You are on page 1of 2

Amalan Gaya Hidup Sihat

Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif
kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah
individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh
menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan era
moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai
segera. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.

Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu bentuk pemakanan yang
seimbang dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, orang ramai lebih suka
mengambil makanan yang bersifat mudah seperti mengamalkan pengambilan makanan ringan
ataupun makanan segera. Tidak kurang juga masyarakat kita hari ini yang lupa tentang kesan
pengambilan makanan berlemak ataupun makanan yang mempunyai kandungan garam, gula atau
sodium glutamit yang tinggi. Hal ini boleh mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti sakit
jantung, darah tinggi ataupun kencing manis yang juga menjadi punca kematian tertinggi di negara
kita. Orang ramai juga mesti menjauhi amalan buruk seperti merokok atau meminum arak kerana
kesannya amat membahayakan. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan kita semua mencapai
kehidupan yang ceria kerana semua nutrien yang diperlukan oleh badan diperoleh menerusi
pemakanan yang seimbang.

Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh
seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti seperti bersukan,
berekreasi, berjalan atau berlari bersendirian atau bersama-sama keluarga ketika hujung minggu.
Aktiviti senaman seperti ini diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran darah
manusia lebih baik serta menjadikan sistem imunisasi mereka tinggi. Mereka yang gemar bersukan
biasanya memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas berbanding dengan orang yang jarang
bersukan. Jelasnya, semakin kerap senaman dilakukan maka semakin tinggilah tahap kesihatan
seseorang itu kerana minda yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas.

Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan
mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi,
berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian.
Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya
mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum
makan, menutup makanan dengan baik agar tidak diharung lalat mahupun memilih gerai atau
tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa masyarakat dalam aspek
berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus diutamakan agar dapat
membentuk gaya hidup yang sihat dalam kalangan masyarakat.

Pada masa yang sama selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, masyarakat juga
perlu menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan
dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, orang ramai
digalakkan mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan taman perumahan dengan
membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih.
Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk,
lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti
pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar.
Dengan cara demikian, orang ramai akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit
serta membentuk kehidupan yang sihat.
Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka
yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih
bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan
masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan
keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Masyarakat digalakkan menjalin hubungan
komunikasi yang mesra bersama-sama rakan atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan
biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya,
aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini.

Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu
bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan
seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik
tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat
memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Kepada mereka yang menghadapi
tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun
rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan
seseorang pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu
perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya
hidup sihat yang mampu dicapainya kelak.

Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang
dipaparkan tadi. Gaya hidup sihat hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat mengamalkan semua
aspek kehidupan berlandaskan ciri-ciri manusia sihat. Cuma sikap masyarakat yang masih
memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah
kesihatan timbul kelak. Kita semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada
mengubatinya.

You might also like