You are on page 1of 5

Amalan Jahiliyyah Disangka Ajaran Agama

Oleh : Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Ruangan Tazkirah, Harakah.

Kesetiaan insan terhadap ALLAH swt diikat dengan sebuah perjanjian dua kalimah syahadah,
dengan itu manusia seolah-olah seorang kontraktor yang telah menandatangani perjanjian
untuk sesuatu tender bagi melaksanakan suatu projek yang besar. Kesempurnaan projek yang
telah dipersetujui bergantung sejauh mana ia memenuhi syarat-syarat dan juga plan yang telah
ditetapkan.

Dalam ertikata lain bahawa keimanan seseorang hanya akan diiktiraf oleh ALLAH apabila ia
melaksanakan ikrar. Dengan melaksanakan segala peraturan yang ditetapkan di dalam syariat
islam. Sekiranya perlaksanaan tidak memenuhi syarat rukun yang digariskan oleh syariat,
bererti mereka tidak melaksanakan ikrar sebagaimana kontraktor yang melakukan kerja binaan
tanpa merujuk kepada plan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Setiap orang mukmin bukan sahaja mereka menghayati kehendak kedua kalmah syahadah
yang telah diikrarkan tapi juga mereka sentiasa membaharui ikrar disetiapkali mendirikan solat.
Mereka bersumpah setia bahawa segala urusan kehidupan mereka samaada dalam urusan
ibdah, siasah, muamalah, nikah kawin dan lain-lainnya. Hatta kepada perkara yang
bersangkutan dengan mati, hubungan orang yang hidup dengan orang yang telah mati.
Manusia berjanji akan menguruskannya menurut kehendak ALLAH yakni dengan mematuhi
syariat ALLAH.

Jesteru itu dalam memperkatakan hal-hal yang berhubung dengan soal kematian iaitu
penyelenggaraan dan hubungan dengan penghuni alam berzakh, maka manusia tidak perlu
mengambil atau meniru tradisi dan budaya jahiliyyah. Segala kaifiat dan cara menguruskan
jenazah telah dijelaskan oleh sunnah Nabi s.a.w.

Adalah sangat malang bagi masyarakat pak turut mereka sering melakukan perkara-perkara
yang tidak mempunyai alasan Nas atau Dalil samaada dalil al-Quran atau sunnah. Mereka
melakukan perkara yang bercanggah dengan petunjuk Rasulullah, mereka melakukan secara
turun temurun, berdasarkan bahawa perkara itu dilakukan oleh ibu bapa dan nenek moyang
mereka.

Terdapat orang yang berusaha dan membelanjakan wang yang banyak untuk menunjukkan
bukti kasih sayang mereka terhadap ibu bapa mereka yang telah mati atau suami serta isteri
yang meninggal dunia, ada diantara mereka mendirikan bangunan atau binaan dari batu mar-
mar yang mahal lalu mereka menganggap bahawaitu bukti kasih sayang mereka.

Padahal binaan yang mereka dirikan itu tidak memberi sebarang erti kepada orang yang telah
mati, ia bukan sahaja suatu perbuatan sia-sia yang membazir, malah perbuatan itu dianggap
oleh islam sebagai perbuatan jahiliyyah.

Panduan

Islam telah menggariskan panduan yang sangat mudah bagi seorang anak, suami atau isteri
yang hendak menyatakan rasa kasih sayang terhadap mereka yang telah berada di alam
Barzakh itu dengan cara mendoakan mereka semoga ALLAH ampunkan dosanya, dihindarikan
dari segala pancaroba dan huru hara di alam kubur. Mudah-mudahan ALLAH s.w.t. kurniakan
ke atas ruhnya sepenuh rahmat agar tanah perkuburan itu menjadi tempat istirehat yang aman
sebelum mereka dimasukkan ke dalam syrga ALLAH di akhirat kelak.

Pengarang kitab at-Tazkirah iaitu al-Qurtubi dengan jelas mengatakan bahawa diantara amalan
jahiliyyah ialah mengadakan suatu himpunan beramai-ramai diperkuburan, di masjid atau di
rumah dengan berzikir dan juga lain-lain bacaan, serta mengadakan jamuan makan minum
dengan tujuan untuk orang mati, disebut orang sebagai kenduri Arwah. Dengan jelas perbuatan
itu tiada Nas yang menjadi rujukannya dan tiada petunjuk sunnah yang menjadi ikutan.

Sesungguhnya ia adalah dari perbuatan jahiliyyah.

Kenyataan ini mungkin agak keras dan pahit boleh jadi suatu penjelasan yang mengejutkan
terutama terhadap mereka yang mengamalkan perkara tersebut secara ikut-ikutan dan
membuta tuli tanpa mengkaji dari sudut ilmiyah. Tetapi inilah hakikat Islam yang mesti diakui
oleh penganutnya yang sedia kembali kepada al-Quran dan Sunnah.

Tidak dapat dinafikan bahawa amalan tersebut telah berakar umbi di dalam masyarakat
melayu, sehingga sebahagian dari mereka menganggap bahawa amalan tersebut adalah
merupakan amalan agama yang mesti dilakukan setiap kali berlaku kematian.

Elok juga dijelaskan di sini bahawa tidak ada manusia lebih mengasihi dan sayang terhadap
orang lain yang mengatasi kasih-sayang Nabi s.a.w. terhadap umatnya. Carilah di dunia ini jika
ada manusia yang lebih sayang terhadap orang lain atau terhadap ibu bapa mereka jika
dibandingkan dengan kasih sayang Nabi terhadap umatnya. Walaupun Nabi terlalu sayang
terhadap umatnya terutama terhadap para sahabatnya yang sentiasa membantu Nabi di dalam
suasana damai dan perang namun Nabi tidak pernah melakukan majlis zikir atau tahlil untuk
sahabat-sahabatnya r.a yang mati.

Orang yang paling sayang terhadap Nabi s.a.w. adalah para sahabatnya yang sentiasa berada
di sisi Nabi siang dan malam, namun pernahkah terdapat para sahabat berhimpun dan berzikir
dan bertahlil untuk Nabi s.a.w. ? jika perkara itu tidak dilakukan oleh Nabi dan juga para
sahabat maka dari manakah punca amalan itu diambil.

Sejarah menunjukkan bahawa sebelum Islam datang ke tanah melayu, orang-orang melayu
telah menganut agama hindu. Jesteru itu terdapat banyak tradisi dan budaya hindu yang masih
terdapat dalam amalan orang melayu.

Contohnya apabila orang Islam mengadakan upacara nikah, mereka lakukan menurut islam
berdasarkan rukun nikah seperti yang ditetapkan oleh syariat. Tapi selepas itu mereka
mengadakan upacara persandingan dengan upacara menepung tawar, menabur beras kunyit
dan sebagainya, sedangkan persandingan dan segala tradisi tersebut adalah dari kebudayaan
hindu.

Demikianlah samaada disedari atau tidak sebahagian besar orang melayu telah mencampur
adukkan Islam dan kebudayaan hindu dalam urusan nikah kahwin adalah menjadi perkara
lumrah dalam masyarakat melayu. Maka demikian juga orang melayu telah secara sedar atau
tidak telah mengambil tradisi jahiliyyah dalam pengurusan mayat.

Apa yang paling mendukacitakan, mereka menganggap amalan tersebut sebahagian dari
amalan Islam, padahal Rasulullah sa.w. tidak pernah menunjukkan contoh seperti itu dalam
sunnahnya.

TAZKIRAH-PERINGATAN AKHBAR HARAKAH


Oleh Tuan Guru Hj. Nik Abd.Aziz

HANTAR JAMUAN & BANTUAN KEPADA KELUARGA SI MATI


Ahmad bin Hambal rahimahullah berpendapat bahawa mengadakan jamuan untuk mayat
(kenduri arwah) dan juga membaca al-Quran di sekeliling mayat tidak pernah dilakukan oleh
Rasulullah s.a.w terhadap para sahabat yang meninggal dunia. Begitu juga sebaliknya, para
sahabat tidak pernah membacakan al-Quran untuk jenazah Rasulullah s.a.w ketika Rasulullah
s.a.w wafat. Oleh yang demikian perbuatan tersebut disifatkan oleh Ahmad bin Hambal sebagai
perbuatan Jahilliah.

Oleh yang demikian, apakah yang mendorong sesetengah orang [peny: termasuk ahli
Jamaah Islam] mengadakan amalan yang tidak bersumberkan dari ajaran Rasulullah s.a.w?
Tidak lain kerana mereka beranggapan bahawa mengadakan bacaan ayat-ayat al-Quran di
sekeliling mayat dan juga mengadakan jamuan (kenduri arwah) itu dianggap perkara baik.

Sesungguhnya baik buruknya sesuatu amalan itu bukanlah berdasarkan ukuran sendiri,
tetapi segala bentuk ibadah itu mestilah mempunyai asas yang kukuh bersumberkan kepada
syariat Allah SWT. Ia hanya dianggap baik jika yang mengadakan syariat iaitu Allah SWT sendiri
dan juga Rasul-Nya yang mengatakan baik, jika tidak, maka ia akan menjadi sebaliknya.

Rasulullah s.a.w telah bersabda: Isna’ull Aall Ja’farin to’aman yang bermaksud:
“Hendaklah kamu (para sahabat) mengadakan (menghantar) makanan untuk keluarga Ja’far.
Rasulullah s.a.w bersabda demikian ketika Ja’far bin Abu Talib, sepupu Nabi s.a.w syahid di
dalam satu peperangan.

Hadis tersebut dengan jelas menganjurkan supaya orang ramai bersimpati kepada balu
dan juga keluarga si mati, dengan menghantar makanan ke rumah keluarga Ja’far yang sedang
bersedih di atas kematian Ja’far bin Abu Talib itu. Adalah menjadi kewajipan jiran tetangga dan
ahli masyarakat bukan sekadar mengucapkan ta’ziah dan turut merasai sedih di atas kematian
tersebut, tetapi turut meringankan beban tanggungan balu dan keluarga tersebut yang dalam
kesukaran baru ditinggalkan oleh suami dan bapa-bapa mereka.

Dalam keadaan bersedih disebabkan kematian itu, adalah tidak wajar mereka pula
terpaksa mengadakan jamuan untuk jiran tetangga dan anggota masyarakat, apatah lagi
sesetengahnya terpaksa menyediakan wang upah untuk sembahyang jenazah. Ia bukan sahaja
membebankan keluarga berkenaan tetapi ini seolah-olah ‘sudah jatuh ditimpa tangga’,
sudahlah mereka kehilangan seseorang dalam keluarganya, ditambah pula dengan beban
mengadakan jamuan untuk orang ramai.
http://al-qayyim.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=164

You might also like