You are on page 1of 6

Sinopsis

Filem 1957 Hati Malaya memaparkan kisah perjuangan anak bangsa mendapatkan
kemerdekaan buat negara tercinta dari penjajah yang telah mengubah corak kehidupan
penghuni di Tanah Melayu. Dalam filem ini, kita dapat menyaksikan kesusahan yang
dihadapi oleh pejuang bangsa mendapatkan kesatuan dari penduduk yang terdiri dari
berbilang kaum setelah penjajah membawa masuk bangsa dari negara asing ke Tanah
Melayu. Walaubagaimanapun, perbezaan ideologi penduduk di Tanah Melayu bukan
penghalang bagi mendapatkan persefahaman dalam merealisasikan satu hasrat iaitu merdeka
dari penjajahan.

Empat orang pemuda Malaysia, Hali, Salmi, Rafik dan Ani diberi tugasan untuk
mencipta sebuah buku lukisan bertemakan “1957”. Namun, dua orang daripada mereka
enggan melaksanakan tugasan tersebut tetapi Hali tidak goyah dan tekad untuk menerbitkan
buku tersebut. Sepanjang proses penghasilan buku tersebut, mereka mendapati diri mereka
diserap dalam watak-watak, saat-saat yang menghayat emosi semasa mengenal pasti dan
melahirkan makna kepada perjuangan pada tahun “1957”. Mereka membayangkan kisah
kemerdekaan seumpama berada pada zaman tersebut. Dalam bayangan tersebut, mereka
seperti rakyat biasa yang cinta akan negara dan mendapati perasaan itu melebihi yang lain
sewaktu kemerdekaan belum dikecapi. Pelbagai yang dihadapi dalam mencari makna baru
kepada tahun “1957”.

Filem ini berturutan secara kronologikal dengan permulaan pada Perang Dunia
Kedua, penguasaan semula British, kemuncak kebangkitan nasionalisme dan perjuangan
kemerdekaan oleh tokoh-tokoh politik UMNO seperti Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul
Razak, tokoh-tokoh MCA dan MIC. Semasa zaman kebangkitan nasionalisme dan
perjuangan kemerdekaan ini, turut terjadinya konflik,pertikaian , rundingan malah
kekecewaan serta sentimen kaum.
Pengajaran

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana terdiri daripada masyarakat
berbilang kaum. Kaum-kaum utama seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan
sebagainya dapat hidup dalam keadaan harmoni. Banyak negara di dunia menjadikan
Malaysia sebagai negara yang patut dicontohi kerana masyarakat dapat hidup dalam keadaan
aman walaupun berbilang bangsa, agama dan budaya. Hal ini demikian kerana kebijaksanaan
pemimpin kita yang menjadikan perpaduan kaum sebagai keutamaan bagi membina sebuah
negara bangsa yang maju menjelang tahun 2020 nanti.

Setelah menghayati tayangan Filem “1957: Hati Malaya”, nilai yang diperoleh hasil
pemahaman dari filem tersebut ialah kita seharusnya bersatu dalam memperoleh sesuatu yang
diinginkan bersama bagi memudahkan segala cabaran yang dihadapi kelak. Kesatuan kita
dalam melaksanakannya akan menyebabkan tugasan menjadi mudah dan berjalan dengan
lancar tanpa sebarang permasalahan seperti konflik yang tidak diingini sesama kita. Bagi
mendapatkan kesatuan kita seharusnya merendahkan sikap mementingkan diri sendiri tatkala
berkerjasama dengan individu lain dalam merealisasikan hasrat yang seiringan.

“Bersatu teguh bercerai roboh” merupakan satu cogan kata yang dalam maknanya
untuk diamalkan oleh manusia sejagat demi mencapai kesejahteraan hidup. Cogan kata ini
menggesa seluruh masyarakat bersatu dan berganding bahu dalam melakukan sesuatu
pekerjaan atau menyelesaikan sesuatu masalah supaya mereka dapat hidup dalam suasana
yang sejahtera, utuh, dan harmoni. Sebaliknya, jika kita bercerai-cerai, berpecah-belah, dan
mementingkan diri sendiri, kita akan mengalami huru-hara dan kehancuran.Dalam konteks
negara Malaysia yang terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum, kita haruslah menghayati
peribahasa ini dengan hidup bersatu padu tanpa mengira bangsa, agama, dan adat resam.
Untuk mencapai kemajuan nagara, masyarakat harus hidup dalam suasana aman dan damai.
Perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat Malaysia juga mampu meningkatkan
imej negara di mata dunia. Memang tidak dapat dinafikan bahawa negara pada masa kini
sudah berada di peta masyarakat antarabangsa ekoran daripada usaha kerajaan yang
berterusan membina negara yang disegani di peringkat dunia. Kepimpinan yang ada pada
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed menjadi perintis untuk meletakkan Malaysia
sebaris dengan negara-negara maju yang lain. Ketokohan yang ada pada beliau telah
menjadikan negara-negara dunia ketiga sebagai model dan orang yang boleh bersuara untuk
membela nasib mereka di pentas dunia. Selain kepimpinan negara, Malaysia juga dikenali di
pentas antarabangsa adalah kerana kestabilan masyarakat yang wujud di negara kita. Sebagai
buktinya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf Malaysia sebagai
negara yang ke-9 paling aman di dunia berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sebuah badan
bebas yang berpengkalan di Amerika Syarikat. Hal ini sangat jelas menunjukkan bahawa
pengiktirafan sedemikian adalah kerana masyarakat Malaysia hidup bersatu padu sehingga
keadaan menjadi aman dan harmoni.

Dalam filem ini, jika dilihat dari aspek sosial, telah diperlihatkan bagaimana perkara
yang dianggap tipikal menjadi batu penghalang bagi sesuatu kumpulan ataupun golongan itu.
Sebagai contohnya ketika salah seorang watak utama berbangsa Melayu ditemuduga oleh
seorang pegawai orang putih untuk mendapatkan kelulusan untuk menyambung pelajarannya
di bidang undang-undang, tetapi dia kemudiannya disuruh supaya melupakan hajatnya itu dan
terus menyambung legasi dari keturunannya iaitu menjadi seorang petani, seperti kebanyakan
orang Melayu pada ketika itu. Hal ini jelas sekali menunjukkan kelaziman sesuatu bangsa itu
dijadikan sebagai alasan untuk menghalang seseorang itu daripada mencapai kejayaan. Hal
ini sepatutnya tidak terjadi, dan sewajarnya golongan bawahan (pada masa itu) seperti anak
muda ini perlulah diberi galakan dan bantuan daripada segi kewangan contohnya untuk
memacu perubahan serta meningkatkan usaha untuk mengeluarkan dirinya dan keluarga dan
lama-kelamaan bangsa serta negaranya dari kepompong kemiskinan dan kemunduran. Selain
itu,usaha pihak penjajah untuk memecahbelahkan penduduk Malaya pada masa tersebut
sedikit sebanyak telah berjaya dengan cara mengasingkan perkampungan bagi setiap kaum.
Hal ini menyebabkan kurangnya berlaku pertembungan komunikasi antara kaum,sekaligus
menyukarkan usaha untuk mewujudkan kerjasama. Sebagai contohnya, dapat kita lihat
daripada jalan cerita yang menunjukkan kaum majoriti Tanah Melayu iaitu Melayu sukar
dan tidak senang hati untuk berkerjasama dengan bangsa lain,dek kerana hati mereka masih
belum terbuka untuk berkongsi negara dengan bangsa lain. Secara logiknya,memanglah
usaha mereka itu bagaikan satu usaha untuk mengekalkan negara dengan ketuanannya dan
juga kedaulatannya yang tersendiri,tetapi sebenarnya perpaduan yang akan dijana dengan
penglibatan pelbagai kaum akan membentuk negara yang lebih jitu dan lebih dinamik:sebuah
negara atau bangsa yang dinamik akan dapat bertahan lebih lama kerana ketelusannya untuk
menerima perubahan yang pelbagai.

Selain itu, nilai kebijaksanaan pemimpin terdahulu juga patut dicontohi kerana
kepintaran mereka telah menghasil sebuah negara yang merdeka. kesejahterahan dan
keamanan sesebuah negara seringkali digugat oleh pelbagai anasir negatif sama ada dari
dalam atau luar negara. Kini, anasir negatif tersebut datang dalam pelbagai bentuk seperti
hiburan dari Barat dan pengaruh internet. Oleh demikian, kebijaksanaan dan kecekapan
seorang pemimpin adalah penting dalam menjaga keamanan dan kesejahteraan negara.
Namun, seorang pemimpin tersebut juga harus menitikberatkan, mengamalkan dan memiliki
integriti dalam dirinya. Integriti dapat ditakrifkan sebagai suatu kualiti unggul yang wujud
secara keseluruhan dan padu pada individu atau organisasi serta berkait rapat dengan etika. Ia
adalah berlandaskan etika dan pencerminan etika dalam sehari-hari. Dalam Kamus
Dewan didefinisikannya sebagai kejujuran dan ketulusan.

Tindakan pemimpin yang memilih untuk mengambil inisiatif untuk berunding


seharusnya dicontohi kerana pilihan tersebut telah mengakibatkan tiada pertumpahan darah
berlaku dan objektif dicapai tanpa permasalahan yang boleh menggugat kemungkinan untuk
mendapatkan kemerdekaan dari penjajah. Pemimpin yang berwibawa telah berjaya
mendapatkan kemerdekaan yang diingini hasil dari ilmu yang ada padanya.Oleh itu, kita
seharusnya mempersiapkan diri dengan ilmu yang diperlukan bagi memastikan keraguan
tidak timbul sewaktu mengambil tindakan yang akan mengubah nasib hidup kita.

Akhir sekali,sifat positif seperti tidak berputus asa yang ditunjukkan oleh kebanyakan
rakyat dan juga pemimpin wajar dibanggakan.Walaupun pelbagai masalah dihadapi dalam
jalan cerita filem ini,tapi mereka sedikit pun tidak mengalah.Kesabaran mereka akhirnya
terbalas apabila kemerdekaan yang mereka kejar,dapat dikecapi juga akhirnya. Dapat saya
simpulkan bahawa filem 1957 : Hati Malaya ini sangat baik dan bermutu tinggi kerana seperti
yang kita ketahui bahawa cerita berkaitan sejarah bukanlah suatu yang senang untuk
direalisasikan terutamanya apabila pertelingkahan fakta menjadi halangan utamanya
Pengajaran-pengajaran yang terkandung dalam filem ini menyedarkan saya akan kepentingan
mempunyai semangat cinta akan negara. Pengorbanan pejuang dahulu kala yang kian pudar dari ingatan rakyat
kini seharusnya diperingati agar sejarah yang sama tidak berulang. Kesengsaraan warga jelata semasa dijajah
semakin tidak terasa dalam sanubari warga negara kini disebabkan mereka alpa setelah negara memiliki
keamanan yang cukup indah.

Cadangan saya bagi memulihkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia ialah dengan
memperbanyakkan iklan di kaca televisyen yang memaparkan penderitaan sewaktu dijajah dahulu. Selain itu,
sebaiknya untuk mengadakan program yang menghimpun penduduk setempat bagi mereka saling berkenalan
dan membentuk ukhuwah sesama mereka agar lahir perasaan cinta yang dapat menepis kebencian,

Saya berharap rakyat Malaysia dapat menerima antara satu sama lain dengan tidak menilai seseorang
berdasarkan latar belakang, warna kulit mahupun darjat kepandaian agar Malaysia terus makmur dan berdaya
saing dengan negara-negara moden yang kian membangun seiring dengan peredaran masa dalam era
pemodenan ini.
Rujukan

http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20120501/re_03/Pemimpin-berintegriti-
tonggak-negara-sejahtera#ixzz5VYeN3v00

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1030&sec=hiburan&pg=hi_0
4.htm

You might also like