You are on page 1of 2

Amalan gotong-royong masih teguh diamalkan di kalangan

masyarakat di luar bandar berbanding masyarakat di bandar

Amalan gotong-royong merupakan amalan masyarakat kita yang mengutamakan


semangat bekerjasama di antara satu sama lain, bak kata pepatah `berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing’.
Masyarakat di luar bandar masih teguh mengamalkan gotong-royong kerana
masyarakat ini amat mementingkan perpaduan dan nilai tradisi serta suka hidup tolong-
menolong dan melakukan kerja secara sukarela. Struktur anggota masyarakat ini yang
terdiri daripada saudara-mara sendiri memudahkan lagi amalan ini dilaksanakan.
Berdasarkan hal inilah masyarakat tersebut sama-sama menggembleng tenaga dan
berkorban masa untuk menjayakan sebarang aktiviti yang dijalankan oleh ahlinya.
Selain itu, hubungan antara jiran masih kukuh dan kemesraan di kalangan
penduduk luar bandar lebih terjalin erat. Keadaan sebegini mendorong mereka untuk
berkumpul dan berbincang dalam menjayakan sesuatu aktiviti gotong-royong. Dengan
adanya keharmonian dan kemesraan di kalangan setiap lapisan masyarakat
membolehkan mereka dengan tidak segan-silu meminta bantuan dan pertolongan. Hal
ini kerana mereka berpegang kepada hakikat bahawa segala-galanya bertolak daripada
sifat manusia sebagai makhluk yang lemah. Oleh itu, kita saling bergantung antara satu
sama lain.
Corak petempatan masyarakat di luar bandar juga menyebabkan amalan
gotong-royong masih teguh diamalkan. Corak petempatan kampung tradisional yang
berselerak di meratarata tempat dan mempunyai kawasan yang luas membolehkan
aktiviti gotong-royong dijalankan dengan mudah. Ini berbeza dengan corak petempatan
dan masalah kekurangan tanah di bandar yang tidak menggalakkan aktiviti gotong-
royong dijalankan.
Masyarakat di bandar lebih berorientasikan pekerjaan berbanding masyarakat di
luar bandar. Mereka bekerja dari pagi hingga ke lewat petang dan sesetengahnya pula
hingga ke malam. Corak pekerjaan yang sedemikian menyukarkan mereka untuk
melibatkan diri dengan aktiviti gotong-royong. Pada hujung minggu pula
kebanyakannya menumpukan masa kepada urusan keluarga. Memang tidak dapat
dinafikan aktiviti gotong-royong ada dijalankan di bandar, tetapi sambutannya kurang
menggalakkan. Mereka lebih gemar mengupah pihak tertentu untuk melakukan kerja
yang biasanya dibuat secara bergotongroyong oleh masyarakat luar bandar.
Masyarakat di bandar juga lebih bersikap individualistik dan gemar menunjukkan
kelebihan masing-masing. Apatah lagi kemewahan dan kesenangan hidup yang
dikecapi menyebabkan mereka beranggapan bahawa pertolongan orang lain kurang
diperlukan. Mereka berasakan mereka boleh hidup tanpa bergantung kepada orang
lain. Sehubungan itu, persepsi masyarakat di bandar mengenai amalan gotong-royong
adalah sebagai perkara remeh. Akibatnya, amalan ini semakin terpinggir.
Tahap pembangunan yang kurang pesat di luar bandar berbanding di bandar
turut menyebabkan masyarakat di situ lebih memerlukan antara satu sama lain. Mereka
menghadapi banyak kepayahan. Lagipun pendapatan mereka tidak sebanyak penghuni
bandar. Oleh itu, mereka tidak berkemampuan untuk mengadakan majlis keramaian
seperti majlis perkahwinan di hotel atau di dewan tertentu. Mereka juga kurang mampu
untuk membuat tempahan makanan yang siap dimasak untuk majlis tersebut.
Sebaliknya mereka lebih memerlukan bantuan daripada jiran dan saudara-mara bagi
menjayakan sesuatu majlis keramaian itu.
Kesimpulannya, amalan gotong-royong di kalangan anggota masyarakat di luar
bandar perlu dicontohi oleh penduduk bandar kerana amalan tersebut banyak
membawa manfaat bersama. Kesedaran tentang hal ini perlu ditanam di jiwa generasi
baru agar tidak luput ditelan zaman.

You might also like