You are on page 1of 2

Amalan yang kecil

Assalamualaikum w.b.t. Sabda Rasulullah SAW : Setiap yang baik itu sedekah Terdapat banyak cara yang boleh kita lakukan untuk bersedekah. Sedekah bukannya dikira berdasarkan nilai wang semata-mata, bahkan skopnya sangat luas. Setiap kata-kata yang baik dikira sedekah. Setiap langkah menuju solat itu sedekah. Hatta senyuman itu juga diambil kira sebagai sedekah (n_n) Nah, terbuka luas jalan untuk kita melakukan sedekah. Pendek kata, segala amalan kebaikan yang kita buat, ganjaran pahalanya pasti ada. Ketika solat, kebanyakan orang akan memakai songkok atau kopiah. Ada segelintir yang tak memakainya. Pemakaian songkok atau kopiah pun dikira sebagai perkara maruf jika dilakukan. Terkadang kita selalu memandang remeh akan hal ini. Solat tanpa kopiah atau songkok pun dikira sah. Namun, lagilah cantik kalau kita sempurnakan zahir kita dengan amalan maruf ini agar kita mendapat ganjaran pahala yang dijanjikan. Selain itu, mendahulukan kaki kanan ketika memakai kasut. Ini juga dikira sebagai yang maruf. Nampak memang sangat mudah. Mulakan kaki kanan dahulu ketika memakai kasut. Apabila nak menanggalkan kasut pula, keluarkan kaki kiri dahulu. Sebabnya? Supaya kaki kanan berada lagi lama di dalam kasut berbanding kaki kiri. Ini sebagai satu bentuk penghormatan kepada kaki kanan. Persoalannya, pernahkah kita fikirkan ini semua dan melakukannya? Bahkan masuk ke masjid dengan kaki kanan dahulu, disertai doa masuk masjid, juga antara adab yang harus menjadi amalan yang boleh menambahkan pahala kita. Kalau difikir-fikirkan, segala aktiviti harian dalam hidup ini, semuanya dikira sebagai kebaikan dan berpahala sekiranya kena cara dan aturannya. Boleh jadi, sekecil-kecil amalan yang kita buat, dipandang tinggi oleh ALLAH. Kita fikir benda tu nampak KECIL dan REMEH. Tapi di sisi ALLAH, siapa yang tahu?

Kita pun tak dapat menilai amalan manakah yang kita buat, yang diterima oleh ALLAH. Kerana setiap yang baik itu, dianggap satu bentuk sedekah yang ternyata sangat menguntungkan jika diamalkan. Sekecil-kecil amalan itu, mungkin sebesar-besarnya di sisi ALLAH. Jadi, janganlah kita memandang mudah pada segala bentuk amalan yang baik itu. Selagi dikurniakan kesempatan, ruang dan peluang, maka berlumbalah melakukan amal kebaikan. InsyaALLAH ada sahamnya di akhirat kelak. Dan bak kata Ustaz Syed Abdul Kadir dalam ceramahnya, kita perlu kreatif dalam mencari pahala. Sebagaimana kita kreatif dalam urusan dunia untuk mendapat kesenangan dan keuntungan, maka begitu juga halnya dengan urusan akhirat. Ingatlah apa saja yang kita lakukan sama ada baik atau buruk walau sekecil mana sekalipun akan dibalas oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya: Sesiapa yang melakukan kebaikan walau sebesar zarah akan dia lihat dan terima balasannya. Dan sesiapa yang melakukan kejahatan walau sebesar zarah akan dia lihat dan terima balasannya (Surah Al-Zalzalah: 7-8) Walaupun usaha kita nampak KECIL, tapi ada kemungkinannya usaha itu boleh membawa kepada sesuatu yang besar dan bermanfaat di masa akan datang, Insya ALLAH. Moga kita Istiqamah, Insya ALLAH.

You might also like