You are on page 1of 2

Amalan Menabung

Faedah Menabung
Menabung merupakan satu amalan proaktif berpaksikan kesedaran seseorang dalam membuat
persediaan bagi menjamin masa depan yang cerah. Pada zaman pascaglobalisasi ini, menyimpan
wang tabungan di bank merupakan prakarsa yang efektif untuk memastikan wang tabungan
disimpan dengan selamat berbanding dengan menyimpan wang secara konvesional di rumah. Malah
terdapat juga tabungan yang dibuat melalui skim pelaburan yang menjanjikan dividen yang tinggi.
Amalan menabung ini perlu dijadikan instrumen dalam mendepani kos hidup yang semakin
kompleks dan mencabar. Walaupun amalan menabung ini merupakan perkara yang positif, masih
ramai golongan remaja yang memandang sepi akan faedah menabung kepada mereka. Pelbagai
pihak perlu membuka mata akan faedah menabung kepada seseorang apatah lagi dalam era ledakan
maklumat dan bahang industrialisasi kini.
Aktiviti menabung membolehkan seseorang merencana masa depan dengan ekonomi yang kukuh
dan mapan. Hal ini kerana menabung merupakan alternatif untuk menambah pendapatan dengan
menyimpan wang di bank secara berterusan dan dalam jangka masa panjang. Melalui penyimpanan
ini, pendeposit akan memperoleh faedah atau dividen daripada pihak bank mahupun agensi
pelaburan. Apabila wang sudah terkumpul, seseorang individu tidak akan berdepan dengan masalah
ketirisan wang sehingga boleh menjejaskan keselesaan hidup mereka. Amalan gali lubang tutup
lubang dengan meminjam daripada rakan-rakan atau saudara mara akan dapat diatasi. Amalan ini
bukan sahaja boleh merosakkan institusi kekeluargaan malah boleh merenggangkan persahabatan
apabila pinjaman tidak dapat dibayar semula. Sebagai contohnya, seseorang individu boleh
menggunakan wang tabungan untuk membeli hartanah dan membiayai kos pembelian termasuklah
urusan jual beli yang pastinya tidak melibatkan wang yang sedikit jumlahnya. Oleh itu, sudah terang
lagi bersuluh, menabung merupakan inisiatif positif yang perlu menjadi budaya hidup seseorang
kerana boleh merencana masa depan yang kukuh.
Pada zaman yang serba canggih dengan kepesatan kemajuan sains dan teknologi ini memaksa kita
mendapatkan pendidikan yang sempurna agar dapat bersaing di pentas global. Hal ini kerana
melalui tabiat menabung, kita akan mendapat pelbagai limpahan nikmat terutamanya apabila
hendak melanjutkan pelajaran ke menara gading. Hasil tabungan boleh digunakan untuk membiayai
kos pendidikan dan mentaliti kebergantungan kepada wang bantuan dapat dikesisikan daripada
terus menjadi pegangan hidup. Sebagai contohnya, ibu bapa yang ,membuat tabungan melalui
insurans pendidikan tidak akan menghadapi masalah apabila anak-anak mereka ditawarkan
mengikuti pengajian di universiti. Para remaja juga boleh menggunakan wang tabungan untuk
membeli buku rujukan yang boleh membantu meningkatkan tahap intelektualisme mereka. Kursuskursus pengajian yang ditawarkan tentu sahaja memerlukan kos yang tinggi. Oleh itu, amalan
menabung sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit akan membantu kita membiayai kos pendidikan yang
sempurna bagi menjana kemajuan negara agar dapat duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan
negara maju yang lain.
Putaran kehidupan akan mengubah seseorang daripada kanak-kanak kepada remaja dan akhirnya
menjadi dewasa. Semasa menjangkau usia dewasa, komitmen hidup semakin kompleks kerana perlu
menyara kerluarga. Hal ini kerana dalam zaman milineum ini, kos kehidupan dijangka semakin
meningkat dan memerlukan kebestarian akal dalam menghadapinya. Wang tabungan amat penting
dan perlu direncanakan secara sistematik agar pendapatan bulanan dapat dibelanjakan secara
berhemah. Kek pendapatan perlu dibahagikan dengan bijak dan memastikan sebahagiannya
disimpan sebagai wang tabungan. Kehidupan berkeluarga amat bernilai dan kemenjadian anak-anak
menjadi satu harapan bagi semua insan yang bergelar ibu dan bapa. Sehubungan dengan itu,, anakanak perlu mendapat pendidikan yang sempurna bagi melengkapkan mereka dengan ilmu dan
kemahiran menguasai kemahiran teknologi. Sebagai contohnya, selain diberikan pendidikan wajib
dan formal di sekolah, ibu bapa juga perlu menghantar anak-anak menghadiri kelas tambahan . dan
memastikan tanggungjawab menjaga dan menanggung keperluan asas anak-anak seperti pakaian,
makanan dan tempat tinggal yang selesa. Oleh itu, amalan menabung perlu subur di dalam jiwa
kerana boleh dijadikan sumber untuk menyara keluarga .

Keselesaan dan kesenangan hidup tentunya menjadi impian setiap insan. Sesebuah keluarga
memerlukan bukan sahaja rumah yang selesa malah kemudahan yang moden dan efisien. Hal ini
kerana kos untuk memiliki semua ini bukanlah sedikit. Selain harga rumah yang melebihi ratusan
ribu ringgit, peralatan elektrik, bil elektrik dan air merupakan perkara wajib yang mesti dimiliki dan
dibayar dengan segera. Justeru, untuk memiliki kesempurnaan hidup ini, amalan menabung
merupakan langkah bijak dan mendatangkan impak yang besar. Kemampuan untuk membeli
peralatan rumah secara tunai sebenarnya jauh lebih murah daripada jika dibeli secara ansuran. Segai
contohnya, kita boleh menyimpan dalam jangka waktu tertentu untuk memiliki barangan idaman
tanpa perlu berhutang. Kebijaksanaan dalam membuat belanjawan kewangan dan membuat
tabungan merupakan cara yang paling bijak untuk membeli barangan yang berkualiti sesuai dengan
alah beli menang memakai. Bagaimanapun, amalan ukur baju di badan sendiri perlu menjadi
keutamaan dalam menggunakan wang tabungan. Oleh itu, amalan menabung menjamin keselesaan
dan kesenangan hidup kita.
Hidup ini bagai roda dan kita tidak dapat menduga masa depan kita. Menabung boleh dijadikan
instrumen untuk mempersiapkan diri menghadapi sebarang kemungkinan seperti kata pepatah
sediakan payung sebelum hujan. Hasil tabungan kita boleh dijadikan cagaran pada waktu kesusahan,
kecemasan dan kesempitan. Walaupun kita berusaha untuk menjauhi sebarang kesusahan namun
malang tidak berbau dan langit tidak selalu cerah. Apabila awan mendung menyelubungi kehidupan,
wang yang disimpan boleh digunakan untuk membiayai kos rawatan perubatan atau saat kecemasan.
Kealpaan untuk menabung merupakan satu kesilapan yang perlu diteladani daripada pengalaman
hidup orang lain. Kita tidak mahu meminta-minta apabila ditimpa musibah. Sebagai contohnya,
apabila keupayaan dan kudrat terbatas akibat penyakit atau usia yang semakin bertambah, wang
tabungan boleh digunakan. Kita menjadikan wang simpanan sebagai perisai menghadapi risiko dan
tidak menjadi seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Oleh itu, menabung boleh menjadi medium
penyelamat bagi kita menghadapi sebarang kemungkinan dalam kehidupan.
Menabung boleh dijadikan sebagai wahana mendisiplinkan keluarga. Hal ini kerana amalan
menabung membolehkan kita nmenyemai dan menyuburkan amalan berjimat cermat dan berpegang
kepada peribahasa ingat sebelum kena jimat sebelum habis. Anak-anak yang masih kecil perlu
dididik untuk menabung boleh mendorong anak-anak menjauhi pembaziran, melentur buluh biarlah
dari rebungnya. Kesederhanaan dalam kehidupan dapat dibentuk memandangkan fitrah anak-anak
yang mudah dibentuk jika diberikan teladan yang baik. Sebagai contohnya,ibu bapa boleh
membelikan tabung atau membawa anak-anak mengunjungi institusi perbankan agar mereka dapat
melihat sendiri akan iklim sihat yang perlu diikuti. Dengan cara ini anak-anak akan terdedah dengan
budaya hidup sihat dan mengenali pengurusandunia kewangan dan impaknya kepada ekonomi diri,
keluarga dan kepentingannya di peringkat sarwajagat.Kemaslahatan menabung juga perlu diwarawarakan dengan sebaik-baiknya agar anak-anak yang masih kecil dapat menghayati konsep
tabungan dengan lebih jelas lagi. Oleh itu, amalan menabung boleh menjadi salah satu prakarsa yang
pragmatik untuk mendisiplinkan keluarga sekaligus melahirkan keluarga yang sejahtera
Natijahnya, menabung merupakan amalan mulia yang perlu dijadikan budaya hidup dan
dipraktikkan. Amalan ini boleh menjana kestabilan ekonomi seseorang individu dan mengekalkan
keseimbangan negara secara efektif. Perspektif negatif seperti biar papa asal bergaya perlu diubah
agar setiap individu mempunyai visi untuk keluar daripada belenggu kehidupan yang begitu
mencabar. Menabung boleh dijadikan benteng untuk mendepani realiti dunia baru yang pantas
berubah dan berkembang. Semua pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi
memastikan obligasi terhadap amalan menabung terus subur dalam diari ekonomi setiap individu
agar kemakmuran diri dan negara dapat dikekalkan momentumnya.

You might also like