You are on page 1of 9

Amalan Menabung

Faedah Menabung

Menabung merupakan satu amalan proaktif berpaksikan kesedaran seseorang dalam


membuat persediaan bagi menjamin masa depan yang cerah. Pada zaman pascaglobalisasi ini,
menyimpan wang tabungan di bank merupakan prakarsa yang efektif untuk memastikan
wang tabungan disimpan dengan selamat berbanding dengan menyimpan wang secara
konvesional di rumah. Malah terdapat juga tabungan yang dibuat melalui skim pelaburan
yang menjanjikan dividen yang tinggi. Amalan menabung ini perlu dijadikan instrumen
dalam mendepani kos hidup yang semakin kompleks dan mencabar. Walaupun amalan
menabung ini merupakan perkara yang positif, masih ramai golongan remaja yang
memandang sepi akan faedah menabung kepada mereka. Pelbagai pihak perlu membuka
mata akan faedah menabung kepada seseorang apatah lagi dalam era ledakan maklumat dan
bahang industrialisasi kini.

Aktiviti menabung membolehkan seseorang merencana masa depan dengan ekonomi yang
kukuh dan mapan. Hal ini kerana menabung merupakan alternatif untuk menambah
pendapatan dengan menyimpan wang di bank secara berterusan dan dalam jangka masa
panjang. Melalui penyimpanan ini, pendeposit akan memperoleh faedah atau dividen
daripada pihak bank mahupun agensi pelaburan. Apabila wang sudah terkumpul, seseorang
individu tidak akan berdepan dengan masalah ketirisan wang sehingga boleh menjejaskan
keselesaan hidup mereka. Amalan gali lubang tutup lubang dengan meminjam daripada
rakan-rakan atau saudara mara akan dapat diatasi. Amalan ini bukan sahaja boleh
merosakkan institusi kekeluargaan malah boleh merenggangkan persahabatan apabila
pinjaman tidak dapat dibayar semula. Sebagai contohnya, seseorang individu boleh
menggunakan wang tabungan untuk membeli hartanah dan membiayai kos pembelian
termasuklah urusan jual beli yang pastinya tidak melibatkan wang yang sedikit jumlahnya.
Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh, menabung merupakan inisiatif positif yang perlu
menjadi budaya hidup seseorang kerana boleh merencana masa depan yang kukuh.

Pada zaman yang serba canggih dengan kepesatan kemajuan sains dan teknologi ini
memaksa kita mendapatkan pendidikan yang sempurna agar dapat bersaing di pentas global.
Hal ini kerana melalui tabiat menabung, kita akan mendapat pelbagai limpahan nikmat
terutamanya apabila hendak melanjutkan pelajaran ke menara gading. Hasil tabungan boleh
digunakan untuk membiayai kos pendidikan dan mentaliti kebergantungan kepada wang
bantuan dapat dikesisikan daripada terus menjadi pegangan hidup. Sebagai contohnya, ibu
bapa yang ,membuat tabungan melalui insurans pendidikan tidak akan menghadapi masalah
apabila anak-anak mereka ditawarkan mengikuti pengajian di universiti. Para remaja juga
boleh menggunakan wang tabungan untuk membeli buku rujukan yang boleh membantu
meningkatkan tahap intelektualisme mereka. Kursus-kursus pengajian yang ditawarkan tentu
sahaja memerlukan kos yang tinggi. Oleh itu, amalan menabung sedikit-sedikit lama-lama
jadi bukit akan membantu kita membiayai kos pendidikan yang sempurna bagi menjana
kemajuan negara agar dapat duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara maju
yang lain.
Putaran kehidupan akan mengubah seseorang daripada kanak-kanak kepada remaja dan
akhirnya menjadi dewasa. Semasa menjangkau usia dewasa, komitmen hidup semakin
kompleks kerana perlu menyara kerluarga. Hal ini kerana dalam zaman milineum ini, kos
kehidupan dijangka semakin meningkat dan memerlukan kebestarian akal dalam
menghadapinya. Wang tabungan amat penting dan perlu direncanakan secara sistematik agar
pendapatan bulanan dapat dibelanjakan secara berhemah. Kek pendapatan perlu dibahagikan
dengan bijak dan memastikan sebahagiannya disimpan sebagai wang tabungan. Kehidupan
berkeluarga amat bernilai dan kemenjadian anak-anak menjadi satu harapan bagi semua
insan yang bergelar ibu dan bapa. Sehubungan dengan itu,, anak-anak perlu mendapat
pendidikan yang sempurna bagi melengkapkan mereka dengan ilmu dan kemahiran
menguasai kemahiran teknologi. Sebagai contohnya, selain diberikan pendidikan wajib dan
formal di sekolah, ibu bapa juga perlu menghantar anak-anak menghadiri kelas tambahan .
dan memastikan tanggungjawab menjaga dan menanggung keperluan asas anak-anak seperti
pakaian, makanan dan tempat tinggal yang selesa. Oleh itu, amalan menabung perlu subur di
dalam jiwa kerana boleh dijadikan sumber untuk menyara keluarga .

Keselesaan dan kesenangan hidup tentunya menjadi impian setiap insan. Sesebuah keluarga
memerlukan bukan sahaja rumah yang selesa malah kemudahan yang moden dan efisien. Hal
ini kerana kos untuk memiliki semua ini bukanlah sedikit. Selain harga rumah yang melebihi
ratusan ribu ringgit, peralatan elektrik, bil elektrik dan air merupakan perkara wajib yang
mesti dimiliki dan dibayar dengan segera. Justeru, untuk memiliki kesempurnaan hidup ini,
amalan menabung merupakan langkah bijak dan mendatangkan impak yang besar.
Kemampuan untuk membeli peralatan rumah secara tunai sebenarnya jauh lebih murah
daripada jika dibeli secara ansuran. Segai contohnya, kita boleh menyimpan dalam jangka
waktu tertentu untuk memiliki barangan idaman tanpa perlu berhutang. Kebijaksanaan dalam
membuat belanjawan kewangan dan membuat tabungan merupakan cara yang paling bijak
untuk membeli barangan yang berkualiti sesuai dengan alah beli menang memakai.
Bagaimanapun, amalan ukur baju di badan sendiri perlu menjadi keutamaan dalam
menggunakan wang tabungan. Oleh itu, amalan menabung menjamin keselesaan dan
kesenangan hidup kita.

Hidup ini bagai roda dan kita tidak dapat menduga masa depan kita. Menabung boleh
dijadikan instrumen untuk mempersiapkan diri menghadapi sebarang kemungkinan seperti
kata pepatah sediakan payung sebelum hujan. Hasil tabungan kita boleh dijadikan cagaran
pada waktu kesusahan, kecemasan dan kesempitan. Walaupun kita berusaha untuk menjauhi
sebarang kesusahan namun malang tidak berbau dan langit tidak selalu cerah. Apabila awan
mendung menyelubungi kehidupan, wang yang disimpan boleh digunakan untuk membiayai
kos rawatan perubatan atau saat kecemasan. Kealpaan untuk menabung merupakan satu
kesilapan yang perlu diteladani daripada pengalaman hidup orang lain. Kita tidak mahu
meminta-minta apabila ditimpa musibah. Sebagai contohnya, apabila keupayaan dan kudrat
terbatas akibat penyakit atau usia yang semakin bertambah, wang tabungan boleh digunakan.
Kita menjadikan wang simpanan sebagai perisai menghadapi risiko dan tidak menjadi seperti
sudah jatuh ditimpa tangga. Oleh itu, menabung boleh menjadi medium penyelamat bagi kita
menghadapi sebarang kemungkinan dalam kehidupan.
Menabung boleh dijadikan sebagai wahana mendisiplinkan keluarga. Hal ini kerana amalan
menabung membolehkan kita nmenyemai dan menyuburkan amalan berjimat cermat dan
berpegang kepada peribahasa ingat sebelum kena jimat sebelum habis. Anak-anak yang
masih kecil perlu dididik untuk menabung boleh mendorong anak-anak menjauhi
pembaziran, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kesederhanaan dalam kehidupan dapat
dibentuk memandangkan fitrah anak-anak yang mudah dibentuk jika diberikan teladan yang
baik. Sebagai contohnya,ibu bapa boleh membelikan tabung atau membawa anak-anak
mengunjungi institusi perbankan agar mereka dapat melihat sendiri akan iklim sihat yang
perlu diikuti. Dengan cara ini anak-anak akan terdedah dengan budaya hidup sihat dan
mengenali pengurusandunia kewangan dan impaknya kepada ekonomi diri, keluarga dan
kepentingannya di peringkat sarwajagat.Kemaslahatan menabung juga perlu diwara-warakan
dengan sebaik-baiknya agar anak-anak yang masih kecil dapat menghayati konsep tabungan
dengan lebih jelas lagi. Oleh itu, amalan menabung boleh menjadi salah satu prakarsa yang
pragmatik untuk mendisiplinkan keluarga sekaligus melahirkan keluarga yang sejahtera

Natijahnya, menabung merupakan amalan mulia yang perlu dijadikan budaya hidup dan
dipraktikkan. Amalan ini boleh menjana kestabilan ekonomi seseorang individu dan
mengekalkan keseimbangan negara secara efektif. Perspektif negatif seperti biar papa asal
bergaya perlu diubah agar setiap individu mempunyai visi untuk keluar daripada belenggu
kehidupan yang begitu mencabar. Menabung boleh dijadikan benteng untuk mendepani
realiti dunia baru yang pantas berubah dan berkembang. Semua pihak perlu berganding bahu
bagai aur dengan tebing bagi memastikan obligasi terhadap amalan menabung terus subur
dalam diari ekonomi setiap individu agar kemakmuran diri dan negara dapat dikekalkan
Pendahuluan:

Menabung bermaksud menyimpan sebahagian wang untuk masa hadapan.


Amalan menabung amat penting untuk masa depan seseorang.
Individu yang mempunyai simpanan wang yang cukup pasti akan
menikmati satu kehidupan yang jauh berbeza daripada mereka yang
kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Antara cara
menabung yang boleh kita lakukan ialah menyimpan wang di dalam
bank atau menyimpan wang dalam tabung.

Penutup

Kesimpulannya, amalan menabung membawa banyak manfaat kepada


individu, keluarga dan msayarakat. Individu yang menabung dapat
membuat persediaan untuk menghadapi musibah pada masa depan, seperti
kata pepatah Sediakan payung sebelum hujan. Manakala murid-murid
yang menabung pula , wang tabungan dapat digunakan untuk membiayai
perbelanjaan apabila melanjutkan pelajaran ke universiti nanti. Selain itu,
amalan menabung turut memupuk sikap berjimat-cermat dalam kehidupan
seharian. Oleh hal yang demikian, semua orang digalakkan agar
membudayakan amalan menabung dalam kehidupan seharian supaya
kehidupan masa depan lebih terjamin. Ingatlah sebelum kena, jimat
sebelum habis.
momentumnya.

Langkah-langkah untuk menggalakkan amalan menabung

Menabung bermaksud menyimpan sebahagian wang untuk masa hadapan. Sikap


suka menabung perlu dipupuk sejak kecil.

Langkah-langkah untuk menggalakkan amalan menabung dalam kalangan remaja


ialah kerajaan perlulah mengadakan satu kempen kesedaran yang efektif. Dalam
kempen ini dijelaskan cara-cara menyimpan wang dan faedahnya. Contohnya,
kerjaaan menjalakan Kempen Jom Menabung. Sebagai kesannya, kempen ini
dapat membentuk satu kesedaran dalam naluri masyarakat kita terutamanya remaja
tentang kepentingan amalan menabung.

Selain itu, ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak menabung sejak anak-anak
masih kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sebagai contohnya,
ibu bapa boleh membelikan anak-anak tabung yang cantik untuk menyimpan baki
wang saku yang tidak dibelanja. Selain itu, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke
bank untuk membuka akaun simpanan. Melalui cara ini, anak-anak akan
dibudayakan dengan amalan menabung seperti kata pepatah alah bisa tegal biasa.

Di samping itu, pihak bank juga boleh mewujudkan pelbagai pakej simpanan yang
menarik . Sebagai contohnya, simpanan yang dibuat diberikan faedah tambahan
seperti pemberian perlindungan insurans selain memberikan faedah yang tinggi
kadarnya. Kewujudan pakej simpanan sebegini mampu menarik minat masyarakat
terutama golongan muda untuk membuat simpanan ketika usia mereka masih muda
kerana menyedari simpanan itu akan membawa pulangan yang lumayan kelak.

Malahan, pihak sekolah juga boleh mewujudkan Kelab Menabung di sekolah. Kita
semua sedia maklum bahawa sekolah mempunyai banyak pelajar yang mampu untuk
menyimpan dalam bentuk harian yang boleh dikumpulkan untuk menjadi satu jumlah
yang besar lalu boleh dilaburkan oleh pihak sekolah dalam pakej kewangan yang
membawa keuntungan pula. Wang saku yang diberi oleh ibu bapa tidak digunakan
sepenuhnya oleh pelajar lalu boleh dijadikan asas kepada simpanan secara sedikit
demi sedikit oleh pelajar itu. Sesungguhnya, pihak sekolah mampu memberi
kefahaman kepada pelajar akan kepentingan simpanan dengan penubuhan kelab
sebegini di sekolah.

Konklusinya, sememangnya menabung itu satu amalan murni kerana sedikit


demi sedikit lama-lama menjadi bukit.

Faedah Menabung

Menabung bermaksud menyimpan sebahagian wang untuk masa hadapan. Sikap


suka menabung perlu dipupuk sejak kecil. Menabung memberi banyak faedah kepada
kita.

Antara kebaikan menabung ialah dapat menambahkan wang simpanan kita. Hal
ini dikatakan demikian kerana wang yang kita tidak gunakan akan disimpan di dalam
bank. Oleh itu, wang simpanan di bank akan bertambah setiap tahun kerana
sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Malah kita juga akan mendapat sebahagian
keuntungan atau faedah bank.

Selain itu, amalan menabung juga membantu kita apabila kita ditimpa kesusahan
kerana malang tidak berbau. Jika kita sakit wang itu dapat digunakan untuk
mendapatkan rawatan. Selain itu, wang simpanan juga boleh digunakan jika ahli
keluarga kita sakit atau ditimpa kemalangan. Justeru, kita tidak perlu mendapatkan
pinjaman daripada orang lain.

Di samping itu, amalan menabung juga membolehkan kita menyimpan wang untuk
masa hadapan. Wang simpanan boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan jika
kita melanjutkan pelajaran ke universiti. Sebagai contohnya, wang simpanan
digunakan untuk membayar yuran pengajian, membayar sewa penginapan dan
membeli buku-buku dan alat tulis. Oleh itu, kita tidak dapat meringankan beban ibu
bapa kita.
Seterusnya, amalan menabung dapat menggalakkan kita mengamalkan sikap
berjimat-cermat. Hal ini dikatakan demikian kerana, jika kita biasa menabung kita
akan merancang perbelanjaan harian dan akan mengawal diri ketika berbelanja.
Justeru, kita tidak akan membazirkan wang kita dengan membeli barang yang tidak
diperlukan.

Kesimpulannya, amalan menyimpan wang membawa banyak kebaikan bak kata


pepatah Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.

Faktor-faktor yang menyebabkan remaja tidak menabung

1. Tiada galakan daripada ibu bapa

Antara faktor yang menyebabkan remaja tidak menabung ialah tiada galakan
daripada ibu bapa. Kebanyakan ibu bapa tidak memberikan wang saku kepada
anak-anak dan tidak membelikan tabung untuk anak-anak menabung. Sesetengah ibu
bapa langsung untuk membuka akaun simpanan untuk anak-anak. Keadaan ini
menyebabkan anak-anak tidak mengamalkan tabiat menabung sejak dari kecil.

2. Tiada kesedaran tentang kepentingan menabung

Faktor kedua yang menyebabkan remaja tidak menabung ialah tiada kesedaran
tentang kepentingan menabung. Sekolah jarang menjalankan kempen kesedaran
tentang kepentingan menabung kepada murid-murid. Justeru, murid-murid tidak
didedahkan tentang faedah menabung.

3. Pengaruh hidup moden

Selain itu, masyarakat kita pada hari terpengaruh oleh gaya hidup yang moden.
Masyarakat di bandar suka berbelanja lebih dengan membeli barangan berjenama
dan barangan mewah. Mereka ingin menunjukkan status dan bersaing dengan orang
lain.

Karangan SPM 2012...Cara-cara Galak Menabung?


Simpanan wang merupakan satu amalan murni yang harus ditanam dalam jiwa remaja
kita. Cuma amalan ini belum lagi berakar umbi dalam masyarakat kita.

Nyatakan tindakan-tindakan yang boleh dilaksanakan untuk mencapai matlamat ini.

Amalan menyimpan wang bolehlah dikaitkan sebagai sikap suka menabung dalam kalangan
masyarakat moden. Wang dianggap oleh masyarakat sebagai satu kayu pengukur dalam
penentuan kejayaan kehidupan seseorang itu. Individu yang mempunyai simpanan wang yang
cukup pasti akan menikmati satu kehidupan yang jauh berbeza daripada mereka yang kais pagi
makan pagi kais petang makan petang. Lantaran itu, ada pelbagai tindakan yang boleh
dilaksanakan untuk memastikan sikap menyimpan wang ini menjadi satu budaya kita yang
berakar umbi dalam jiwa masyarakat.

Langkah awal ialah kerajaan perlulah mengadakan satu kempen kesedaran yang efektif.
Kempen kesedaran ini boleh menggunakan kecanggihan media massa yang wujud di negara
ini untuk mencapai tahap keberksanan yang sebaik mungkin. Dalam kempen ini dijelaskan
cara-cara menyimpan wang, faedahnya dan dirangka dalam satu bentuk yang mudah untuk
difahami oleh remaja kita semua. Maka, kempen yang dirangka dengan baik dan dilaksanakan
sepanjang tahun berupaya untuk membentuk satu kesedaran dalam naluri masyarakat kita
terutamanya remaja yang sememangnya dahagakan kesedaran sejati itu.

Selain itu, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka sebagai pembentuk yang sejati dengan
memberikan teladan yang sewajarnya. Setiap bulan ibu bapa haruslah memaparkan kepada
anak mereka bahawa mereka memang membuat simpanan wang di dalam bank yang akan
meninggalkan kesan mendalam dalam pemikiran anak mereka itu kelak. Kalau sejak kecil
remaja sudah didedahkan dengan sikap ibu bapa merek sendiri yang suka menyimpan wang
sudah pasti sikap yang positif ini akan terus tertanam dalam jiwa mereka. Sesungguhnya ayah
borek anak rintik menjadi bukti bahawa teladan ibu bapa yang mampu mewujudkan tabiat
suka menyimpan dalam jiwa remaja kita itu.

Malahan, pihak bank juga boleh mewujudkan pelbagai pakej simpanan yang menarik dan
memberikan pulangan pelaburan jangka panjang yang banyak. Kewujudan pakej simpanan
sebegini mampu menarik minat masyarakat terutama golongan muda untuk membuat
simpanan ketika usia mereka masih muda kerana menyedari simpanan itu akan membawa
pulangan yang lumayan kelak. Simpanan yang dibuat sejak muda hendaklah diberi sedikit
keistimewaan yang memberikan faedah tambahan seperti pemberian perlindungan insuran
selain memberikan faedah yang tinggi kadarnya. Jelaslah, pihak bank turut mempunyai
peranan untuk memupuk semangat suka menyimpan ini dengan merangka pakej simpanan
yang mampu menarik minat masyarakat.

Tambahan pula, pihak sekolah juga boleh menghulurkan bantuan dengan mewujudkan Kelab
Menabung di sekolah. Kita semua sedia maklum bahawa sekolah mempunyai banyak pelajar
yang mampu untuk menyimpan dalam bentuk harian yang boleh dikumpulkan untuk menjadi
satu jumlah yang besar lalu boleh dilaburkan oleh pihak sekolah dalam pakej kewangan yang
membawa keuntungan pula. Wang saku yang diberi oleh ibu bapa tidak digunakan
sepenuhnya oleh pelajar lalu boleh dijadikan asas kepada simpanan secara sedikit demi sedikit
oleh pelajar itu. Sesungguhnya, pihak sekolah mampu memberi kefahaman kepada pelajar
akan kepentingan simpanan dengan penubuhan kelab sebegini di sekolah.

Konklusinya, semua tindakan yang dijelaskan itu berupaya untuk memupuk sikap suka
menyimpan dalam diri masyarakat terutama golongan muda. Kerjasama semua pihak terutama
pihak sekolah dan ibu bapa pula memberikan impak yang paling penting kerana remaja
menghabiskan masa mereka di rumah dan sekolah. Jika amalan ini mampu dipupuk sudah
pasti negara kita akan mempunyai satu aset simpanan wang yang sukar untuk ditandingi oleh
mana-mana negara di dunia pun. Sememangnya menyimpan wang itu satu amalan murni
kerana sedikit demi sedikit lama-lama menjadi bukit

You might also like