You are on page 1of 4

KITAR SEMULA (RECYCLE)

Sedarkah kita dalam sehari berapa banyak sampah yang telah kita buang?  Sebenarnya dalam sehari kita
telah  menghasilkan lebih daripada 18,000 tan sampah dan ini  mampu memenuhi KLCC dalam tempoh 8
hari sahaja..

Kos untuk melupuskan sampah ini pula mencecah berjuta-juta ringgit. Setiap tahun jumlah
sampah yang dibuang akan terus meningkat dan kawasan pelupusan sampah pula semakin
penuh. Di sinilah pentingnya kesedaran masyarakat untuk melakukan kitar semula sebelum bumi
ini musnah.

Pastikan anda letakkan sampah ke dalam tong yang betul

Apakah maksud kitar semula ?

Kitar semula bermaksud mengumpulkan dan memproses semula barang-barang terpakai dan
terbuang untuk dijadikan barangan baru yang berguna. Bahan tersebut sebenarnya masih boleh
digunapakai tetapi perlu melalui proses kitar semula.

Apa kepentingan kitar semula ?

1) Kitar semula untuk memelihara ruang hidup kita

Kini terdapat kira-kira 230 tapak pelupusan sampah di Malaysia. Setiap satunya berkeluasan
antara 20 hingga 150 ekar, bergantung pada lokasi dan jumlah sampah yang dibuang. Sebaik
sahaja sebuah tapak pelupusan sampah dipenuhi sampah, tapak baru akan dibuka. Lambat laun,
tapak-tapak ini akan berkembang dan menular mencerobohi ruang hidup kita. Sudahnya di mana
kita akan tinggal?

2) Kitar semula untuk persekitaran yang lebih sihat dan lebih bersih

Sampah boleh menjejaskan kesihatan manusia dan kebersihan persekitaran. Jika dibiarkan
bersepah ia boleh mengeluarkan bau dan menyebabkan penyakit. Melalui kitar semula, kita dapat
mengurangkan sampah yang dibuang dan seterusnya mengawal penyakit daripada merebak.
3) Kitar semula untuk mengurangkan pencemaran

Longgokan bahan buangan di dalam tong sampah, lori atau tapak pelupusan sampah merupakan
salah satu punca pencemaran udara, air dan bau. Amalan mengitar semula dapat mengurangkan
ancaman alam sekitar tersebut daripada terus mengancam kualiti kehidupan kita.

4) Kitar semula untuk menjimatkan kos, sumber dan tenaga

i) Dengan mengitar semula 1 tin aluminium anda seumpama menjimatkan penggunaan tenaga
elektrik 3 jam televisyen.
ii) Jika kertas dapat dikitar semula secara maksimum anda dapat mengurangkan 4,360 tan
sampah sehari yang bersamaan 78,000 batang pokok. Untuk menghasilkan satu tan kertas,
sebanyak 17 pohon terpaksa ditebang. Mengitar semula kertas akan mengurangkan bilangan
pokok yang perlu ditebang. Kita perlu memelihara hutan kerana ia merupakan paru-paru yang
memberi kita oksigen dan udara yang bersih.
iii) Dengan mengitar semula 1 botol kaca anda seumpama menjimatkan penggunaan tenaga
elektrik mentol lampu 100 watt selama 4 jam.
iv) Mengitar semula kaca menurunkan suhu lebur untuk kaca baru sambil menjimatkan sehingga
32% tenaga yang diperlukan untuk pengeluaran kaca.

Apakah bahan yang boleh dikitar semula ?


Terdapat 4 jenis item yang disarankan kepada orang ramai untuk dikitar semula. Item-item
tersebut adalah plastik, kertas, aluminium dan kaca.

KACA

Semua bekas kaca yang berwarna atau jernih termasuk botol minuman, bekas makanan, botol
vitamin, bekas alat solek dan seumpamanya boleh dikitar semula. Barangan kaca perlu
dimasukkan ke dalam tong kitar semula berwarna HIJAU

ALUMINIUM

Semua jenis barang yang diperbuat daripada aluminium seperti tin-tin minuman boleh dikitar
semula. Ia mestilah dimasukkan ke dalam tong yang berwarna MERAH
KERTAS

Semua jenis kertas sama ada yang berwarna ataupun yang tidak berwarna, seperti suratkhabar
lama, majalah lama, buku, katalog, risalah, kalendar, kad, sampul surat dan kotak boleh dikitar
semula. Semua jenis kertas mestilah dimasukkan ke dalam tong yang berwarna BIRU.

PLASTIK

Begitu juga semua plastik yang berwarna atau tidak berwarna seperti beg membeli-belah, beg
pasaraya, botol minuman, botol air mineral, bekas makanan, bekas sabun, bekas vitamin dan
seumpamanya boleh dikitar semula. Barangan berasaskan plastik perlu dimasukkan ke tong kitar
semula berwarna KUNING

Cara memulakan kempen kitar semula di rumah dan di pejabat


1) Ubah cara anda membuang sampah

Jangan buang segala-galanya ke dalam tong sampah yang sama. Asingkan bahan boleh dikitar
semula daripada sampah-sarap yang lain. Ambil sedikit usaha untuk mengasingkan kertas,
plastik, tin aluminium, tin keluli dan barangan kaca.

2) Amalkan sistem yang mudah

Amalkan sistem yang mudah diikuti dan lakukannya berterusan. Sediakan tong atau beg di
tempat-tempat yang strategik di rumah atau pejabat. Tong atau beg ini digunakan untuk
menyimpan bahan kitar semula.

3) Pilihan bekas

Anda boleh gunakan sebarang jenis tong atau beg. Contohnya: kotak kadbod, kotak kayu, bakul
plastik dan rotan, tong sampah berpenutup, beg plastik, sarung guni, beg sampah plastik dan lain-
lain
4) Libatkan ahli keluarga dan rakan sekerja

Amalan ini menjadi lebih mudah jika setiap orang komited untuk mengitar semula. Di sekolah
pelajar boleh diterapkan dengan sikap kitar semula kertas yang telah digunakan, plastik makanan
di kantin dan tin minuman yang dibeli. Amalan ini akan dapat menjaga persekitaran sekolah
daripada kekotoran.

5) Pastikan ia ringkas

Tabiat lama memang sukar dikikis, tetapi boleh diubah secara beransur-ansur. Yang penting
jangan beria-ia sangat dan jangan guna paksaan. Amalkan konsep kitar semula selangkah demi
selangkah. Tunjukkan kesungguhan anda melalui teladan dan amalkannya sehingga ia menjadi
sebahagian hidup anda.

Mahukah kita hidup kita seperti ini nanti !!!

Kesimpulannya, Kita harus mempraktikkan amalan 3R iaitu kurangkan penggunaan (reduce),


guna semula (reuse) dan kitar semula (recycle). Sudah tiba masanya kita menangani masalah ini
sebelum terlewat. Fikir dulu sebelum buang, Jadikan amalan mengitar semula sebagai
sebahagian hidup kita.

You might also like