You are on page 1of 2

GAYA HIDUP YANG SIHAT Setiap orang di dunia ini ingin mempunyai tubuh badan yang sihat.

Dengan adanya kesihatan, seseorang dapat menjauhi pelbagai jenis penyakit yang membawa sesengsaraan. Orang yang kehilangan kesihatan ialah orang yang paling menghargai kesihatan. Hal ini dikatakan demikian kerana tanpa kesihatan, seseorang tidak dapat hidup bahagia meskipun dia kaya raya. Banyak aktiviti yang diminatinya tidak dapat dilakukan, seperti melancong, bermain bola, dan aktiviti hiburan. Tambahan pula, kesihatan juga mendatangkan impak positif kepada otak seseorang, bak kata pepatah otak yang cerdas terletak pada badan yang sihat. Yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Kesihatan tidak datang dengan sendirinya. Untuk mendapatkan kesihatan, seseorang perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat. Antara gaya hidup yang sihat termasuklah bersenam. Aktiviti senaman sudah lama dibuktikan oleh pakar perubatan sebagai cara yang berkesan untuk membaiki sistem peredaran darah manusia, menggiatkan sistem perkumuhan serta menguatkan sistem imunisasi. Apabila bersenam, bahan toksik di dalam badan kita akan dikeluarkan melalui peluh. Penyakit berbahaya seperti kencing manis, darah tinggi, dan sakit jantung dapat dielakkan dengan jika kita kerap bersenam. Selain itu, kita perlu mengamalkan corak pemakanan yang seimbang dalam kehidupan harian kita. Banyak orang yang makan semata-mata untuk memenehui kehendak selera tanpa memikirkan kesan buruk yang mungkin timbul. Hal ini terbukti dengan hakikat bahawa makanan segera menjadi makanan kegemaran banyak orang sedangkan makanan segera merupakan makanan yang memudaratkan kesihatan kita. Pada hakikatnya, makanan kita hendaklah seimbang. Ketiadaan diet yang seimbang nescaya menjejaskan kesihatan kita kerana tubuh badan kita memerlukan zat serta vitamin yang secukupnya untuk menjamin kesihatan seperti karbohidrat, protein, vitamin, dan zat galian. Kita perlu mengamalkan pemakanan mengikut piramid makanan yang disarankan oleh pakar perubatan. Sebagai contoh, makanan yang mengandungi lemak, gula, dan garam yang berlebihan perlu dikurangkan kerana makanan sedemikian sudah terbukti memudaratkan kesihatan. Nasihat pakar perubatan perlu tersemat di dalam hati kita kerana mencegah lebih penting daripada mengubati . Seterusnya, tabiat buruk yang memudaratkan kesihatan seperti menghisap rokok, minum minuman keras, menghidu gam, dan menagih dadah perlu dielakkan. Semua aktiviti ini telah terbukti sebagai punca pelbagai jenis penyakit yang berbahaya seperti barah peparu, sakit jantung, dan darah tinggi. Peribahasa Melayu yang berbunyi ingat sebelum kena, jimat sebelum habis hendaklah kita jadikan sebagai pedoman hidup, janganlah sudah terhantuk baru tengadah. Bukan itu sahaja, gaya hidup yang sihat juga termasuk penjagaan kebersihan diri serta kawasan kediaman dan alam sekitar kerana kebersihan turut mempengaruhi kesihatan kita. Tubuh badan serta kawasan kediaman dan alam sekitar yang kotor akan mengundang kuman yang menjejaskan kesihatan kita. Nilai penjagaan kebersihan perlu disemaikan ke dalam jiwa anak sejak kecil lagi, seperti kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Selain itu, gaya hidup yang sihat juga memerlukan kita mempunyai masa rehat dan masa tidur yang mencukupi. Tanpa masa rehat dan masa tidur yang mencukupi, tenaga seseorang tidak dapat dipulihkan dan organ di dalam badan kita akan mengalami stres. Lama-kelamaan, kesihatan seseorang akan merosot. Di samping itu, gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang. Kita perlu hidup dengan optimistik dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain. Ahli psikologi telah membuktikan bahawa orang yang suka hidup bersendirian seperti kera sumbang mudah mengalami sakit jiwa. Hal dikatakan demikian kerana mereka suka menyimpan masalah mereka dan enggan meluahkan isi hati mereka kepada sesiapa pun. Dengan cara ini, masalah mereka tidak mungkin dapat diselesaikan dan lama-kelamaan mereka akan menghidap penyakit jiwa. Kesimpulannya, untuk menikmati kesihatan, kita perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Kempen kesedaran tentang gaya hidup yang sihat perlu dijalankan dari semasa ke semasa untuk membuka mata serta minda rakyat agar taraf kesihatan rakyat dapat ditingkatkan. Produktiviti negara akan terjejas jika rakyat tidak sihat. Tegasnya, kemajuan dan kesejahteraan negara banyak bergantung pada taraf kesihatan rakyat.

You might also like