You are on page 1of 2

Slogan Membaca Jambatan Ilmu menunjukkan bahawa aktiviti membaca mendatangkan pelbagai faedah kepada seseorang.

Huraikan usaha-usaha yang anda perlu lakukan untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup.

Tamadun yang kita kecapi hari ini merupakan suatu keajaiban hasil usaha tamadun terdahulu yang gigih dan tidak culas mencari jawapan bagi merungkai setiap persoalan yang timbul dalam kotak pemikiran mereka apabila mengkaji sesuatu penemuan yang memerlukan daya fikir yang kreatif dan luas. Setiap pencarian dan penemuan akan dijilid dan dibukukan khusus untuk manfaat sejagat. Pembacaan merupakan suatu amalan yang sangat penting dan hal ini terbukti memberi seribu satu faedah kepada populasi dunia masa kini. Perkembangan ilmu sedunia bermula sedikit demi sedikit seiring dengan era yang kian berubah mengikut peredaran masa. Hal ini disokong dengan pernyataan zaman Renaissance yang didefinisikan dengan kelahiran semula atau penghargaan semula terhadap ilmu yang dihasilkan oleh cendekiawan lama. Semakin lama, masyarakat sarwajagat semakin menyedari kepentingan ilmu untuk membentuk suatu dunia alaf baru yang unggul dan berprestij. Bagi merealisasikan impian besar ini, komuniti yang berperanan mencorakkan dunia ini sedar bahawa melalui pembacaan, misi ini mampu menjadi kenyataan. Amalan membaca pelbagai jenis item seperti ensiklopedia dan buku-buku ilmiah khususnya yang berunsurkan pendidikan mampu membawa peningkatan dari segi taraf hidup dan sebagainya dan mampu membawa transformasi kepada dunia sekalipun amalan membaca ini dipraktikkan hanya sebesar zarah. Setiap insan yang bergelar manusia harus mempunyai kesedaran berhubung hal ini. Saya sebagai seorang individu yang menumpang di dunia yang fana ini turut berperanan menjadikan amalan membaca sebagai amalan hidup.

Sebagai seorang insan yang juga bergelar pelajar, saya mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dalam mempraktikkan amalan membaca dalam kehidupan sehari-hari. Hal ini demikian kerana golongan pelajar perlu lebih mendalami ilmu dalam segenap aspek yang akan memudahkan pelayaran setiap daripada mereka dalam menelusuri dunia yang penuh onak dan ranjau berduri. Antara usaha yang dapat saya lakukan bagi menjadikan membaca sebagai suatu perihal yang tidak asing lagi dalam hidup adalah dengan sering mengunjungi toko-toko buku, tidak ketinggalan pesta-pesta buku yang giat dianjurkan oleh badan kerajaan dan bukan kerajaan bagi memupuk minat membaca dalam diri setiap individu. Gedung-gedung ilmu ini banyak membekalkan buku-buku yang berteraskan variasi aspek yang dikira mempunyai kepentingan tersendiri dalam kehidupan ini. Kini, bagi menimbulkan bara atau semangat suka membaca dalam diri setiap insan, pelbagai toko buku telah diwujudkan. Bilangan toko-toko buku dan pesta buku yang semakin bertambah ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan telah memberikan kemudahan kepada saya untuk membuat pencarian mengenai pelbagai buku yang berbeza jalan penceritaan dan genrenya. Masa terluang yang ada tidak harus disia-siakan, sebaliknya waktu ini harus digunakan untuk melawat tempat-tempat yang membekalkan ilmu. Dengan ini, jelaslah bahawa jika ingin mempraktikkan amalan membaca sebagai amalan hidup, seseorang itu bolehlah mengunjungi toko-toko buku dan pesta buku yang kian giat diadakan masa kini.

Era globalisasi yang menguasai dunia sedikit sebanyak berperanan membantu dalam menyemai sikap suka membaca dalam diri setiap insan. Kewujudan teknologi internet yang membolehkan setiap ceruk dunia berhubung tanpa batas sempadan telah membuka peluang yang lebih luas dalam menjadikan amalan membaca sesuatu yang sebati dalam diri setiap individu. Hal ini terbukti apabila kemudahan internet sering digunakan untuk membuat pencarian mengenai buku-buku yang terdiri daripada pelbagai jenis seperti novel, ensiklopedia dan majalah. Pencarian buku-buku berdasarkan trend pembacaan zaman sekarang dan buku-buku mengenai sejarah purba turut tersenarai dalam enjin pencarian yang paling banyak. Internet memudahkan aktiviti ini dilakukan kerana seseorang itu tidak perlu merantau jauh hingga ke hujung dunia semata-mata untuk mencari buku-buku yang diingini. Dengan ini, seseorang individu itu akan semakin kerap mencari jenis-jenis buku yang menjadi idaman kerana perkara itu bukan sesuatu yang sukar dilakukan lagi. Saya boleh melayari internet untuk mencari buku-buku edisi terkini supaya sentiasa seiring dengan jalan atau cara penceritaan buku yang sentiasa mengalami transformasi akibat tempias daripada peredaran zaman yang berlaku mengikut masa yang sentiasa bergerak tanpa henti. Dengan ini, budaya membaca dapat diterapkan dalam diri dan seterusnya menjadi pembakar semangat untuk terus menjadikan membaca sebagai sesuatu kewajipan ataupun penting dalam mencapai kecemerlangan dalam hidup. Oleh itu, jelaslah bahawa internet merupakan antara medium dalam usaha menjadikan membaca sebagai sebahagian daripada kehidupan ini.

Di samping memanfaatkan teknologi terkini yakni internet yang ternyata memberi sumbangan yang besar dalam usaha menjadikan amalan membaca sebagai gaya hidup seseorang insan, terdapat pelbagai macam langkah yang efektif dan pragmatik yang boleh dilakukan oleh setiap individu. Sebagai contohnya, saya boleh mewujudkan perpustakaan mini di rumah atau mewujudkan bilik bacaan. Budaya membaca di rumah seharusnya digalakkan. Kata orang, segala-galanya bermula dari rumah. Dalam usaha untuk mewujudkan perpustakaan kecil ini saya akan menetapkan suatu ruang yang selesa dan menyamankan untuk dijadikan tempat bacaan. Buku-buku bolehlah dibeli untuk memenuhkan ruang bacaan. Pemandangan yang penuh dengan buku-buku yang terdiri daripada pelbagai jenis akan menimbulkan perasaan ingin menghampiri ruang bacaan tersebut dan membaca buku yang tersusun rapi di atas rak. Secara tidak langsung, budaya membaca mula meresap masuk ke dalam jiwa dan memberi banyak manfaat lain. Kewujudan perpustakaan mini di rumah juga bukan sahaja memupuk semangat suka membaca dalam diri saya, bahkan ahli keluarga lain akan turut sama mengamalkan amalan ini. Dengan kata lain, hal ini akan menarik minat ramai orang jika ada yang sudi memulakan budaya ini walaupun tidak seberapa besar usaha yang dilakukan. Pendek kata, jelaslah di sini bahawa membina perpustakaan mini atau sudut bacaan di rumah akan mampu menanam minat membaca dalam diri sekali gus menjayakan budaya membaca sebagai amalan hidup seharian.

Di samping itu, langkah mudah yang boleh dipraktikkan oleh seseorang individu adalah dengan sentiasa mencari buku-buku daripada pelbagai jenis sebagai bahan rujukan atau sumber panduan apabila melakukan penyelidikan atau ingin mencari kepastian atas persoalan tertentu yang bermain di dalam kotak pemikiran mereka. Pelbagai jenis buku terutamanya ensiklopedia dan kamus yang banyak membekalkan ilmu pengetahuan am harus dijadikan sebagai suatu sumber untuk seseorang. Banyak membaca, banyak ilmu yang dapat dipelajari. Hal ini mempunyai persamaan dengan pepatah jauh perjalanan, luas pemandangan. Dalam konteks pembacaan buku-buku, semakin banyak buku yang dibaca, akan semakin banyak ilmu pengetahuan yang boleh diterokai oleh seseorang. Saya akan mengunjungi perpustakaan yang diibaratkan sebagai khazanah yang menyimpan ribuan buku untuk dijadikan bahan rujukan bagi setiap insan. Amalan membaca dan menjadikan buku sebagai sebagai pedoman untuk panduan dalam meyusuri liku kehidupan merupakan suatu perkara yang harus saya

amalkan. Dengan ini, dunia akan dihuni oleh insan-insan yang kaya dengan ilmu dan mampu mencorakkan dunia ini dengan pelbagai macam idea bernas yang mampu melonjakkan prestasi sedunia. Oleh hal yang demikian, jelaslah di sini bahawa, buku-buku seharusnya dijadikan bahan rujukan dalam usaha menjadikan budaya membaca sebagai amalan hidup seseorang.

Kesimpulannya, budaya membaca yang kurang mendapat tempat di hati masyarakat ini seharusnya dihidupkan semula bara apinya. Dalam usaha untuk mewujudkan perasaan minat membaca dalam diri, budaya ini perlulah dipelopori oleh seseorang yang bergelar insan sampai akhirnya budaya ini akan menular sedikit demi sedikit dalam diri setiap insan yang menumpang hidup di muka bumi ini. Dengan amalan membaca menjadi suatu kebiasaan ataupun gaya hidup seseorang, semestinya dunia tidak akan disia-siakan dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan langsung tidak memberi manfaat terhadap manusia sejagat. Hal ini seterusnya akan mewujudkan satu bentuk dunia alaf baru yang menjadi impian setiap anggota masyarakat.

Disediakan oleh : Che Norhasmira binti Che Khalid 5 Al Farabi

You might also like