugas
utama mereka dalam usia muda iaitu melaksanakan aspek pembelajaran dan mengikuti aktiviti
kokurikulum yang telah ditetapkan. Hal seperti ini akan menyebabkan para pelajar yang terbabit
ketinggalan dalam pelajaran dan menjejaskan prestasi mereka dalam peperiksaan. Bayangkanlah,
apa yang bakal berlaku kepada generasi kita pada masa depan jika rakyatnya tidak berilmu lantaran
memilih bidang hiburan dan mengetepikan ilmu pengetahuan. Janganlah pula sampai ‘yang dikejar
tak dapat, yang dikendong keciciran’.

Realiti hidup sebagai seniman sebenarnya adalah terlalu kompleks dan penuh dengan tipu
muslihat. Persoalannya, mampukah golongan remaja seperti pelajar mengharungi kehidupan dan
menyahut cabaran dalam dunia artis yang penuh cabaran? Bakat yang dimiliki sahaja mungkin tidak
mencukupi jika ilmu di dada tidak seberapa. Menyertai bidang hiburan memerlukan seseorang yang
mampu mendepani segala rintangan, apatah lagi dunia hiburan masa kini berdepan dengan pelbagai
saingan yang terlalu rumit. Dalam usia setahun jagung, kemungkinan untuk menempa nama dalam
dunia hiburan adalah terlalu kecil, lantas mereka berdepan pula dengan kemungkinan menghadapi
kegagalan. Mampukah golongan semuda ini berdepan dengan kegagalan? Kita amat bimbang,
kegagalan akan menjerumuskan golongan pelajar dalam gejala sosial yang tidak sihat seperti
penyalahgunaan dadah, sek bebas dan sebagainya. Justeru, sebelum menceburi bidang hiburan,
remaja khususnya pelajar perlulah bijak menilai dan memilih sebelum membuat keputusan.

Selain itu, dunia hiburan dan pendidikan dilihat sebagai dua dunia yang begitu berbeza. Lihat
sahaja pertuturan seorang artis, pergaulan bebas sesame peminat, pakaian malah keseluruhan gaya
hidup mereka. Hal ini amat berbeza sama sekali dengan objektif pendidikan yang berperanan
melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, emosi dan jasmani. Ambil sahaja contoh rambut
seorang artis, bergaya, panjang dan berwarna. Hal ini amat bertentangan dengan kehendak didiplin
yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Persoalannya nanti, mahukah golongan golongan pelajar yang
telah masuk dalam golongan artis berpakaian kemas, berambut pendek dan menggayakan perlakuan
sopan di khalayak ramai? Mampukah mereka merendahkan rasa ego mereka apabila berada di
sekolah bersama rakan-rakan mereka yang lain? Kesannya lebih menjurus pada keburukan dan
boleh mewujudkan konflik dalam diri pelajar terbabit. Hal inilah yang perlu difikirkan dengan serius
sebelum mengambil pendirian untuk menyertai bidang hiburan.

Ada pula pandangan yang mengatakan bahawa mereka yang menyertai bidang hiburan
adalah individu yang mementingkan ‘glamour’ dan bersifat meterialistik. Kenyataan ini mungkin ada
kebenarannya jika dilihat dari situasi industry hiburan kita pada hari ini. Kejayaan seseorang pelajar
dalam dunia hiburan mungkin bakal melahirkan pelajar yang bersifat bongkak, sombong dan
memandang rakan dan guru sebagai manusia yang tidak patut dihargai. Lihat sahaja perlakuan
seorang artis remaja ketika bercakap dengan seorang jururawat di sebuah hospital. Apa pula
pandangan anda jika seorang artis remaja mengherdik seorang pengawal di sebuah lapangan
terbang di Sepang? Sikap bongkak ini lahir apabila mereka merasakan diri mereka terlalu ‘glamour’
sehingga memandang rendah orang lain yang bukan golongan artis. Natijahnya, sikap negatif
sebegini lahir disebabkan kurangnya nilai-nilai moral yang sepatutnya mereka pelajari di sekolah.
Malangnya, oleh sebab terlalu banyak waktu digunakan untuk dunia hiburan, nilai-nilai moral
sebegini terus dilupakan.

Intihanya, dunia hiburan masa kini bukanlah dunia seorang pelajar. Sebagai pelajar, mereka
perlu mempunyai acuan sendiri iaitu menyahut cabaran mendepani bidang ilmu yang terlalu luas
dan tidak bertepi. Menuntut ilmu memerlukan komitmen yang menyeluruh dan bukan sekadar
melepaskan batuk di tangga. Andai terbuka hati untuk menyertai industri hiburan, berilah ruang
untuk memenuhi ilmu di dada terlebih dahulu kerana hanya ilmu yang mampu membina impian
masa depan gemilang.
Langkah-langkah Melestarikan Permainan Tradisional

Permainan tradisional merupakan warisan bangsa yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek
panas walaupun popularitinya semakin berkurangan. Generasi muda hari ini tidak mengenali
permainan tradisional dengan mendalam kerana kemajuan teknologi yang begitu pesat. Pelbagai
pihak telah berusaha untuk mengembalikan populariti permainan tradisional masyarakat kita.
Namun begitu, belum ada tanda-tanda permainan tradisional akan kembali diminati. Jadi, beberapa
langkah yang sesuai wajar dilaksanakan untuk menghidupkan kembali warisan budaya bangsa ini.

Kerajaan wajar menganjurkan pertandingan-pertandingan permainan tradisional di semua


peringkat sosial. Langkah ini bertujuan untuk menarik minat masyarakat untuk bergiat cergas dalam
bidang sukan tradisional yang semakin dilupakan. Pelbagai hadiah yang menarik wajar disediakan
keranaada gula ada semutnya. Permainan tradisional seperti wau, gasing, galah panjang, congkak,
dan sebagainya sesuai untuk dipertandingkan. Pertandingan ini wajar dijadikan acara bulanan atau
tahunan agar pendedahannya lebih kerap dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Jadi,
penganjuran pertandingan akan dapat mengembalikan populariti permainan tradisional bangsa kita.

Selain itu, pihak berwajib perlu menjadikan permainan tradisional sebagai satu acara untuk
menarik pelancong kerana jika tidak dipecahkan ruyung, manakan mendapat sagunya. Kebanyakan
pelancong mancanegara sudah tentu berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang permainan
tradisional Malaysia yang pelbagai jenis. Kementerian Pelancongan wajar melatih generasi muda
untuk menjadi duta kecil untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada pelancong asing.
Untuk menjadikan permainan tradisional lebih popular, konsep inap desa turut memasukkan
permainan tradisional sebagai acara wajib dalam program berkenaan. Oleh yang demikian,
permainan tradisional dapat diperkenalkan kepada pelancong asing dengan lebih berkesan

Satu lagi langkah untuk memperkenalkan permainan tradisional adalah dengan memasukkan
permainan tradisional sebagai satu aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah atau institusi pengajian
tinggi. Malahan, kanak-kanak di peringkat prasekolah juga wajar didedahkan dengan permainan
tradisional kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kelab-kelab permainan tradisional
hendaklah ditubuhkan dan murid-murid diwajibkan menjadi ahli mana-mana kelab permainan
tradisional yang digemari oleh mereka. Tambahan pula, pertandingan permainan tradisional antara
sekolah-sekolah akan menyemarakkan lagi semangat murid untuk memahirkan diri dengan
permainan-permainan tradisional tertentu. Langkah ini sudah tentu dapat menghidupkan kembali
kegemilangan permainan tradisional dalam kalangan generasi muda di negara kita

Kesimpulannya, permainan tradisional memang wajar dikembalikan kegemilangannya dalam


kalangan generasi muda. Semua pihak hendaklah berganding bahu untuk mempopularkan kembali
warisan bangsa yang tidak ternilai harganya ini. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat
manusia kerana muafakat. Jika tidak permainan tradisional warisan berzaman ini hanya tinggal nama
sahaja pada suatu masa nanti. Kerjasama dan iltizam semua pihak akan dapat mempopularkan
kembali warisan bangsa kita sampai bila-bila.

You might also like