You are on page 1of 2

Chew Wan Seun 127645

REFLEKSI PENGAJARAN KAEDAH MENGAJAR BAHASA MELAYU 1

Pengajaran kaedah mengajar amat penting buat seorang pendidik. Pendidik perlu melengkapkan
diri dengan pengetahuan dan kemahiran sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini
demikian kerana kemahiran-kemahiran yang diaplikasikan oleh guru dapat membantu untuk memberi
pemahaman kepada murid tentang sesuatu isi pelajaran selain dapat menjadikan sesi pengajaran dan
pembelajaran menjadi tidak membosankan dan lebih menarik Berdasarkan pandangan dan kritikan
daripada pensyarah dan rakan-rakan melalui simulasi pengajaran yang dilaksanakan, didapati bahawa
terdapat beberapa kelebihan yang perlu dikekalkan dan kekurangan yang perlu diperbaiki untuk
memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran akan berjalan lebih lancar pada masa akan datang.

Antara kelebihan yang didapati ialah penggunaan kemahiran teknologi maklumat (ICT) dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran. Kemahiran ini sangat penting dalam membantu guru untuk
mempelbagaikan lagi kaedah pengajaran agar dapat menarik perhatian pelajar dan sesuai dengan
peredaran masa serta pengajaran abad ke-21. Dalam sesi pengajaran, guru telah menggunakan aplikasi
atas talian iaitu Tes Teach untuk menyediakan 20 soalan tentang kata seru dan kata tanya untuk
mengukuhkan pemahaman pelajar tentang isi pelajaran. Aktiviti tersebut dijalankan secara pertandingan.
Kumpulan yang mendapat markah yang paling tinggi akan mendapat hadiah yang disediakan oleh guru.
Kaedah tersebut dianggap menarik kerana guru dapat menarik fokus pelajar dan pelajar lain turut
memikirkan jawapan semasa wakil daripada kumpulan menjawab soalan kuiz di depan.

Seterusnya, guru juga membuat rumusan dengan cara yang menarik dan senang diingat oleh
murid-murid, iaitu dengan menggunakan cara akronim dan nyanyian untuk memudahkan murid
mengingatkan kata seru dan kata tanya. Sebagai contoh, guru menggunakan akronim W.A.C.A.N.E untuk
mengingatkan kata seru wahai, amboi, cis, aduh, nah, dan eh serta nyanyian untuk mengingatkan kata
tanya apa, bila, mana, mengapa, bagaimana, apakah.

Bagi kelemahan pula, guru haruslah memberi sedikit masa untuk memikirkan jawapan sebelum
murid tampil ke hadapan untuk menjawab soalan kuiz atas talian. Guru haruslah peka dalam pertandingan
kuiz tersebut, iaitu menjelaskan jawapan bagi setiap soalan kuiz yang disediakan.

Kesalahan seterusnya yang dilakukan oleh guru ialah penyediaan rancangan pengajaran harian.
Sebagai contoh, terdapat lima bahagian dalam rancangan pengajaran harian, iaitu penglibatan, penerokaan,
penerangan, pengembangan, dan penilaian. Malah, rancangan pengajaran harian yang disediakan oleh
guru hanya terdapat tiga bahagian sahaja, iaitu penglibatan, pengembangan & penerangan, dan penilaian.
Selain itu, rancangan pengajaran yang disediakan haruslah berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum
dan Pentaksiran (DSKP) serta Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 1. Bukan itu sahaja, rancangan
pengajaran yang disediakan juga tidak mengikut tema yang ditetapkan dalam buku teks. Sebagai contoh,
guru mengajar tidak mengikut tema bab kata seru dan kata tanya, iaitu tema “Beringat Supaya Selamat”.
Aktiviti dan latihan yang diberi oleh guru juga hendaklah berdasarkan buku teks.

Kesimpulannya, terdapat beberapa kelebihan dan kelemahan dalam simulasi pengajaran. Guru
sepatutnya memastikan setiap rangka atau strategi pengajaran yang digunakan perlu sesuai dengan tahap
kognitif dan spesifikasi pelajar. Guru juga harus memperbaiki kemahiran pengajaran mengikut keperluan
semasa terutamanya pada abad ke-21 ini. Guru haruslah peka terdapat perubahan di sekeliling supaya
dapat melengkapkan pelajar yang memenuhi syarat murid yang mempunyai kemahiran abad ke-21 dengan
memberi fokus kepada kemahiran berfikir serta kemahiran hidup dan kerjaya yang berteraskan amalan
nilai murni.

You might also like